Sunday, 29 May 2011

MINYAK DAGU MINYAK PENGASIH


 

Apa Sebenarnya Minyak Dagu?

Orang menyebutnya minyak dagu. Orang jual ubat di kaki lima pun gemar menyebut nama sejenis minyak yang penuh mistik ini. Sesuai dengan nama pang-gilannya begitu, sudah tentu minyak ini memang minyak dari dagu manusia. Bukan dari dagu haiwan atau sebuah jenama yang menggunakan nama dagu, sebaliknya hanya minyak dari dagu yang dikatakan mempunyai khasiat. Bukan sesuatu yang tidak mungkin berlaku, ada orang yang sanggup menjual minyak dagu tiruan. Puncanya, kalangan awam sendiri tidak pernah melihat bagaimana rupa minyak dagu. Penjual ubat kaki lima selalu tunjukkan botol kecil seperti botol minyak wangi dan dibungkus dengan kain merah atau kuning untuk menimbulkan aroma sakral kepada benda itu. Lalu ia namakan benda itu minyak dagu. Betul atau tidak itu minyak dagu, orang tidak akan periksa ketika jual beli berlaku. Penjual minyak dagu akan membuat berbagai alasan. Tidak boleh dibuka di tempat ia dibeli. Perlu disimpan dahulu semalaman. Perlu dibacakan doa-doa atau mantera dahulu. Tujuan-nya untuk melambatkan proses penggunaannya, dan pihak penjual yang berniat menipu akan pergi jauh agar pembeli yang tertipu itu tidak mencari penjual "koyok" itu.


 

Nama Lain Minyak Dagu

Berdasarkan maklumat, ada beberapa jenis minyak yang dikategorikan sebagai minyak dagu. Di tempat lain ada yang menyebutnya minyak pelet atau guna-guna (tiwalah). Sebab minyak itu hendak dipeletkan kepada orang lain. Selalunya pihak lelaki yang menggemari minyak dagu. Tujuannya semata-mata hendak mengenakan orang lain. Ada yang mengenakan secara serius, ada pula yang menggunakan minyak dagu untuk main-main, atau sekadar ingin tahu keberkesanannya. Ujian sebegini sekiranya minyak dagu yang dimiliki itu memang tulen, ia akan membawa petaka kepada yang terkena, terutama yang tidak mempunyai pendindingan diri, iaitu yang tidak mengikut ajaran Islam sebenar, tidak menjalankan apa yang disuruh dan tidak meninggalkan apa yang ditegah. Termasuk tidak menutup aurat bagi wanita, walaupun hal ini ada yang menganggap perkara kecil dalam budaya kita. Ada dua jenis minyak dagu, minyak dagu tulen atau asli dan minyak dagu tiruan. Ia dijaja oleh tukang ubat atau paranormal dengan tujuan untuk mendapatkan wang semata-mata.

Minyak dagu tidak dijaja di kaki lima. Jika ada orang menjaja minyak dagu di kaki lima, berhati-hatilah. Ia kemungkinan besar bukan minyak dagu, tetapi minyak lain. Orang yang tidak mahir dengan minyak dagu (memang tidak ada sesiapa tahu kecuali dukun berkenaan), tidak dapat membezakan mana satu minyak dagu dan mana satu minyak dagu tiruan. Selain minyak dagu, orang juga keliru dengan berbagai jenis minyak yang dijaja oleh para dukun, bomoh dan paranormal, juga penjual ubat kaki lima. Ada yang menyebut minyak pengasih sahaja tanpa menyebut "dagu" kerana perkataan ini menggerunkan.

Ada yang kata ia minyak senyonyong, minyak mati di-bunuh, minyak perempuan mati beranak sulung dan berbagai gelaran mengikut daerah masing-masing. Minyak ini dimiliki hanya untuk tujuan berseronok sahaja. Seronok mengenakan orang lain. Sedangkan kesannya sangat mendalam, mengamalkan sihir untuk sesuatu yang dihajatkan. Minyak dagu adalah minyak misteri. Orang tidak berani bertanya, begitu juga penjual ubat kaki lima. Mereka tidak mengiklankan bahawa apa yang dibawa itu adalah minyak dagu atau minyak pelet. Semua dilakukan dengan cara bisikan. Rahsia. Bimbang diketahui orang ramai. Pemburu minyak dagu rasa malu hendak mendapatkan benda yang dianggap ampuh. Masyarakat Melayu sebenarnya tidak mengenal minyak dagu. Minyak ini hanya dihebohkan oleh kalangan anak-anak muda di Siam. Ia kemudian dieksport ke negara kita. Walaupun tidak ada nilai komersial seperti minyak masak, minyak dagu secara sulit menjadi buruan orang yang kemaruk dengan ilmu-ilmu hitam.


 

Kaitan Ilmu Hitam

Oleh sebab minyak dagu ada kaitan dengan ilmu hitam, ia tidaklah menjadi buruan sangat. Orang tidak peduli pun dengan adanya minyak dagu atau minyak apa pun. Orang tidak ambil tahu. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh tidak ambil peduli dengan minyak yang satu ini. Kecuali orang yang gemar atau ketagih dengan sesuatu yang misteri. Mereka akan mencari minyak dagu. Untuk apa? Untuk disimpan sahaja. Untuk apa disimpan? Ini bukan benda baik untuk disimpan. Kalau boleh orang tidak mahu sentuh langsung. Orang yang menjaga solat lima waktu tidak akan tertarik dengan minyak dagu. Minyak dagu ada banyak nama. Mungkin orang Siam panggil begitu. Orang Jawa panggil lain pula. Orang Dayak dan Orang Asli panggil apa pula? Nah! Minyak dagu ada yang memanggilnya "ibu" iaitu hantu si mati. Ada yang mengatakan ia qarin si mati. Minyak dagu memang ada kaitan dengan arwah. Oleh sebab dipanggil minyak dagu, bermakna minyak itu berasal dari bahagian dagu manusia yang telah dikuburkan dan kemudian dikorek semula. Menurut kalangan dukun yang mengetahui sedikit sebanyak tentang hal ehwal minyak dagu, sebenarnya bukan hanya kepada dagu orang perempuan mati beranak sulung sahaja. Ada yang menggunakan mayat orang mati dibunuh untuk membuat minyak dagu. Bermakna, mereka tidak mengharapkan mayat perempuan sahaja.

Bagaimana mereka membuat minyak dagu ini? Maklumat yang dipaparkan ini bukan hendak mengajar orang melakukan kejahatan, tetapi hanya untuk maklumat betapa perbuatan ini menjurus kepada ketidakmanusiaan untuk dikata kebinatangan. Orang tentu hairan, bagaimana dukun yang asal dahulu mendapat ilham untuk membuat minyak dagu ini. Kemungkinan besar, jin-jin yang menjadi qarinnya telah memberikan idea ini untuk membuat minyak guna-guna menurut kepercayaan agama mereka. Jin-jin kafir yang rapat dengan dukun asal inilah yang memberikan maklumat bagaimana hendak mencipta minyak guna-guna. Atas nasihat makhluk halus inilah, dukun mula mencipta formulanya. Hanya orang yang menggemari ilmu-ilmu karut sahaja yang tergamak dan sanggup melakukan kerja-kerja gila ini. Daripada maklumat syaitan ini, dukun mula mencipta guna-guna. Sudah tentu kepada dukun dan paranormal yang mengetahui selok-belok membuat minyak dagu sahaja pemburu guna-guna ini akan merujuk.


 

Misteri Pengambilan Minyak Dagu

Menurut kisah, di kalangan dukun yang pintar dalam soal pembuatan minyak dagu, dia akan membimbing seseorang yang ingin melakukan kerja-kerja kotor ini di perkuburan. Tidak kira itu perkuburan siapa, Islam atau bukan Islam, pemburu ilmu hitam sentiasa mencari peluangnya dan sanggup buat apa sahaja.

Penggemar minyak dagu menurut perkhabaran dari mereka (dukun) selalunya akan menuju ke Selatan Siam untuk mendapatkan minyak dagu tulen. Minyak itu konon diperbuat dengan cara melayur dagu mayat di kawasan perkuburan. Yang menjadi sasaran dukun minyak dagu adalah perempuan yang mati bersalin anak sulung. Siang dikuburkan, malamnya "hantu-hantu manusia" yang menggilai minyak dagu mula menjalankan operasinya. Kumpulan hantu manusia ini terlalu berani dan nekad. Biasanya dilakukan oleh beberapa orang lelaki yang kemaruk minyak dagu. Mereka menggali kubur pada waktu malam dengan dibimbing oleh dukun pakar minyak dagu.Setelah kubur digali, mayat dinaikkan ke atas dan disandarkan pada sebatang pokok. Dengan arahan daripada dukun yang asyik membacakan mantera, tiga lelaki melakukan kerja sadis, membakar dagu mayat dengan lilin. Api lilin itu akan memanaskan dagu sehingga keluar-lah tetesan lemak dagu. Tetesan itu ditadah dengan bekas khas atau tempurung kelapa. Kata orang, upacara melayur ini memerlukan tiga orang. Seorang tukang layur dagu, dua orang memegang tangan kanan dan tangan kiri mayat. Mereka tidak memerlukan tetesan yang banyak, sekadar memenuhi botol kaca berukuran kecil seperti botol minyak wangi pun sudah memadai. Menurut cerita, ketika melayur dagu dilakukan, ber-bagai godaan datang di sekeliling mereka. Maklumlah, tugasan seperti ini telah dimulai dengan pemujaan dan pemanggilan makhluk misteri untuk melancarkan usaha.

Dukun pakar ini membaca mantera perlindungan syirik sambil melemparkan beras kunyit bercampur buah lenga dan pasir pantai. Sepanjang kerja menggali dan melayur, dukun yang jadi ketua hanya membaca mantera dalam bahasa Siam sambil melemparkan pasir tersebut ke arah makhluk halus yang dikatakan datang meng-ganggu mereka. Yang peliknya, kumpulan lelaki yang menggali kuburan ini perlu berbogel atau hanya berseluar dalam sahaja. Apa alasannya, tidak diketahui. Mungkin hendak mengelakkan pakaian mereka kotor terkena lumpur dalam kubur. Air layuran dagu mayat itu kemudian diserahkan kepada dukun mahir. Dukun itulah yang akan melakukan ritual khusus, iaitu suatu bentuk pemujaan. Dukun akan membakar kemenyan atau bau-bauan yang setaraf dengannya ketika proses pemujaan berlangsung. Mantera dibaca, gunanya untuk memberikan tambahan "power" kepada minyak mayat itu. Inilah ilmu yang diperoleh dari kubur. Lebih tepat jika disebut ilmu dari kubur.

Konon, ketika dipuja dan diperasapkan dengan bau-bauan mistik itu, akan terdengar suara rintihan daripada roh si mati. Biasanya nama orang itu akan diseru dengan kaedah sihir. Inilah yang orang kata mengundang arwah. Amalan mengundang arwah memang banyak dilakukan orang-orang tertentu di Timur Tengah sana. Mesir tidak terkecuali. Berdasarkan penjelasan oleh Majdi Muhammad asy-Syahawi mengenai mengundang arwah (Seluk-beluk Arwah Menurut al-Quran dan as-Sunnah, terj.), ia tidak lebih merupakan upaya meminta bantuan kepada jin dan syaitan. Arwah si mati yang konon diseru dan dipuja untuk mendapatkan bantuan agar memberi keizinan untuk menggunakan "bahan" dari dagu si mati, dijanjikan agar bahan itu diberikan kekuatan untuk mempengaruhi seseorang yang ditujukan secara mantera syirik.

Jin yang menyamar sebagai arwah si mati memperdaya si dukun untuk mencipta guna-guna di dalam botol. Jin itu tampil di depan si dukun. Jin membantu dukun yang kafir ini kerana guna-guna ciptaannya akan diserahkan kepada orang yang mengaku beragama Islam. Jin tidak mahu membantu manusia dan tidak akan tunduk kepada mereka, kecuali jika keduanya memiliki keyakinan yang sama. Jika jin itu kafir, maka dukun atau penyihirnya juga harus kafir. Kalau jin itu Yahudi atau Nasrani, dukun pun kena ikut cara mereka. Kekafiran atau kesyirikan adalah syarat utama antara jin dan penyihir. Ketika diseru nama si mati, jin pun menjawab seruan itu. Ini tipu muslihat jin terhadap manusia. Menurut dukun, apabila diseru, akan ada jawapan-nya. Itu suara roh si mati yang telah dipanggil kerana minyak yang dipuja itu asalnya daripada dagu mayat. Sudah tentu berlakulah dialog di antara "si mati" dengan dukun pakar. Terjadilah tawar-menawar bahawa dukun perlukan bantuan dari "si mati" sebagai tanda mohon maaf, dan mohon dibantu agar minyak dagu yang diperoleh itu mempunyai impak yang maksimum.

Biasanya, menurut keterangan dukun, terjadi dialog lebih kurang begini: "Kenapa kamu lakukan semua ini terhadap aku. Pulangkan semula air yang kamu tadah dari daguku. Aku rasa terganggu oleh kelakuan kamu yang jahat ini," kata qarin si mati. "Aku perlu bantuanmu. Jadikanlah minyak dagu ini berkesan setiap kali aku seru namamu. Bantulah aku agar ia tidak kering. Jadikanlah ia penuh pada waktu aku panggil namamu ketika bulan mengambang penuh," begitulah kira-kira antara lain dialog yang dilakukan oleh dukun minyak dagu (dialog begini tidak semestinya benar – penulis).

Benarkah berlaku dialog di antara "si mati" dengan dukun pakar minyak dagu seperti yang diceritakan orang itu? Kemungkinan besar, yang wujud itu adalah qarin iaitu jin pendamping perempuan yang dagunya telah dilayur dengan kejam. Atau mungkin makhluk jin jenis jahat yang menya-mar sebagai qarin, berpura-pura mewakili perempuan itu ketika namanya dipanggil. Dialog itu hanya melibatkan dukun pakar dengan suara misteri yang tidak kelihatan kelibatnya. Seolah-olah dukun bercakap seorang. Dia bertanya dan dia sendiri yang mendengar ada suara menjawab. Ingat. Tipu daya syaitan dan iblis sangat kuat jika ada manusia yang menggemari benda-benda karut seperti ini. Ilmu minyak dagu ini tergolong ilmu hitam dan hanya diminati oleh golongan manusia yang sesat sahaja. []

2 comments:

  1. singgh promosi kedai online Perfume Malaysia (Menjual perfume grade AAA)

    ReplyDelete
  2. Yang perlu minyak.dagu.dan minyak kerbau jalang serta minyak kuyang silahkan hub.083167951468

    ReplyDelete