Tuesday, 10 May 2011

AL-KISAH PAWANG DIRAJA RAJA NGAH

Kata Frank Swettenham (Perihal Orang Melayu/Malay Sketches, 2003: 121), ketika seorang raja sakit yang mungkin tidak ada kena mengena dengan mainan jin atau syaitan, Raja Ngah si pawang telah bertungkus lumus untuk mengubat raja. Dengan segala upaya pawang diraja pun melakukan ritual yang diberi nama Adat Berhantu. Maknanya, kena panggil hantu untuk mengubati sang raja yang sakit. Tabib tempatan yang ada dah tak boleh buat, maka Raja Ngah pun hadir untuk mengadakan upacara rital adat berhantu.

Adat berhantu ini kata Swettenham adalah upaya si pawang untuk menyeru syaita atau melakukan sesuatu yang boleh dikatakan  serupa dengan ritual ahli sihir di Brocken, puncak gunung di Jerman kerana di situ semua ahli sihir berkumpul di gunung Hars.

Nampaknya kepercayaan adanya makhluk halus di Jerman pun sama seperti kepercayaan orang di Nusantara. Di kawasan pergunungan ada makhluk halus bermukim. Bagi orang yang beriman tentulah keliru dengan adat istiadat berhantu ini, apa lagi perbuatan yang dilakukan oleh pawang Raja Ngah.

Adat ini adalah saki baki zaman gelap sebelum Islam.Kata Swettenham, ulama pun tidak suka, akan tetapi mereka terpaksa "tutup mulut" kerana pada zaman dulu sebilangan orang atasan mengamalkan ilmu hitam.
Betul pun, upaya untuk membunuh J.W.W.Birch pun sangat melucukan, ada bomoh yang diundang untuk mengenakan ilmu hitam kepada Birch. Sayangnya, tidak ada ilmu yang hebat boleh mengalahkan Birch di Pasir Salak. Mereka terpaksa buat ritual supaya Birch jatuh sakit, kesampuk atau apa sahajalah.

Si Maharajalela pun gunakan bomoh untuk kenakan Birch. Berbagai cara nak bunuh Birch termasuk taruh miang buluh dalam bekas air mandian Birch, biar badan dia gatal-gatal. Si Puntum  yang membunuh Birch hanya budak suruhan yang diupah, bagi duit, supaya bunuh Birch, kalau hang tak dapat bunuh, nyawa hang melayang.

Jadi, kena buat supaya Birch mati. Budak suruhan jadi taruhan angkara para pembesar. Mereka tak suka orang putih bukan kerana campur tangan apa hal? Pembesar dan juak-juaknya akan kehilangan pendapatan kalau orang putih rombak sistem yang ada. Nak bagi betul, ikut cara Barat orang Melayu tak suka. Dulu, siapa gagah boleh kutip cukai di hutan, cukai balak, cukai perahu, macam-macam cukai hanya masuk poket sendiri. Tu sebab mereka mengamuk apabila Birch nak betulkan sistem. Para pembesar yang ada menganiaya orang Melayu yang menebang hutan, mengenakan cukai di sana-sini. Ia ibarat tol pada zaman sekarang.

Buku tentang sejarah Pasir Salak tu, elok dibaca oleh anak-anak muda agar sejarah menjadi jelas. Mereka bunuh Birch bukan kerana Birch itu orang putih, bukan kerana campur tangan di  negeri Melayu, sebaliknya kehilangan hak nak kutip cukai atau tol kepada orang-orang yang berurusan di masa itu. Sayang sejarah dimanipulasi hanya menyebut sebab-sebab pembunuhan Birch yang tak jelas, ada perkara diselindung.

Kisah guna bomoh nak bunuh Birch juga menggambarkan pemikiran gaya lama pembesar Melayu di Perak. Nah, berbalik kepada cerita Raja Ngah tadi, dia ketika nak mengubat raja ditemani kerabat perempuan. Raja Ngah berpakaian seperti lelaki. Baju lengan pendek, seluar, kain dan selendang diikat ke pinggang. Lilin dinyalakan, umbo rampenya beras kunyit, bertih dan air mawar. Raja Ngah ditemani pembantu perempuan.

Ada enam orang pemain gendang yang diketuai oleh anak perempuan Raja Ngah. Gendang tu macam rebana kecil. Kemudian Raja Ngah tutup muka dengan kain dengan iringan gendang, gadis-gadis menyanyi entah lagu apa, lagu dulu-dulu, tetapi yang jelas, ia adalah semacam mantera pengundang jin.

Sambil memuji-muji sang jin yang entah Raja Ngah boleh lihat atau tidak, maka konon ketika itu jin dan roh diseru supaya turun kalau masih ada di gunung, naik ke darat kalau mereka ada di laut, keluar kalau mereka ada dalam tanah, turun kalau masih ada di atas - makhluk itu diseru supaya hadir, untuk mengubati raja yang sakit.

Pawang gunakan daun sambau (?) dan cadak untuk mengubat. Zaman itu mereka masih berpelita atau pasang lilin.Gendang dan mantera nyanyi terus dialunkan, pawang pun melihat sumbu pelita itu menyala, apinya kejap besar dan kejap kecil, konon makhluk yang diseru dah datang.

Pawang dah kerasukan. Manteranya makin bergetaran. Beras kunyit ditabur, air mawar dipercikkan, mulut kumat-kamit bermantera, berdiri menyeru si makhluk agar segera turun, dan kemudian pawang duduk semula.

Konon pada masa itu setiap daerah ada semangatnya yang menjaga daerah. Ada empat ekor jin yang utama dengan nama yang hebat-hebat. Nama jin itu Jin Kerajaan (nama lainnya Junjung Dunia Udara); kedua jin Maya Udara; ketiga jin Mahkota Si Raja dan seekor lagi Sutan Ali. Jin ini juga dikenali sebagai jin arwah yang menjadi pengawal raja dan negeri.

Jin-jin ini perlu dihormati dengan empat payung putih dan merah digantung. Kalau hendak panggil jin-jin itu kena nyanyi lagu mantera serapah dulu, gendang dipalu, bunyi-bunyian ditiup, biduan diraja pun menyanyi, entah bagaimana melodinya, tak ada siapa tahu. Mungkin ada yang tahu di Perak.

Selain jin-jin yang "dimuliakan" itu ada beberapa nama hantu lain seperti hantu sungkai, hantu Melayu (hantu Melayu ni khabarnya semakin banyak di tahun 2011, slogannya tak kan Melayu hilang di dunia. Itu kata Hang Tuah. Betul atau tidak, siapa pun tak tahu! Selain hantu itu ada lagi hantu belian, adik beradik hantu harimau.

Raja Ngah sebagai bomoh hebat juga ada pengiring halimunan, siapa pun tak nampak, tetapi namanya Kemala Ajaib dan Israng. Ketika ritual mengubat dilakukan, sajian disediakan sebagai makanan jin yang diseru. Ada kain kuning, lilin besar menyala, di kelilingnya ada nasi berhias dan juadah kesukaan jin.

Apabila Israng masuk ke dalam tubuh Raja Ngah, dia pula rebah. Jin kerajaan masuk ke dalam jasad pawang. Begitulah kisah berpawang di zaman silam. [] 

No comments:

Post a Comment