Bicara tentang mistik memang mengasyikkan. Ia perkara yang luas untuk digarap. Bermula dari mistik kehidupan, mistik kepercayaan, mistik di persekitaran, dan apa sahaja yang dikaitkan dengan kemisterian, ia mengandung kemistikan. Ruang untuk mistik ada di mana-mana. Selagi namanya hidup dan kehidupan, perkara mistik pun berseliratan tertuang setiap detik. Bergantung kepada kesedaran diri peribadi.
Perkara mistik memang mengasyikkan, bermula daripada menekuni tugasan sebagai wartawan misteri, langsung mencari hal-hal yang misteri. Seawalnya adalah cerpen, cerita pendek, cerita absurd, cuba menekuni yan berbau absurdisme, menguak-nguak teori lama seperti realisme, dadaisme, surrealisme, strukturalisme, kemudian ada modernisme, post-modernisme - rimba terokaan makin luas. Gemar pula menukik pemikiran sang tokoh yang pelbagai, berada di serambi falsafah klasik, moden dan komtemporari, menjengah-jengah dan menguak-nguak rahasia.
Kemudian minat pula dengan "langgam" Iwan Simatupang, Putu Wijaya da Umar Khayam, Shahnon Ahmad, cuba-cuba nulis puisi yang melankolik. Tulis cerpe. Masih ingat, cerita "Ketam Kelamin" dalam majalah DIAN, terbitakan Kota Bharu, Kelantan. Itu jam tengah mabuk nulis cerpen dan rencana sastera untuk Mingguan Malaysia, Berita Minggu tahun 70-an dan 80-an, kemudian menjelang tahun 1987 , STOP terus kerana media arus perdana nadanya tidak enak sekali. Terlalu membeberkan keburukan orang, inilah gaya orang Melayu bertindak-tanduk dalam politik. Menjengkelkan, memualkan, sejak tahun itu hingga tahun 2011, saya masih boikot terus, termasuk RTM1,2, TV3, sampai tidak punya TV di rumah. Hidup tenang.
Rupa-rupanya kalau kita tidak ada akhbar arus perdana dan TV arus perdana untuk dibaca dan ditatap lagi nyaman kehidupan ini. Detak jantung tidak tergugat. Rasa marah, kecewa, hampeh... dan bermacam kekecewaan adalah kerana membaca dan menonton yang itu-itu juga. Slogan setiap hari hingga memualkan.
Maaf, sampai sekarang saya tidak tahu apa itu Islam Hadari. Kesian sungguh mereka yang berkhidmat di dalam jabatan tertentu yang menggunakan nama Hadari.
Begitulah kalau kita kita hidup bergantung kepada seseorang untuk menjadi penaungan. Jika payungan itu terbang dipukul ribut, habis basah kuyuplah. Kini timbul pula 1Malaysia. Saya pun tak faham apa sebenarnya yang dikatakan 1Malaysia, ia seperti hafalan budak sekolah. Setiap hari orang angkat telunjuk jari, mengatakan itulah Satu Malaysia. Sampaikan baju-baju sutera pun dibikin begitu dengan slogan yang sudah klise sampai memualkan. Itu yang saya lihat di Karyaneka ketika diadakan pamern, dengan Si Rais Yatim pun datang dikerumun. Saya tak peduli itu semua, sebab saya lebih suka cincai.
Dan saya tidak teringin pun hendak mengkaji falsafah di sebalik 1Malaysia itu. Lebih baik jangan ambil tahu, sebab hidangannya tidak enak. Penuh retorik, penuh sloganan, janji-janji muluk dan sebagainya. Inilah yang dikatakan mistik dalam kehidupan di bumi Malaysia. Mistik dalam politik kemelayuan sempit. Mistik dalam menjana minda Melayu yang masih tidak habis-habis terlalu menghambakan diri dan mengabdikan diri, lahirlah golongan penyembah antara manusia.
Kekadang nak ketawa juga melihat cara orang Melayu berpolitik, bukan main matang, tetapi semakin hancai, cincai, dan amat lekeh. Isu yang dibawa asyik itu-itu juga. Muak sungguh. Itu antara punca saya lupakan akhbar arus perdana dan TV yang ada. Lebih baik baca dan tengok benda lain.
Salah satu mistik dalam kehidupan politik orang Melayu yang semakin mengundur ialah kegilaannya dengan isu memburukkan orang. Dulu seks adalah taboo. Tetapi sekarang orang Melayu semakin kurang ajar dan hilang rasa malu, hilang peradabannya, sungguh memelikkan - siapa kata orang Melayu berbudi bahasa? Siapa kata orang Melayu bersopan santun, itu kajian sosiologi dan antropologi Melayu zaman klasik.
Melayu sebenarnya sudah lebih teruk seperti masyarakat Barat. Sayangnya, kita meniru masyarakat bejat di Barat itu hanya pada era Dr M (nama ini sekarang tidak dikenal orang , sudah dilipat dalam sejarah). Cara Melayu berpolitik haru-biru, kata mengata, ejek mengejek, londeh sana, londeh sini, betul-betul tidakada rasa malu, ini tanda-tanda Melayu akan hilang di dunia ini - dasar asionalisme sempit ini semakin merosakkan minda Melayu.
Masyarakat Barat tidak kecoh dengan hal-hal peribadi seperti Melayu. Memang betul, Melayu itu kaum pendengki, iri hati, suka jatuhkan orang, suka fitnah, suka rasuah, suka riba, suka langgan anu-anu, suka main judi (di kelab-kelab elite pada waktu malam, bukan magnum, toto dan kuda ya!), suka lepak-lepak, suka khalwat, suka buang bayi, suka dibeli untuk mengundi, gemar pak-pak menteri tabur janji dan suka tepuk tangan bagai nak rak, apa lagi kesukaan Melayu? Ya, Melayu juga suka kepada mistisisme.
Mengikut pengamatan Barat, mistisisme itu adalah sesuatu yang dekat kepada kerahsiaan. Mistik dilihat sebagai urusan yang sangat peribadi sifatnya. Ia memang menyentuh keyakinan dan religiusitas seseorang, kerana itulah ia dianggap sebagai hal peribadi. Tetapi hal peribadi yang bersifat mistik ini sudah dirobek-robek dan tidak ada keperibadian lagi. Ini keterbalikan mistik Melayu. Perlu diingat, mistik sama sekali tidak dimaksudkan menjadi konsumsi publik.
No comments:
Post a Comment