Saturday, 21 May 2011

TENTANG DOSA PENDAPATAN YANG BIASA DI ANTARA KITA

Marilah kita bermuhasabah diri. Kalau kita bekerja, sebagai pekerja, adakah kita pernah melakukan perkara berikut? Cuba renungkan dalam-dalam.

1. Menggunakan peralatan syarikat (majikan) untuk tujuan peribadi, envelop besar untuk simpan milik peribadi, sehari satu envelop, lima hari ada lima envelop besar masih elok, baik kertas, pen, faks, fotostat, telefon pejabat, sembang-sembang. Penggunaan yang tidak sah ini mestilah dibayar oleh pekerja baik secara langsung atau tak langsung.
2.Menipu syarikat denga membuat tuntutan untuk minyak petrol, makan-makan, sewa hotel, beli peralatan pejabat dan sebagainya. Perkara ini terlalu biasa di kalangan pekerja.
3. Mengambil rehat tidak sah. Ketika waktu pejabat buat urusan sendiri. Hari Jumaat paling teruk, keluar awal masuk pejabat jam 3.00 ptg. sebab banyak berdoa dan wirid di masjid (?). Pergi bank, pergi beli suratkhabar, majalah atau buku, sedangkan gaji harian dibayar. Kita curi masa pejabat untuk kepentinga diri sendiri. Guru-guru pun banyak melakukan hal ini (penulis pun bekas guru tau!).
4.Membuat tuntutan kerja lebih masa dengan perancangan. Menambah-nambah masa. Melewat-lewatkan kerja untuk mendapatkan overtime yang tidak sah.
5.Rasuah dalam membuat pemilihan. Pegawai yang berurusan dengan kontraktor bertanggungjawab buat iklan, buat quotation tetapi ada perjanjian lisan lain, aku tolong engkau, engkau tolong aku. Benda begini terlalu lumrah, bukan di pejabat sahaja, malah untuk supermarket pun begitu, kamu bayar sekian ringgit, barang kamu aku terima masuk rak kita. Tiap bulan ada orang dapat duit cara begini yang tak bersih. Bidang pengawal keselamatan pun serupa. Kamu bayar tiap bulan pada aku, aku rekomen syarikat kamu dapat tender kawalan keselamatan.
6.Mencipta quotation sendiri oleh pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa membuat pemilihan. Ini pun perkara biasa. Banyak dilakukan orang, sebab mereka nak duit minyak, duit kereta, duit rumah, hingga nak kahwinkan anak pun ada quatation sendiri. Siapa ambil projek dengan jabatan kerajaan dia akan tahu hal ini. Lumrah sangat.
7.Menaikkan harga. Bos suruh cari pembekal tertentu, maka sebut harga pun dibuat-buat, harga dinaikkan untuk dapatkan duit poket. Bos tak tahu apa cerita. Ini pun perkara biasa di kalangan kita.
8.Bagi tender tapi bersyarat. Nak ubahsuai pejabat cari kontraktor. Lobi syarikat itu dan ini. Depan bos harga sekian, belakang bos harga sekian. Pegawai yang mencari ini dapat komisyen di luar pengetahuan bos dan kaki tangan lain.
9.Tuntutan palsu. Harga sebenar taklah mahal, tetapi semua butiran dinaikkan kerana hendak bayar kepada pegawai yang menguruskan hal ini. Bos tak tahu apa. Harga kapal selam, pak cik dan mak cik tak tahu. Kalau harga sekian ratus juta pun mereka tak tahu, siapa dapat komisyen sampai empat ratusan juta?
10.Resit harga ciptaan. Sudah ada pakatan. Harga sebenar hanya RM10.00 satu unit, tetapi telah dinaikkan hingga RM30.00 perunit. Nak cari duit lebih! Ini pun biasa dilakukan pekerja dan pegawai kita.
11.Ambil untung sendiri. Diamanahkan untuk beli barang dalam lingkungan RM5,000, cari punya cari dapat harga kurang RM4,000. Kalau ambil yang ini, pegawai tu dapat RM1,000 yang bos tak tahu. Duit apa ni? Halal ke haram?
12.Sebenarnya banyak lagi. Kamu lompat parti [kes ADUN dan MP kita] dan kemudian dapat duit berjuta-juta, dapat projek, amanah atau tidak amanah? Elaun tu halal ke haram? Ada dengar tazkirah di mana-mana, ustaz kata pendapatan tetap haram, serba-serbi haram. Nauzubillah...

Berapa banyak penipuan dilakukan oleh masyarakat kita yang mengaku Islam. Sebenarnya untuk jadi Islam bukan mudah. Label Islam semua orang boleh. Nak praktikkannya jauh sekali. Renungkanlah, adakah sesiapa pernah melakukan semua adegan yang dipaparkan ini? [Semak Zaharuddin Abd Rahman,FORMULA SOLAT SEMPURNA,2008, Kuala Lumpur:Telaga Biru Sdn Bhd. hal.154].

Masih banyak lagi keteledoran kita ketika memegang jawatan di mana-mana. Nampak remeh, tetapi itulah sebenarnya yang dikatakan kesempurnaan Islam. Kita selalu terbawa-bawa dek faham kemelayuan yang sempit melulu. Kalau begitu, adegan disebutkan tadi sudah jadi budaya kita, mahukah ini dinamakan bentuk budaya Melayu sebenar? Kalau begitu, alangkah buruknya budaya Melayu. Mungin inilah yang dikatakan sekularisme, liberalisme - bermula dari nasionalisme kolot akhirnya menjadi sempit pemikiran kita, hidup di bawah kepompong kejahilan. Sama-samalah kita bermuhasabah diri, termasuk ana pun, bukan nak kata orang lain. Wallahu a'lam.[]

No comments:

Post a Comment