Saturday, 20 August 2011

Jalur Gemilang Kibar Tanda Patriotik?

Sehingga pada waktu saya menyiapkan blog ini, di KL bilangan kenderaan yang mempamerkan kesetiaan kepada negara tidak kelihatan lagi. Bilangan pemandu yang mengibarkan Jalur Gemilang(JG) tidak ramai. Jangan bandingkan dengan zaman ada penaja bendera dan macam-macam kempen lagi. Sebab rakyat negara ini sudah diasuh, apa pun nak buat kena ada pertandingan, kena ada sayembara dulu, hiasan kereta yang cantik dengan bendera, tapi perlu dicatat, sebuah kereta dengan sebuah bendera itu cantik, kalau letak dua, cantik juga, tetapi kalau bendera dipacakkan merata di bumbung kereta, depan dan belakang, ia jadi buruk, hilang nilai keindahannya, akhirnya jadi rosak, pemandu akan dianggap tidak siuman, riyak atau berlebihan. Sikap berlebihan ini akan menjadi bahan ketawa.
Sama misalnya ada orang kayuh basikal dengan bendera terpasang di sana-sini, siap dengan pakaian bendera meniru gaya Sudirman, ia dianggap pengayuh tidak siuman atau mengada-ada, paling tidak riyak amat. Jadi, kita kena sederhana, tak perlun kibar bendera besar hingga ganggu pengguna jalan raya yang lain. Sebenarnya, nilai patriotik seseorang tidak diukur pada bendera lagi. Apabila bendera dikempenkan oleh pihak UBN sudah tentu orang PR tidak minat, nanti dianggap seolah-olah menyokong apa sahaja tindakan pemimpin UBN. Jadi, PR perlu ada kaedah lain untuk mengingati Merdeka.
Merdeka yang kita peroleh dari British, tidak dengan darah dan air mata seperti perjuangan revolusioner di negara lain. Perlawanan kita selama ini dilakukan oleh kelompok tertentu yang menentang Inggeris. Tentang Inggeris dianggap tentang kerajaan masa itu. Orang macam Mat Indera itu dianggap Komunis, padahal dia berjuang menentang Inggeris. Sejarah kita ditulis lain dengan menggunakan sudut pandangan para pemimpin nasionalis Umno. Mereka memang sekutu kepada Inggeris, juga pihak yang mendirikan negara Israil.
Iklan-iklan dalam TV kita pun nampaknya kehilangan gizi. Asyik gambar bendera dan pewatak tiga kaum yang ada. Gambarannya dibuat-buat, bukan kenyataan masyarakat Malaysia sebenar. Perpaduan kaum masih rapuh di bumi Malaysia meskipun kita ada Jabatan Perpaduan Negara.
Selagi kita gagal menyatupadukan rakyat berbagai kaum, bererti kita belum merdeka. Yang ada adalah jeritan merdeka! Diulang-ulang, seperti orang menyebut SATU! Malaysia. SATU! Malaysia. Tidak mungkin ada dua Malaysia, tetapi yang ada sistem dua kelompok parti UBN dan PR. Inilah bentuk kepartaian yang menjadi cita-cita bangsa Malaysia sebenar.
Kenapa kempen kibar JG tidak popular? Sebabnya, UBN sudah lama mengasuh rakyat, buat sesuatu biar ada ganjarannya. Jika ada hadiah, misalnya, pemandu paling gila, pengayuh paling sewel dengan kibaran JG, rasanya ramai yang nak jadi gila dan sewel demi hadiah.
Sebenarnya JG bukanlah tanda seseorang itu cintakan negara atau tidak. Kibar atau tidak kibar itu bukan persoalan. Rakyat Malaysia akan bertanya, siapa yang suruh kibar? Kalau yang menyuruh adalah puak dari UBN lebih baik jangan. Sebab kalau kibar juga, media perdana akan tulis begini, "Keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara kian pulih berdasarkan sambutan rakyat mengibarkan JG di mana-mana menjelang tarikh keramat 31 Ogos,2011." Sebenarnya mood rakyat sekarang adalah pasca-Bersih 2.00. Disusuli dengan bulan puasa. Bendera tidak menarik lagi sebab masing-masing nak beli kuih dan persiapan raya.
Orang yang merasa diri mereka patriotik sangat, ya dipersilakan kibar JG. Kibarlah banyak mana pun, habis 31 hb.Ogos, hari raya, jadi mood kibar bendera pun lesu. Tentu ramai tak setuju nak kibar JG pun paksa. Bendera tu bukan murah harganya di kedai-kedai. Bendera kertas tak apalah juga. Lagipun, semangat sahaja tak cukup. Kibar sahaja pun bukan ukuran. Kita tidak mahu kibaran yang tidak ikhlas, kibaran kerana pujian, sanjungan, ada krew TV ambil gambar, sibuklah pacak bendera pada cap atau topi, songkok dan sebagainya. Gambar yang begini biasa dijadikan kandid oleh tukang gambar media perdana kita. Semua ini jadi bahan ketawa sahaja. Tengoklah nanti...pasti ada gambar pelik manusia dengan kibaran bendera yang luar biasa, bukan nak pecah rekod, tapi menggambarkan ketidaksiuman mereka. Alahai, naifnya bangsa kita. []

No comments:

Post a Comment