Monday 15 August 2011

NOSTALGIA KUALA LUMPUR

Sekitar tahun 70-an pertama kali saya jejakkan kaki di KL. Naik bas dari pekan Pasir Panjang, Sekincan, hingga ke Tanjung Karang. Ganti bas, pergi ke Klang. Dari Klang terus ke Bus Stand Klang. Ketika itu Central Market atau Pasar Seni belum ada. Saya berjalan di pinggir sungai Klang itu, bau pasar basah begitu kuat, aroma daging khindir, aroma ayam diproses untuk dagingnya, hiruk pikuk pasar. Bangunan pasar besar di KL itu adalah Pasar Seni yang ada hari ini. Bangunan lama masih kekal.
Jika menyeberang jalan, di pinggir sungai itu ada benteng. Tempat orang makan-makan. Selalu sibuk tempat itu, dengan suara peniaga dan penggoreng nasi atau mi, tukang satey juga sibuk mengipas, sementara di sudut HSBC sekarang, ada orang menjual ubat, macam-macam ubat, termasuk yang pernah menjual ubat di situ ialah aktor Khaled Salleh, kebetulan ayahnya juga jual ubat, makjun pangkur laut, jual makjun.
Di antara sahabat yang pernah berniaga di Benteng lama itu ialah Mat Nor yang kini tinggal di Alai, melaka. Dulu dia tinggal di Kg.Chendana, dekat kubur Jalan Ampang.
Masjid Jamek macam itu juga. Hanya Kubah yang sudah diganti baru kerana kubah utama warna hitam telah roboh dalam tahun 90-an, waktu itu budak-budak reformasi gotong royong cat masjid. Kumpulan budak reformasi yang dicetuskan Anwar Ibrahim, masih berkumpul di situ hingga ke tahun 2010, kalau tak salah saya.
Mereka tetap istiqamah dan tidak tukar prinsip. Walau apa pun yang terjadi, mereka tetap menolak Barisan Nasional dan Umno.
Sejak tahun 70-an lagi, saya memang gemar lagu-lagu 60-an, tetapi setelah sedar, saya mula buang gitar elektrik, gitar bentley, drum dan memvokal untuk kenduri kahwin dan pentas, terakhir main muzik di dewan utama bandar Temerloh, Pahang. Lagu-lagu lama dalam kenangan, tapi untuk apa dikenang benda yang tidak ada faedah.
Sama juga ketika saya berada di KL tahun 70-an, melihat orang menjual ubat di Lorong Haji Taib ikut budak-budak kolej pendidikan masa itu. Sempat juga melihat apa yang dikatakan PAWAGAM P RAMLEE itu. Kalau nak ingat, itulah panggung papan, kipas angin, bangku goyang, suasana hangat, panggung wayang seniman P Ramlee yang diagungkan, teringat Osman Botak ikut jaga panggung itu, jaga pintu dan cek tiket. Tak ingat filem apa pun, sebab saya bukan tergolong fanatik dengan filem, filem P Ramlee pun banyak saya tak tahu ceritanya, walau ditayang ulangkali, saya tak tengok TV sangat, mungkin asuhan sejak dari kampung.
Apabila disebut KL, teringat masjid Kg Bharu,.hujung minggu ada kuliah lepas subuh Pak Hamka dari Indonesia. Ketika itulah agaknya buku-buku Hamka diterbitkan di KL. Penerbit Pustaka Antara dan Pustaka Melayu Baru menerbitkan karya Hamka.
Dari kampung, kalau saya masuk Pustaka Antara, saya akan beli majalah sastera Indonesia HORISON, isinya lebih menarik daripada keluaran DBP. Dari itu saya banyak kenal sastera Indonesia, penyair dan pengarangnya.
Saya minat dengan gaya Putu Wijaya dan Iwan Simatupang. Gaya berceritanya mempengaruhi gaya saya sehingga lahirlah cerpen absurd SESUATU ITU tersiar dalam Dewan Sastera tahun 70-an, ketkika itu saya mengajar di Felda Bkt Tajau, Maran, Pahang.
Ketika menjadi guru saya dapati banyak insiden tidak menarik berlaku:
1.Guru bertumbuk kerana berebut anak murid yang dianggap tercantik.
2.Guru minum khamar dan tayang botol di dalam bilik, kekadang diletak di atas tembok sekolah.
3.Ustaz yang mengajar keagamaan tetapi main takraw atau badminton berseluar pendek.
4.Guru aktif politik, masa mengajar dihabiskan untuk menaip dan menyiapkan agenda mesyuarat Umno.
5.Guru tak suka aktif dalam PIBG dan persatuan lain.
6.Guru sibuk jual AVON dan Amway.
7.Guru perempuan sibuk mengait dan cerita soal anak tak habis-habis hingga waktu untuk masuk kelas tinggal berpuluh minit je.
8.Cikgu sibuk masuk koperasi sebab nak pinjam beli kereta. Cikgu tak ada kereta memang memalukan. Sampai sudah saya pun tak pakai kereta. Bukan satu tarikan.
9.Cikgu sibuk cari pasangan cikgu juga atau kerja gomen, untuk senang masa depan.
10. Cikgu tidak bertegur sapa gara-gara beban kerja.
11.Cikgu bukan orang pandai rupanya, hanya di sekolah dipanggil cikgu, di luar sana janganlah anggap cikgu itu hebat. Tak ada apanya.
12.ketika di kolej pendidikan, saya teringat kawan bernama Din cuba memasukkan "anu" ke dalam "anu" budak perempuan, jiran di rumah bawah (Lorong Raja Bot,KL, rumah Yunus Tasman, orang kuat bola sepak KL masa itu). Kes kawan ini saya ingat sangat, walaupun bahan jenaka, ia adalah pencabulan, kalau terjadi sekarang, Si Din (bakal cikgu tu) meringkuk kes cubaan mencabul.
13.Banyak lagi kes. Tapi yang saya ingat sangat teman kolej bernama Tengku Syed Mansyur asal jalan Harimau Tarum,JB. Entah di mana dia sekarang setelah bersara.
Inilah anekdot dan kenangan tentang KL. kalau bab makanan, nasi bungkus Minang atau Padang paling menyelerakan. Rasanya bungkusan tahun 2011 tidak sama dengan bungkusan tahun 1971. inilah nostalgia yang payah nak dapat semula. []

No comments:

Post a Comment