Susuk ni adalah satu cabang sihir. Kata yang empunya cerita, susuk ini hanya digemari oleh orang-orang berkulit sawo matang(ciku masak). Ada banyak susuk yang diamalkan oleh orang-orang kita, sejak zaman dulu sampai sekarang. sekarang (2011) produk susuk semakin bercambah dengan berbagai nama yang indah mengikut siapa yang mengeluarkannya, dari perguruan mana, dan yang penting bagaimana minat orang yang menjadi pengeluar susuk itu sendiri.
Susuk tidak lain hanya untuk mempertahankan egoisme diri. Biasanya susuk dikaitakan dengan kecantikan, untuk tetap dipandang cantik, tetap glamor, dipandang berkarisma, biasanya pada muka, sebab orang pandang wajah untuk mengetahui seseorang, kemudian bentuk tubuh, walaupun bertudung, ada orang pamer bentuk tubuh yang cantik. Kata ustaz, serupa sahajalah macam tak pakai tudung. Aurat atas tutup, aurat bawah buka.
Sesungguhnya, Allah SWT telah menciptakan sesorang itu dengan kesempurnaan, serba lengkap, sempurna. Tidak perlu diperbaiki lagi, hanya perlu berhias sesuai dengan tuntutan sesuatu yang sesuai dengan keadaan. tidak perlu seseorang hendak mengubah bentuk hidung yang pesek untuk jadi mancung, kulit yang sawo matang menjadi putih gebu, Negro tu tak putih tetapi tetap cantik juga, berapa banyak artis Amerika itu berketurunan kulit hitam? "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
Daripada Ibnu Mas'ud r.a. katanya, "Allah SWT melaknati pembuat tatu dan orang yang meminta supaya dicacah kulitnya, dan orang yang meminta supaya rambut alisnya ditipiskan dan orang yang merenggangkan gigi-giginya supaya kelihatan cantik yang kesemuanya itu mengubah-ubah keaslian kejadian Allah SWT, tiada aku melaknati akan seseorang melainkan ia telah dilaknati oleh Rasulullah SAW...dan termaktub di dalam kitab Allah." (dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Libas, No.5943; oleh Muslim dalam al-Libas Wa al-Zinah,No.2125).
Susuk diamalkan seseorang bukan kerana keyakinan diri seseorang, melainkan lebih banyak dipengaruhi oleh lingkungan, rakan sebaya, dengar-dengar, nak cuba-cuba, hakikat di sebalik susuk tidak diketahui. istilahnya tidak tahu apa, just for fun. Lalu dengan ikut-ikut kawan inilah mereka pun hendak memakai susuk. Soalnya, bagaimana hendak menggunakan susuk? Mulalah cari iklan dalam tabloid atau majalah, mana tahu ada orang yang pakar dalam susuk.
Sekali dibelek akhbar tabloid, jumpalah iklan tentang susuk. Contohnya, menurut sumber dari Kajang, Selangor, ada orang pintar yang boleh menghasilkan susuk, wujudlah susuk-susuk berikut di pasaran. Bukan pasar malam, pasar kemistikan. Nama-nama susuk berbau Melayu seperti, susuk asyik sekampung, susuk sekawan gajah, susuk pemanis, susuk laila suara, susuk pemikat diri, susuk pengasih, susuk pelaris dan banyak lagi. Susuk ini seperti bateri, ada masa tamat tempoh kena cas semula dengan cara mandi bunga dan jampi pemulih. Kena bayarlah, bukan percuma.
Untuk pasang susuk, seseorang yang mahir memasang susuk akan tapakan bahan susuk selama seminggu, kemudian orang yang gila susuk ini dimandikan, iaitu mandi bunga konon untuk pemulih dan menaikkan seri wajah, bahan susuk yang ditapakan itu kemudian diperasapkan, selanjutnya susuk dimasukkan kepada orang yang minat susuk tadi. Susuk dimasukkan melalui dagu, bawah bibir, pipi atau dahi. Susuk utama dimasukkan ke lapisan daging dan kulit dengan menggunakan kaedah kesihiran (maaf ya), bukankah ketika mandi bunga, seseorang itu sudah dijampi-serapahkan dulu? Kemudian ada susuk tumpang pula, kata orang rasanya sakit ketika dimasukkan. Orang tak peduli, bersakit-sakit dahulu, cantik kemudian.
Di zaman dulu ada orang masukkan susuk besi kuning. Banyak cerita besi kuning beredar. Yang asli konon nak bawa naik kapal pun tak boleh. Kalau dah gitu, tak payah bawalah. Inilah ajaran moralnya. Susuk besi kuning ini dipercayai secara mistik akan membawa kekebalan diri, terhindar dari sihir (bukankah kesusukan itu sudah sihir?), dengan susuk besi kuning seseorang itu dipercayai boleh kalahkan orang lain yang guna susuk jenis lain (susuk besi, susuk tembaga, susuk raksa). Besi kuning ini bukan senang nak dapat kata orang yang berfaham mistik.
Ada pula yang kemaruk susuk, boleh pakai susuk pijar iaitu bahan dari tukang kimpalan. Susuk pijar ini konon boleh pulihkan tenaga batin, boleh mengubati sopak, kedal, jerawat. Cuma pantangnya tak boleh makan buah kundur, labu, nanas dan kelapa muda. Tu sebab kalau jumpa orang berpantang itu dan ini, awas, agaknya pakai susuk. Jangan buruk sangka pula. Orang yang guna susuk raksa, konon tak boleh menyelam dalam air lama-lama, tak boeh panjat pokok tinggi, tak boleh makan ikan bersengat, tak boleh makan pisang emas (pisang termahal), air kelapa muda, labu, buah kundur, kalau langgar pantang, susuk akan hilang dengan sendiri. Tak apalah, tetapi bagaimana kalau susuk tak hilang?
Dalam dunia mistik kesusukan ini, ada bermacam susuk beredar di pasaran terbuka. Baiklah kita sebut satu persatu, susuk kebal untuk pendinding diri, susuk intan di dahi, susuk emas - mesti dikeluarkan sebelum mati, susuk berlian di dagu untuk pelaris niaga - di pipi awet muda, susuk jarum emas, dan kalau di Indonesia ada pula susuk berlian sumber lilin, susuk mustika srikandi, susuk mustika kencana, susuk saningtras untuk di pisau cukur, susuk kencana ungu untuk pesona diri, susuk baja alam pamungkas sebagai wasilah, dan berbagai lagi, tetapi asasnya tetap susuk dari jenis logam. Kebanyakan tukang susuk merahsiakan susuk yang rahsia.
Siapa yang suka pakai susuk? Biasanya mereka yang bergelumang dengan dunia hiburan. Kecantikan, glamor, diburu jurugambar, diburu wartawan, muka jadi penghias cover majalah, front page tabloid, semua orang suka kalau fotonya terpampang, ia akan jadi bahan koleksi. Ketika sudah tinggalkan dunia glamor, gambar itu jadi kenangan. Bukan kenangan yang manis, bahkan ada kenangan yang jadi pahit macam akar patawali atau buah lengundi.
Dukun atau bomoh susuk ada di mana-mana, bahkan ada yang tak segan-segan mendakwa diri sebagai bomoh artis. Kalangan lelaki lembut pun suka melanggan susuk ringan, susuk sederhana dan susuk berat. Pengguna susuk yang karut marut ini sebenarnya menggambarkan ilmu setiap individu. Lagi tak tahu, lagi banyak dan sendatlah susuk di mana-mana. Sebab orang yang berilmu tidak akan memakai susuk. Susuk ketaqwaan itulah yang diutamakan, bukan susuk mainan si tukang susuk. Susuk lebih menjurus kepada amalan syaitan.
Untuk pasang susuk kena mandi bunga, konon buang sial. Ada mandi limau atau sintuk limau. Memang bahan ini menyegarkan badan, tetapi orang memandang dari sudut mistiknya, dari sudut khurafatnya konon untuk elakkan gangguan jin, senang dapat jodoh dan sebagainya. jampi serapah masa mandi bunga pun ada unsur-unsur syirik. Orang jumpa dukun susuk, akan percaya kepada kata-kata dukun susuk. Susuk pengasih pun sebenarnya tidak sesuai lagi dengan zaman. Ia sudah jadi barang kuno. []
No comments:
Post a Comment