Bertemu Nenek Kebayan
SIRI KISAH MISTERI
Oleh ANDONG MISNON JAMIL
Perempuan Tua di Tepi Jalan
Pak Udin kerap balik ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur melalui jalan Kuala Lipis – Gua Musang. Biasanya dia memandu pada waktu siang untuk berulang-alik dari Bandaraya ke kampungnya di Pantai Timur. Pak Udin sudah biasa melalui jalan itu, hingga dia ingat di mana ada selekoh, di mana ada jurang dalam dan di mana dia boleh berhenti rehat mencari gerai atau kedai makan.
Biasanya dia memandu seorang diri. Di dalam perjalanan itu dia hanya mendengar celoteh deejay radio yang menyiarkan lagu-lagu dan iklan yang berulang-ulang disiarkan. Lagu-lagu pun begitu. Pak Udin sudah hafal, setiap stesyen radio ada senarai lagu yang selalu dimainkan. Pak Udin pun boleh mengagak lepas satu lagu, lagu apa yang akan disiarkan. Semuanya Pak Udin sudah tahu.
Pak Udin bukan minat pun dengar lagu begitu. Oleh sebab dia memandu seorang, dia tidak ada pilihan lain. Dengar sahajalah lagu apa pun. Dengar sahajalah iklan yang disiarkan walaupun dia tidak ambil peduli.
Semua itu hanya untuk mengisi kekosongan. Tidak ada kawan untuk berbual-bual. Memandu seorang boleh menyebabkan mengantuk dan penat.
Ada suatu perkara yang Pak Udin tidak boleh lupa. Setiap kali dia menghampiri kawasan Bukit Tujuh, dia nampak sesuatu yang misteri. Dia melihat ada seorang perempuan tua berjalan di tepi jalan sebelah kiri. Siapa perempuan tua itu?
Pelik juga. Bukan ada perkampungan di kawasan itu. Semuanya hutan. Kawasan rumah yang ada pun jauh dari tepi jalan. Pak Udin sudah dapat pastikan, di tempat yang sama dia melihat perempuan tua itu berjalan di pinggir jalan.
Kalau tidak salah, setiap kali dia memandu pada waktu malam, dia pasti terpandang perempuan tua itu. Mahu sahaja dia berhenti di situ dan bertanyakan sesuatu. Niatnya ditangguhkan. Biarlah. Mungkin perempuan tua itu memang tinggal di situ.
Yang menganehkan, Pak Udin ternampak perempuan tua itu pada waktu malam sahaja. Antara pukul 12.00 tengah malam hingga ke pukul 4.00 pagi. Lalulah di situ, pada pukul berapa pun selepas dinihari, dia pasti lihat perempuan tua itu.
Soalnya, siapa perempuan tua itu. Kelihatannya seperti seorang nenek kebayan di dalam cerita-cerita dongeng. Nenek kebayan dalam cerita Puteri Gunung Ledang pun seusia perempuan tua itu.
Pak Udin teringin menyapa perempuan tua itu, tetapi apabila difikirkan, dia membatalkan niatnya. "Selagi perempuan tua itu tidak menahan keretaku, aku tidak akan berhenti tanpa sebab," itulah janji Pak Udin pada dirinya.
Kisah dia nampak perempuan tua setiap kali lalu di jalan utama itu adalah misteri. Itu rahsia Pak Udin. Dia tidak mahu cerita kepada sesiapa pun. Kalau hendak cerita pun, ia tidak penting.
Perempuan tua itu tidak ganggu orang. Dia bukan hantu. Dia mungkin baru balik kerja. Atau dia ada urusan. Dia bukan tinggal dalam hutan. Mungkin ada rumah di kawasan hutan itu. Berjalan waktu malam seperti itu, Pak Udin tidak nampak ada rumah di kawasan itu.
Akhirnya, Pak Udin tetap berbaik sangka kepada perempuan tua itu. Dia bukannya hantu. Dia bukannya nenek kebayan walaupun boleh diumpamakan begitu.
Apakah nenek kebayan zaman Kesultanan Melaka dulu masih wujud lagi? Soalan Pak Udin itu mati di situ sahaja. Tidak ada satu buku pun yang mengisahkan nenek kebayan. Tidak ada ahli budaya mengkaji dongeng nenek kebayan.
Kalau ada buku cerita tentang misteri nenek kebayan, elok juga untuk dijadikan tatapan murid-murid sekolah. Sekurang-kurangnya mereka akan tahu. Siapa nenek kebayan? Dia tinggal di mana?
Ketika memandu kereta, Pak Udin teringatkan nenek kebayan. Bukan perempuan tua yang selalu dia lihat di tepi jalan itu. Dia teringat kisah Puteri Gunung Ledang. Nenek kebayan itu sebenarnya seorang puteri yang cantik. Dialah yang menyamar jadi nenek kebayan.
Bagaimana puteri jelita itu boleh menyamar sebagai perempuan tua? Bagaimana dia boleh menukar wajah dengan cepat?
Ketika melirik ke arah jam di tangan kiri, baharulah Pak Udin perasan sudah pukul 2.00 pagi. Jalan utama kelihatan tenang. Kenderaan yang melalui jalan raya utama itu tidak banyak. Mungkin bukan musim cuti agaknya.
Oleh sebab dia berasa lebih, dia pun berehat sebentar di sebuah gerai tepi jalan. Ada beberapa orang yang berehat di situ. Ada yang duduk bersembang dan ada yang sedang menjamu selera.
Pak Udin memesan kopi panas untuk hilangkan mengantuk. Dia juga memesan nasi lemak kukus berlauk ayam goreng berempah. Itulah makanan kegemaran Pak Udin.
Kisah perempuan tua dan nenek kebayan kembali bersarang di dalam kepalanya. Dia makan nasi lemak kukus perlahan-lahan. Tidak ada apa yang perlu dikejar. Kalau pandu laju-laju nanti kena perangkap laju pula. Kena saman kerana melebihi had laju.
Selesai makan nasi lemak kukus, dia hirup air kopi panas perlahan-lahan. Dia juga membelek telefon tangan yang ada. Dia buka laman web. Dia boleh baca berita dunia, berita nasional dan apa sahaja dengan telefon bimbit itu.
Setelah berehat lama sambil sesekali matanya tertumpu ke layar televisyen di warung itu, dia pun bersiap-siap hendak meneruskan perjalanan.
Ketika masuk ke kereta dia berharap pagi itu boleh bertemu perempuan tua itu sekali lagi. Dia sangat berharap perempuan tua itu menoleh ke arahnya. Atau perempuan tua itu menahannya supaya berhenti untuk bertanyakan sesuatu.
Pada fikiran Pak Udin, perempuan tua itu memang misteri. Kenapa dikata misteri? Dia hanya kelihatan pada waktu malam. Antara pukul 12.00 tengah malam hingga menjelang subuh. Kenapa dia berjalan pada waktu itu? Tidak takutkah dia berjalan seorang diri? Inilah soalan yang selalu mengganggu Pak Udin.
Nyanyi Lagu Nenek
Sambil memandu, Pak Udin teringat lagu kanak-kanak tentang nenek. Dia tidak ingat lirik lagu kanak-kanak itu. Ingatannya samar-samar, tetapi dia ingat benar dengan melodinya.
WAHAI NENEK SI BONGKOK TIGA,
SIANG MENGANTUK MALAM BERJAGA,
MENCARI CUCU DI MANA ADA…
Agaknya nenek berjaga kerana menari cucunya? Tidak mungkin mencari cucu. Pagi-pagi begitu cucu nenek sudah tidur lena. Nenek tidak perlu mencari cucu.
Tanpa disedari Pak Udin sudah sampai ke kawasan yang berhampiran Bukit Tujuh. Sengaja Pak Udin memperlahankan keretanya. Dia menaikkan sorotan lampu depan supaya boleh lihat dari jauh. Mana tahu di depan sana ada perempuan tua berjalan di sebelah kiri jalan.
Dalam pada itu Pak Udin menyanyi-nyanyi kecil. Lagu nenek tadi. Lagu yang masih dia ingat melodinya walaupun liriknya dia sudah lupa.
Tiba-tiba…
Nun di depan sana, sorotan lampu tinggi keretanya tepat kepada seseorang yang sedang berjalan kaki di sebelah kiri jalan raya.
Itulah nenek yang Pak Udin cari-cari. Dengan sorot lampu yang tinggi dan perlahan gerakannya, perempuan tua di kiri jalan itu berhenti berjalan. Dia menoleh ke kanan. Menoleh ke arah datangnya cahaya lampu yang sudah direndahkan.
Perempuan tua itu berdiri tercegat dan memandang ke arah kereta Pak Udin. Kelihatan dia melambaikan tangan ke arah Pak Udin. Itu isyarat supaya Pak Udin berhenti. Ada sesuatu yang perempuan tua itu hendak beritahu kepada Pak Udin.
Pak Udin memperlahankan keretanya dan kemudian terus berhenti di depan perempuan tua itu. Dia turunkan cermin tingkap sebelah kiri. "Nek! Nenek hendak ke mana pagi-pagi ni?" Tanya Pak Udin ingin tahu. Inilah peluang dia hendak mengenali diri perempuan misteri ini.
"Aku nak balik! Boleh tumpang ke?" tanyanya dengan suara sedikit garau seorang nenek.
"Boleh! Masuklah," kata Pak Udin sambil membuka pintu kiri keretanya.
Perempuan tua itu masuk dan terus duduk. Tidak ada bau apa-apa. Tidak berbau hapak atau busuk. Mungkin kerana penghawa dingin dalam kereta.
"Cu!" suara nenek bergetar. Pak Udin memandu dengan perlahan. Dia mahu menghantar nenek itu pulang ke rumahnya. Perempuan tua itu bersuara lagi, "Cu… kalau nak tahu di tempat ini ada banyak harta karun."
Terkejut Pak Udin mendengar kata-kata dari perempuan tua itu. Pak Udin tidak terkata apa. Dia tergamam. Rasa ingin tahu melonjak-lonjak. Dia menoleh ke arah perempuan itu. Ini perempuan misteri. Kenapa dia kata di situ ada banyak harta karun?
"Bagaimana saya nak tahu di mana harta karun itu?" tanya Pak Udin memberanikan diri. Dia sedar bahawa perempuan tua ini jujur, dia berkata yang benar.
"Kalau cucu nak tahu, datang sahaja ke sini esok, carilah sebatang pokok pinang tunggal yang tinggi, dekatnya ada busut, di situlah harta karunnya," terang perempuan tua itu.
Pak Udin gembira bukan main mendengar kata-kata perempuan itu.
"Bolehkah saya mengambilnya nek?" tanya Pak Udin memberanikan diri.
"Kalau cucu nak, datanglah esok ke tempat yang nenek kata tadi," kata perempuan tua itu lagi.
"Betulkah di sini banyak harta karun, nek?"
"Betul, nenek tidak tipu. Hanya orang tertentu sahaja nenek nak beri."
Terkejut Pak Udin mendengar kata-kata itu. Kini Pak Udin sudah termasuk dalam senarai orang yang hendak diberi harta karun itu.
"Jadi, adakah cucu ni layak untuk dapatkan harta karun itu?"
"Nenek dah beritahu, kalau hendak… datang ke sini esok pagi," kata nenek dengan suara lebih tegas.
Benarlah, nenek tidak menipu. Dia berkata jujur. Memang di situ ada hartga karun. Tidak lama kemudian dia diam. Dia tidak berkata suatu apa. Sementara Pak Udin pula jadi buntu. Dia tidak terkata apa. Dia diam sahaja sambil memandu dengan perlahan. Dia buat begitu supaya dia boleh dengar percakapan perempuan tua yang dipanggil nenek itu dengan jelas. Memang jelas. Pak Udin faham. Tidak perlu tanya banyak kali.
"Nek!" suara Pak Udin tenggelam. "Cucu nak tahu, nenek kata tadi di sini banyak harta karun."
"Memang banyak!"
"Milik siapakah harta karun itu?"
"Itu nenek punya. Nenek warisi dari zaman nenek moyang nenek."
"Kalau begitu sudah beratus tahun ya nek!"
"Sejak zaman British dulu lagi."
"Nenek kenal dengan nama Mat Kilau, Tuk Gajah dan Datuk Bahaman?"
"Kenal nama sahaja, tetapi tidak pernah jumpa."
Harta Karun
Kini Pak Udin sudah tahu harta karun itu adalah kepunyaan nenek itu sendiri. Siapa sebenarnya nenek itu, Pak Udin tiak perlu soal lebih mendalam. Nanti nenek marah pula. Pak Udin kena ikut cara nenek bercakap. Kalau dia hendak cerita tentang harta karun, dia boleh cerita semuanya. Sayangnya, pertemuan itu singkat sahaja. Kalau ada perkara yang hendak ditanya, Pak Udin tidak mahu bertanya. Lagipun, dia tidak tahu hati budi nenek ini.
"Cu! Berhenti di sini," perempuan itu mengarahkan Pak Udin. Pak Udin memberhentikan keretanya di pinggir jalan.
Pak Udin menjenguk ke luar tingkap kereta. Dilihatnya kanan dan kiri jalan dipenuhi hutan. Rumah nenek di dalam hutan itulah agaknya. Pak Udin tidak perlu soal lagi.
"Esok saya datang sini," kata Pak Udin.
Perempuan tua itu membuka pintu sebelah kiri dan melangkah keluar. Sebaik berada di luar sebelum pintu ditutup, dia berkata lagi, "Datanglah esok, ini peluang baik untuk cucu. Hanya cucu seorang yang beruntung, ada banyak lagi harta karun yang tersembunyi di sini."
Kata-kata perempuan tua itu yang dia gelar sebegai nenek kebayan itu perlu dibuktikan. Esok Pak Udin akan datang ke situ. Pak Udin perhati kanan dan kiri. Perempuan tua itu berjalan menuju ke kiri jalan. Meredah kawasan semak. Dan dalam sekelip mata dia hilang dari pandangan.
Rasa seram sejuk juga. Waktu itu sudah pukul 2.45 pagi. Pagi itu cahaya bulan menerangi kawasan sekitar. Pak Udin keluar dari kereta. Dia capai karung plastik di dalam bonet kereta. Karung plastik warna putih itu dia ambil dan kemudian dia mencari pokok untuk dijadikan penanda.
Pak Udin gunakan plastik putih itu sebagai penanda. Plastik putih diikatkan pada ranting pokok di situ. Itulah penandanya. Hanya Pak Udin yang tahu. Orang lain tidak tahu apa. Itu penanda misteri. Hanya Pak Udin seorang yang memahami tanda putih itu.
Pak Udin berdiri mengamati kanan dan kiri jalan lagi. Dia catatkan di dalam telefon bimbitnya. Sekarang senang. Tidak perlu pen dan kertas. Telefon bimbit pun boleh dijadikan buku nota. Kalau ada kertas dan pen tentu Pak Udin sudah catatkan di situ.
Itulah pertemuan misteri yang dihajatkan oleh Pak Udin.
Bagaimana semua ini boleh terjadi? Sebenarnya, beberapa bulan lalu, Pak Udin pernah melihat perempuan tua itu berjalan pada waktu malam. Biasanya Pak Udin nampak perempuan tua itu pada waktu pagi antara pukul 2.00 hingga 4.00 pagi.
Pak Udin hairan. Jika dia melalui jalan itu pada pukul 3.00 pagi pun boleh nampak perempuan tua itu. Pak Udin tidak pernah bercakap-cakap dengan dia. Tidak buat perjanjian apa-apa. Ketika memandu pada pukul 4.00 pagi pun dia nampak juga.
"Hairan juga, adakah orang lain juga seperti aku? Jumpa nenek ini ketika mereka memandu pada waktu pagi?" itulah soalan yang bermain di dalam kepala Pak Udin.
Cari Harta Karun
Ini kisah misteri. Tidak perlu cerita kepada sesiapa. Esok dia hendak datang semula ke tempat yang sudah ditandakan dengan plastik warna putih. Kalau penanda itu orang ambil, tentu sukar Pak Udin hendak mengesan tempat itu.
Sebaik sampai di kampung, Pak Udin asyik teringatkan nenek yang dia temui di kawasan Bukit Tujuh itu. Pesanan nenek memang dia ingat. Nenek kata di sana ada pokok pinang tunggal. Ada busut jantan. Di situlah tersimpannya harta karun itu.
Pak Udin tidak pasti, harta karun apakah yang dimaksudkan oleh nenek. Dia rasa segar sebaik sampai di rumah. Dia capai parang pendek. Capai cangkul. Capai gergaji potong kayu bermata besar. Apa lagi? Pak Udin memeikirkan soal busut. Dia fikirkan bagaimana hendak membawa keluar harta karun itu sekiranya ia banyak?
"Harta karun apa agaknya?" Pak Udin tersenyum seorang diri. Dia mula berangan-angan. Kalau dapat harta karun, bolehlah dia jual harta karun itu. Dia boleh jadi kaya raya!
Bagi Pak Udin kisah dia jumpa nenek di waktu pagi memang cerita misteri. Ia cerita misteri di zaman moden. Orang lain tidak terfikir hendak jumpa nenek di pagi buta begitu. Mungkin nenek itu pernah menahan kereta orang lain. Orang lain tidak melayan nenek. Mereka makin laju apabila ditahan oleh seorang perempuan tua di tempat yang sunyi itu. Di situ bukan ada tanah perkuburan. Bukan ada pokok ara tua!
Mungkin mereka sangka, nenek ini perempuan gila. Pagi-pagi buta berjalan seorang diri. Bercakap seorang. Minta duit kepada pengguna jalan raya. Dia ganggu pengguna jalan raya. Kalau ada budak-budak muda naik motorsikal tentu mereka takut. Mana tahu nenek bertukar jadi hantu yang menakutkan? Nenek boleh terbang. Nenek boleh tertawa menghilai. Atau nenek jadi jelmaan lain?
Tanpa membuang masa, Pak Udin bertolak semula ke laluan yang sudah ditempuh. Dia hendak mencari harta karun di tempat yang ditunjukkan oleh nenek.
Perempuan tua itu dia panggil nenek. Mungkin nenek kebayan. Siapa nama nenek itu tidak penting. Dia nenek yang baik. Dia berterus-terang. Dia tidak merahsiakan sesuatu. Betullah, nenek seorang yang jujur. Payah hendak cari orang seperti nenek yang jujur dan baik hati.
Oleh sebab nenek sudah beritahu di hutan tepi jalan itu ada harta karun, Pak Udin memecut lebih laju untuk ke tempat yang dimaksudkan. Dia tidak peduli dengan saman perangkap laju. Dia ada perkara mustahak. Hanya dia yang tahu.
"Aku nak cari harta karun. Aku bawa parang, bawa cangkul, bawa gergaji… bukan hendak merompak atau menyamun. Aku hendak ke kebun. Aku hendak mencangkul tanah untuk dapatkan harta karun!" Pak Udin memandu sambil tersenyum seorang.
Senyum seorang bukannya orang gila. Ramai orang senyum seorang sekarang. Ketika menggunakan telefon bimbit ada orang tertawa, tersenyum atau bercakap seorang. Ada yang menggerakkan tangan ketika bercakap gunakan telefon bimbit.
Dari kampung ke tempat yang disebutkan oleh nenek kebayan itu tidaklah jauh. Kira-kira pukul 9.00 pagi Pak Udin sudah sampai di kawasan semak-semak tepi jalan. Plastik putih yang dia ikat pada ranting pokok awal pagi itu masih ada lagi.
Busut Jantan Pinang Tunggal
Dengan membawa peralatan yang ada, dia meredah semak belukar di situ. Semalam dia melihat nenek berjalan meredah semak-semak di situ. Pagi itu, ketika Pak Udin melalui semak-semak itu, dia tidak menemui jalan yang dilalui oleh nenek. Tidak ada kesan rumput dipijak oleh nenek. Inilah yang menghairankan Pak Udin. Nenek adalah perempuan tua misteri.
Berbeza sekali pada pagi itu. Semak-semak yang dilalui oleh Pak Udin ada kesannya. Ada kesan rumput dipijak. Dari rumput di tepi jalan raya sehingga ke semak belukar di tepi hutan itu ada lorong laluan yang dipijak oleh Pak Udin.
Siapakah nenek kebayan ini? Dia manusia biasa atau makhluk misteri? Ketika meredah belukar, Pak Udin cuba bayangkan rupa nenek yang baik hati itu. Wajahnya adalah manusia biasa. Tutur katanya juga biasa. Walaupun rambutnya menggerbang, tetapi Pak Udin tidak tercium bau apa-apa pun yang tidak enak.
Mungkin sudah ramai pemandu kereta yang ditahan oleh nenek. Satu orang pun tidak berani berhenti. Apa lagi hendak memberi tumpang nenek naik kereta. Nenek seorang perempuan tua dengan rambut menggerbang tidak bersikat. Tentu orang kata perempuan tua ini orang gila. Merayau pagi-pagi buta tanpa haluan.
Kalau diberi tumpang naik kereta, silap-silap kotor semuanya. Atau mungkin nenek itu menyamar dan merompak pemandu yang ditahannya. Boleh jadi alasan itulah yang menyebabkan tidak ada orang yang berani melayan nenek kebayan.
Nenek bukan penjahat. Bukan perompak. Dia seorang yang berhati mulia. Terbukti, walaupun dia tidak kenal Pak Udin, nenek berani tunjukkan arah harta karun. Nenek ada simpan harta karun di hutan itu.
Kalaulah pemandu kereta tahu, mungkin mereka berebut-rebut hendak berjumpa dengan nenek. Mungkin banyak pemandu yang sengaja berulang-alik di situ pada pukul 2.00 pagi hingga menjelang subuh. Akhirnya, sepanjang jalan dekat Bukit Tujuh semakin sibuk tidak tentu fasal.
Semuanya mahu berjumpa nenek kebayan. Jika begitu jadinya, nenek tidak akan layan. Nenek tidak berikan harta karun kepada orang yang berhajat. Orang yang berhajat selalunya hendak cari untung sahaja.
Sekarang Pak Udin sudah masuk jauh ke kawasan pinggir hutan. Di situ banyak nyamuk. Pak Udin menepis kanan dan kiri kerana diserang nyamuk. Tidak teringat langsung hendak menyapu ubat penghalau nyamuk. Kalau ada, dia boleh sapu ke muka dan lengan tangan kanan dan kirinya sekali.
Di situ Pak Udin teringat semula kata-kata nenek kebayan. Kata nenek, carilah pokok pinang tunggal yang tinggi menjulang. Pak Udin memerhatikan sekeliling. Dia mendongak mahu melihat pokok pinang tunggal. Dari situ dia lihat memang ada pokok tersebut. Maksud nenek, di situ hanya ada sebatang sahaja pokok pinang. Tidak ada pokok pinang lain.
"Mungkin itu pokok pinang tunggal yang nenek kata," fikir Pak Udin dalam hati. Dia pun bergerak ke situ. Dia mendongak memandang ke pucuk pinang tunggal itu. Memang tinggi dan lurus batangnya.
Di mana pula busut jantan yang nenek kata semalam? Pak Udin mencari busut jantan itu. Dia perhati dengan cermat kawasan sekitar. Dia juga melihat-lihat sekelilingnya. Mungkin nenek ada di situ sedang menunggu kedatangannya.
Jika nenek muncul di situ, Pak Udin tidak akan lari. Pak Udin sudah kenal nenek. Nenek seorang perempuan yang baik. Dia bukan hantu. Dia bukan penunggu hutan. Nenek orang kaya. Dia ada simpan harta karun di hutan itu.
"Mana busut yang nenek beritahu itu?" tanya Pak Udin dalam hati. Dia mencari-cari busut jantan. Dia jumpa busut berukuran kecil. Itu bukan busut jantan. Mungkin ada busut yang lebih besar lagi. Sebab itulah ia dipanggil busut jantan.
Betul! Kata-kata nenek memang betul. Nenek tidak menipu Pak Udin. Di depannya ada sebuah busut jantan yang berukuran lebih besar daripada busut yang pertama tadi. Itulah busut yang nenek maksudkan, agaknya.
"Nenek!" kata Pak Udin. "Kalaulah betul busut ini yang nenek maksudkan, berikanlah kepadaku harta karun ini." Pak Udin bercakap seorang diri. Biarlah orang kata dia sudah gila bercakap seorang. Dia sebenarnya sedang berkata-kata kepada nenek. Mungkin nenek ada di situ. Dia mendengar kata-katanya itu.
Bagi mempastikan busut jantan itu ada isinya, Pak Udin gunakan parang pendek untuk mengumpil sedikit tanah busut itu. Busut itu adalah sarang anai-anai. Anai-anai memang membuat sarang daripada tanah dan benda-benda yang sudah dikunyah. Busut yang dibina oleh anai-anai memang keras dan kukuh.
Jangan fikir mudah hendak mengambil harta karun dalam busut. Pak Udin perlu gunakan tulang empat kerat. Tidak ada alat mesin untuk mendapatkannya.
Amat mengejutkan!
Dengan menggunakan parang pendek, Pak Udin dapat mengumpil tanah busut yang keras itu. Di sebalik tanah yang sudah diumpil itu, dia lihat ada logam di dalamnya. Mustahil dalam busut ada logam. Dia gunakan hujung parang yang tajam untuk mengikis tanah busut yang melekat pada logam itu.
Lama kelamaan semakin jelas. Logam warna kekuningan itu mungkin gelang emas. Inilah harta karun yang nenek itu maksudkan. Jika benarlah ini harta karun itu, Pak Udin ucapkan terima kasih kepada nenek. Nenek memang baik hati.
"Terima kasih nek! Aku dah jumpa harta karun nenek!" kata Pak Udin terlalu gembira. Dia tidak peduli dengan gigitan nyamuk di muka dan kedua belah lengannya.
Bagaimana hendak mengambil gelang emas di dalam busut itu? Tanah busut yang dibina oleh anai-anai itu cukup keras.
Puas juga Pak Udin memikirkan perkara itu. Bolehkah dia angkat busut anai-anai itu? Sudah tentu busut itu berat. Entah berapa puluh kilogram beratnya. Pak Udin pun menyukat ukuran keliling busut itu. Dia perlu berhati-hati. Kalau dipecahkan dengan cangkul tentu gelang emas itu patah.
Pak Udin tidak tahu apa lagi yang ada di dalam busut itu. Mungkin ada cincin berbagai jenis. Mungkin ada rantai emas. Gelang emas fesyen dahulu kala. Jika nenek ada di situ, Pak Udin boleh bertanya nenek. Dari mana asalnya emas itu. Mengapa boleh berada di dalam busut. Memang betul nenek kata, itu dari nenek moyangnya.
Misteri Harta Karun Nenek
"Siapa nenek moyang nenek?" tanya Pak Udin.
Setahu Pak Udin, mungkin emas dan barang perhiasan itu kepunyaan orang kaya di zaman silam. Pada zaman dahulu kerap berlaku pergaduhan di antara orang kampung dengan orang luar yang menjadi tali barut orang putih. Nenek moyang nenek cuba pertahankan harta benda yang mereka miliki daripada dirampas penjahat.
Selain orang putih, mungkin harta karun itu disorokkan oleh orang kaya iaitu nenek moyang nenek kebayan di zaman Jepun dulu. Mereka bimbang Jepun akan merampas benda-benda berharga itu. Lebih baik dibungkus dengan kain tebal dan kemudian ditanam di situ.
Kain tebal atau pembungkus apa pun adalah makanan yang enak kepada anai-anai. Apabila bilangan anai-anai semakin membiak, emas dan berlian yang disorokkan itu turut diuli bersama tanah busut. Ia jadi keras dan padu. Semakin lama ia makin besar, hingga jadilah sebuah busut jantan.
Bagaimanapun, cerita emas dibungkus dengan kain atau bahan lain itu adalah rekaan Pak Udin sahaja. Kalau tidak, bagaimana emas boleh berada dalam busut. Adakah anai-anai memakai gelang emas? Adakah anai-anai boleh membuat barang-barang perhiasan?
Sudah tentu tidak. Kalau ada orang hendak buat cerita dongeng pun boleh. Konon pada masa dahulu terdapat sekumpulan anai-anai yang pandai. Permaisuri anai-anai telah memerintahkan kepada anai-anai semua agar mengumpulkan serbuk emas dari dalam tanah.
Maka, anai-anai pun pergilah mencari serbuk emas. Oleh sebab buruh anai-anai cukup banyak, serbuk emas yang dikutip itu dikumpulkan di dalam ruang khas dalam busut. Emas yang dikumpulkan itu kemudian diuli dengan air liur anai-anai. Serbuk emas dibentuk menjadi gelang emas, cincin emas dan berbagai lagi.
Anai-anai itu memang boleh dianggap sebagai pandai emas. Mereka boleh menghasilkan emas sebagai perhiasan untuk manusia. Emas yang dihasilkan di dalam negeri busut itu disimpan sahaja di dalam busut. Anai-anai tidak dapat menjualkan kepada sesiapa pun. Tidak ada serangga sekecil anai-anai yang tahu nilai emas. Hanya anai-anai di negeri busut itu yang tahu.
Sudahnya, Pak Udin tersenyum sendiri. Dia tersenyum kerana cerita anai-anai buat kilang emas di dalam negeri busut. Itu rekaan sahaja. Bukan cerita yang sebenar. Kalau hendak tahu, Pak Uda kena lakukan sesuatu untuk dapatkan emas di dalamnya. Tetapi emas itu bukanlah buatan dari kilang anai-anai. Bukan. Itu hanya khayalan Pak Udin sahaja!
Pak Udin termenung memikirkan busut itu. Setelah berehat sekejap, dia pun ambil gergaji mata besar untuk membelah busut itu. Mula-mula dia belah busut menjadi sebahagian. Oleh sebab nenek ada sebut busut, Pak Udin agak, hanya gergaji mata besar sahaja yang boleh digunakan. Dia tidak boleh gunakan parang pendek. Tidak boleh gunakan cangkul atau besi tuil.
Untuk memotong busut jantan itu Pak Udin perlu berehat dua tiga kali. Penat juga dibuatnya. Nyamuk terlalu banyak. Pak Udin teruskan tugasnya. Dia tidak mencuri busut di dalam belukar sepi itu. Dia mendapat kebenaran lisan dari nenek.
Siapakah nenek yang sebenarnya? Sehingga dia menemui busut pelik itu, Pak Udin tidak tahu siapa sebenarnya nenek. Adakah dia penunggu hutan itu? Dia boleh berjalan di dalam semak-semak tetapi tidak ada kesan rumput dan lalang dipijak. Mungkin nenek tidak pijak tanah. Nenek melayang di atasnya. Langsung tidak ada kesan rumput dan semak dipijak nenek. Yang ada kesan yang sudah dirintis oleh Pak Udin.
Setelah busut itu dibelah jadi dua bahagian, Pak Udin cuba menolaknya dengan sepenuh tenaga. Tidak boleh. Busut itu amat kukuh. Ia melekat di atas tanah. Setelah berehat seketika, Pak Udin menyambung tugasnya semula. Dia mahu belah busut itu lagi menjadi dua bahagian lagi.
Usaha Pak Udin memang menampakkan hasil. Setelah busut itu dibelah dua dan kemudian di belah lagi sehingga menjadi satu perempat bahagian, Pak Udin dapat menolak busut itu dengan mata cangkul yang dibawa. Busut itu terbelah. Kelihatan batu permata berbagai warna tenggelam di dalam tanah busut.
Sungguh kemas binaan yang dibuat oleh anai-anai. Usin sudah dapat mengumpil empat bahagian tanah busut anai-anai. Anai-anai dalam busut itu tidak banyak. Mungkin sudah pindah ke tempat lain atau berada di dalam tanah lebih dalam lagi.
Pak Udin sudah bersedia dengan karung plastic sampah warna hitam yang tidak mudah koyak. Plastik hitam itu memang kukuh. Busut yang sudah dibelah jadi empat bahagian itu dimasukkan ke dalam plastik hitam. Itu plastik sampah yang dia beli di mini market tidak jauh dari rumahnya.
Karung plastik itu diikat kukuh supaya anai-anai yang ada tidak keluar merayap-rayap. Ada empat karung plastik berisi busut jantan di dalamnya. Dengan sekuat tenaga, Pak Udin pikul sebahagian busut itu di atas bahunya. Cangkul, gergaji dan parang pendek dibawa bersama. Busut dalam bungkusan itu disumbat ke dalam bonet kereta.
Dia masuk semula ke pinggir hutan itu. Ada tiga bungkusan lagi yang perlu dibawa. Dia tidak boleh angkat semua sekali. Terlalu berat. Biar lambat, asalkan selamat. "Aku tidak mencuri harta karun ini, aku dapat keizinan dari nenek," kata Pak Udin seorang diri.
Penat lelah yang dialami memang berbaloi.
Dia sudah dapat satu busut jantan yang berisi barang-barang berharga. Entah intan, entah berlian atau batu permata lain, dia tidak pasti lagi.
Sampai di rumah nanti, dia akan pecahkan lagi busut itu. Dia juga ingin tahu adakah emas itu emas tulen atau emas saduran? Sekarang memang banyak emas tiruan. Gelang, rantai, dan cincin emas boleh ditiru.
Memakai barang kemas tiruan lebih baik untuk keselamatan. Jika memakai emas yang sebenar, orang yang memakai akan menjadi sasaran penjahat. Di mana-mana ada orang jahat. Peragut jalanan pun banyak. Peragut di jalan sunyi pun sudah menjadi kebiasaan.
Nenek tidak takut diragut. Dia boleh berjalan seorang diri di waktu dinihari. Nenek tidak takut, sebaliknya orang takut kepada nenek. Mungkin ada pemandu kereta yang memecut ketakutan apabila melihat nenek berdiri di tepi jalan.
Rugi sungguh pemandu yang ketakutan itu. Mungkin sejak dahulu lagi nenek memang mencari seseorang yang jujur dan ikhlas. Nenek mahu menguji seseorang yang hendak diberikan hadian.
Pak Udin adalah salah seorang yang sudah lulus dalam ujian itu. Nenek uji kebaikan hati Pak Udin. Pak Udin tidak berkira. Dia sanggup tumpangkan nenek walaupun keadaan nenek tidak terurus. Mungkin orang anggap nenek ini orang gila.
Hanya orang yang berhati mulia dan tidak memandang seseorang dari pakaiannya, maka orang itulah yang nenek pilih. Nenek pilih Pak Udin untuk diberikan hadiah berupa sebuah busut berisi harta karun.
Kini, tugas Pak Udin sudah selesai. Busut yang dibelah tadi sudah dimasukkan ke dalam kereta. Dia boleh tinggalkan tempat itu bila-bila masa. Tetapi, atas dasar kemuliaan dan budi luhur, Pak Udin masuk semula ke pinggir hutan itu.
"Aku hendak beritahu nenek,"kata Pak Udin. Biarlah nenek tidak kelihatan pun. Pak Udin tetap akan memberikan kata-kata perpisahan kepada nenek.
"Nenek…" kata Pak Udin dengan suara yang jelas. "Aku ucapkan berbanyak terima kasih di atas pemberian nenek berupa sebuah busut jantan. Terima kasih nenek!" kata Pak Udin sambil memandang ke sekeliling. Mana tahu nenek tiba-tiba muncul di situ.
"Nenek… terima kasihlah di atas keikhlasan hati nenek memberikan harta karun ini, aku tidak tahu dengan cara bagaimana lagi hendak membalas budi baik nenek. Sekiranya nenek perlu bantuanku, temuilah aku… aku akan memandu di jalan raya ini seperti biasa agar nenek boleh temui aku. Terima kasih nek!" begitulah kata-kata perpisahan yang dilafazkan oleh Pak Udin.
Nenek Kebayan di Bukit Tujuh
Mujur tidak ada sesiapa di pinggir hutan itu. Mungkin nenek ada di situ. Nenek mungkin mendengar kata-kata Pak Udin itu.
Pak Udin bukan menceroboh kawasan itu. Itu kawasan kepunyaan nenek. Nenek ada simpan harta karun. Kata nenek di situ banyak harta karun. Mungkin nenek akan berikan harta karun itu kepada pemandu lain yang berani dan tidak memilih orang untuk memberi bantuan.
Nenek memang sengaja berpakaian buruk. Memang sengaja dia berambut menggerbang tidak disikat. Penampilan nenek yang begitu menyebabkan orang takut. Nenek hanya tawarkan kepada sesiapa yang berani, tidak kira lelaki atau perempuan.
Jangan anggap nenek itu hantu hutan simpan. Jangan anggap nenek sebagai nenek kebayan sepeti cerita Puteri Gunung Ledang. Nenek tidak tinggal di Bukit Tujuh. Nenek tinggal di sebuah perkampungan tidak jauh dari jalan raya.
Pak Udin memandu dengan fikiran tenang. Hilang rasa mengantuk. Semalaman dia belum tidur. Pagi-pagi lagi sudah menuju ke pinggir hutan untuk mencari harta karun dalam busut. Kini, harta karun itu sudah ada dalam keretanya.
Pak Udin bernyanyi-nyanyi kecil sambil memandu. Petang itu dia tidak perlu berehat. Dia ada tugas. Dia mahu leraikan tanah busut yang melekat pada gelang emas dan cincin emas yang ada. Tanah busut itu keras seperti disimen. Kalau dia sabar, satu-satu gelang emas yang tebal itu boleh dia keluarkan.
Dapat satu pun tidak apa. Sebabnya, Pak Udin hendak bawa gelang emas contoh itu ke kedai emas. Dia mahu tahu, betulkah gelang emas itu tulen atau saduran sahaja.
Kisah Pak Udin jumpa harta karun itu dirahsiakan. Hanya isterinya sahaja yang tahu. "Jangan bagi tahu jiran-jiran," kata Pak Udin kepada isterinya Kak Rogayah.
Anak-anak Pak Udin yang masih kecil tidak tahu menahu tentang barang kemas dan busut. Budak-budak itu tidak peduli langsung dengan busut itu. Mereka fikir ayah mereka telah bawa tanah keras yang tidak berguna. Mereka asyik bermain di bawah rumah. Berkejar-kejaran dan kemudian masuk ke ruang dapur.
Pak Udin bersihkan gelang emas itu. Dia tunjukkan kepada isterinya, Kak Rogayah.
"Ini emas atau bukan?" tanya Pak Udin sambil menimang-nimang di atas tapak tangan kanannya.
Dia serahkan kepada isterinya. "Ini emas bang," kata Kak Rogayah.
"Betulkah ini emas?" tanya Pak Udin tidak pasti. Dia tersenyum. Kak Rogayah pun senyum juga. "Kalau emas tak mengapa, kalau hanya emas tiruan penat sahajalah yang aku dapat."
"Emas!"
"Tak apa, aku nak jumpa Ah Seng, tentu dia tahu emas atau bukan," kata Pak Udin. "Kalau ini emas, aku nak tanya Ah Seng, berapa dia berani beli? Boleh aku jual gelang emas ini dulu."
Petang itu juga Pak Udin pergi ke pekan utama. Pekan itu tidak jauh dari rumahnya di kampung. Dia terus masuk kedai emas kepunyaan Ah Seng. Pemilik kedai emas yang berbadan tegap itu melihat ada seorang lelaki masuk ke kedainya. Mungkin hendak beli emas atau sekadar tengok-tengok emas dari luar peti pameran.
"Ah Seng!" kata Pak Udin. "Cuba lu tengok ini emas atau bukan!" Dia hulurkan gelang kekuningan emas itu kepada Ah Seng.
"Mana lu dapat?" tanya Ah Seng sambil membelek-beleknya dari dekat.
"Adalah!" jawab Pak Udin sambil tersenyum. "Tauke tengok dulu, apa macam, ada betul ka atau tipu punya?"
"Emas tipu tak serupa ma!" kata Ah Seng sambil masuk ke ruang dalam untuk menguji ketulenan emas.
"Emas ka?" Tanya Pak Udin tidak sabar-sabar.
"Ini emas banyak lama woo! Mana lu dapat?" tanya Ah Seng sambil tersenyum.
"Saya dapat mimpi orang tua, orang tua sudah kasi sama saya," kata Pak Udin berjenaka.
"Mimpi ka? Banyak bagus…"
"Yalah, saya mimpi satu orang tua perempuan, rambut putih-putih, dia kasi alamat, suruh saya angkat ini emas dalam hutan," kata Pak Udin membuka cerita.
"Dalam hutan? Ini hantu punya barang lo!"
"Bukanlah! Itu orang tua banyak baik punya," kata Pak Udin lagi.
"Ini emas apa macam, awak mahu jual ka apa?" tanya Ah Seng.
"Berapa lu berani beli?"
"Timbang dululah," balas Ah Seng.
"Satu gram berapa?"
"Itu tak tentulah, harga turun naik."
"Berapa?"
Ah Seng bawa alat pengira dan tunjukkan kepada Pak Udin. Dia tunjukkan jumlah yang Ah Seng tawarkan. Untuk gelang yang padu itu Ah Seng tawarkan seribu ringgit lebih. Harga sebenar mungkin lebih dari itu jika ada orang beli. Pak Udin fikir, harga itu munasabah. Masuk akal.
Lagipun gelang emas itu bukan dia curi. Emas itu pemberian dari seorang nenek yang baik hati. Petang itu Pak Udin senyum lebar. Dalam saku seluarnya sudah ada wang hasil jualan gelang emas yang dia keluarkan dari dalam busut.
Pak Udin mula memasang angan-angan.
Kalau satu gelang emas dia boleh dapat seribu lebih, bagaimana andainya emas-emas yang ada di dalam busut itu dia keluarkan semua? Mungkin puluhan ribu ringgit yang dia boleh dapat.
"Inilah yang orang kata harta karun!" kata Pak Udin memberitahu isterinya Kak Rogayah.
"Harta karun?"
"Ya!"
"Dari mana abang dapat?"
"Ada perempuan tua beri pada aku. Nak kata perempuan tua itu manusia, dia bukan manusia, nak kata hantu pun bukan hantu…" kata Pak Udin dengan suara perlahan.
Dia perhatikan wajah isterinya berubah. Agaknya dia rasa seram apabila Pak Udin kata nenek itu bukan manusia dan bukan hantu. Walaupun bimbang dia kemudian memaksa diri untuk senyum di depan Pak Udin.
"Dah rezeki kita bang," kata Kak Rogayah. Pak Udin cukup lega. Isterinya tidak banyak bertanya. Dia langsung tidak minat hendak tahu lebih dari itu. Asalkan jangan merompak dan menyamun sudahlah.
"Jangan fikir yang bukan-bukan," tingkah Pak Udin.
"Kenapa kata begitu?"
"Habis! Tadi aku kata nenek itu manusia pun bukan, hantu pun bukan."
Bukan Emas Tiruan
Bagi Pak Udin, elok juga dia pergi kedai Ah Seng. Dia mahu tunjukkan rupa busut yang dia miliki itu. Dengan casra begitu Ah Seng tidak anggap yang bukan-bukan. Mungkin Ah Seng anggap Pak Udin menipu. Pak Udin segan hendak jual emas lamanya.
Untuk kepastian, Pak Udin tunjukkan serpihan daripada satu perempat bahagian busut yang dia belah. Dia tunjukkan kepada tauke Ah Seng. Pekedai emas itu ternganga melihat benda pelik itu.
"Dalam ini anai-anai punya rumah pun ada emas ka?" tanya Ah Seng.
"Lu sendiri tengoklah, bukan saya mahu tipu," terang Pak Udin.
Ah Seng tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mungkin itulah kali pertama dia lihat busut begitu. Dalam busut ada emas.
"Kasi saya satu busut kecik punya," kata Ah Seng.
"Berapa lu berani bayar?"
"Agak-agaklah, cincai…" Ah Seng tertawa.
Setelah tawar menawar, akhirnya Pak Udin menjual seperempat busut anai-anai yang berisi barang-barang perhiasan yang tidak ketahui isinya. Mungkin Pak Udin rugi kalau dijual secara borong begitu.
"Tapi jangan cakap saya tipu, dalam busut ini ada banyak atau sikit saya pun tak tahu, macam mana mahu x-ray ini busut?" kata Pak Udin memberitahu Ah Seng.
"Saya bukan mahu kasi pecah. Saya mahu simpan dalam almari, kasi orang tengok, apa macam," jelas Ah Seng.
"Kalau begitu tidak apa," ujar Pak Udin.
Pak Udin tidak rasa rugi. Benda-benda itu semua adalah pemberian perempuan tua yang dipanggil nenek. Sekiranya nenek tidak tunjukkan busut itu, sudah tentu Pak Udin tidak merasa duit Ah Seng. Ah Seng pun tentu tidak pernah tengok emas dalam busut seumur hidupnya.
Urusan dengan Ah Seng selesai. Pak Udin sudah mendapat wang hasil menjual busut anai-anai yang mengandungi batu permata dan gelang emas. Dalam keretanya ada tiga ketul lagi busut anai-anai yang belum dibelah. Dia pun tidak tahu apa isi di dalamnya.
Busut anai-anai itu hendak dibawa ke Kuala Lumpur. Pak Udin hendak tunjukkan busut itu kepada orang Kuala Lumpur. Pak Udin perlu buktikan bahawa dia bercakap benar. Seandainya dia ceritakan kisah nenek kebayan itu, tentu orang tidak percaya.
Betul juga kata Pak Udin. Orang Kuala Lumpur anggap Pak Udin kaki temberang. Bob Leman ketawa mendengar cerita Pak Udin dapat harta karun dari nenek kebayan.
"Janganlah nak mengarut bang!" kata Bob Leman. "Cerita dengan orang zaman dahulu yang tidak sekolah bolehlah diterima. Zaman sekarang orang tidak percaya lagi."
"Aku tak tipu, Bob. Terpulang kalau kamu hendak percaya atau tidak, tetapi di dalam bilik aku ada busut yang sudah aku potong-potong. Boleh tengok apa isinya," terang Pak Udin bersungguh-sungguh.
"Cerita orang dapat harta karun, mungkin cerita orang dulu. Sekarang mana ada harta karun." Bob Leman tetap menyanggah kata-kata Pak Udin.
"Jadi, kamu tidak percaya?"
"Tidak!"
"Kalau aku tunjukkan sekarang bagaimana?"
"Tunjukkan cepat, jangan cakap sahaja," Bob Leman mencabar Pak Udin.
"Mari ikut aku," ajak Pak Udin kepada kawan baiknya Bob Leman. Mereka menuju ke sebuah bangunan kedai empat tingkat. Pak Udin menyewa pejabat kecil dan juga tempat rehatnya di situ.
Bob Leman ikut sahaja ke mana Pak Udin pergi. Bob Leman salah seorang peminat benda-benda pelik. Kalau ada benda-benda lama yang memelikkan pasti dia ingin memiliki. Tentu dia juga terpikat dengan busut anai-anai milik Pak Udin.
Sebaik masuk ke bilik Pak Udin tahulah Bob Leman, bahawa kawan baiknya itu yang dipanggil Pak Udin nama sebenarnya Pak Saripudin. Nama itu terpampang di atas meja Pak Udin. Selama ini dia hanya panggil Pak Udin sahaja.
"Mana busut yang kamu kata tu?" tanya Bob Leman tidak sabar.
"Tu!" tunjuk Pak Udin ke sudut bilik. Ada kain hitam yang diletakkan di situ untuk menutup busut anai-anai.
"Mana?" Bob Leman tersengih. Dia masih tidak percaya. Dia anggap Pak Udin hendak mempermainkannya.
Pak Udin menarik kain hitam itu. Dia pasang lampu untuk menerangi kawasan sudut bilik. Bob Leman terdiam setelah melihat busut yang sudah dipotong. Ada tiga ketul tanah busut yang terletak di situ.
"Cuba kamu lihat apa isinya dalam busut itu," pinta Pak Udin kepada Bob Leman.
"Ini macam emas!" suara Bob Leman dengan nada hairan.
"Inilah yang orang kata harta karun. Orang cari harta karun tidak dapat, tetapi aku cari harta karun boleh dapat macam ini," terang Pak Udin bersemangat.
"Tapi… bagaimana kau boleh dapat? Macam itu aku pun nak cari juga," kata Bob Leman.
"Benda begini tidak boleh diminta-minta," terang Pak Udin kepada kawannya.
"Kena cari?"
"Cari pun tidak," sanggah Pak Udin sambil tersenyum.
"Kalau begitu?"
"Kena sabar," terang Pak Udin. "Kita tidak boleh cari harta karun hanya main agak-agak sahaja. Saya secara kebetulan jumpa nenek. Dia yang beri kepada saya. Saya tak pernah minta pun kepada dia. Saya tidak tahu dia ada simpan harta karun."
"Mungkin nenek itu pilih awak sahaja," kata Bob Leman lagi.
"Tidak juga," balas Pak Udin. "Nenek sudah lama hendak menyerahkan harta karun kepada pengguna jalan raya yang ada, tetapi seorang pun tidak pedulikan nenek. Orang yang lalu-lalang anggap nenek ini perempuan gila."
"Bagaimana kamu tahu nenek di situ?"
"Aku kerap gunakan jalan raya itu pada waktu malam. Nenek hanya berada di situ pada pukul 12.00 tengah malam hingga pukul 5.00 pagi."
"Mana kamu tahu?"
"Biasanya kalau aku lalu situ, aku pasti nampak perempuan tua di tepi jalan. Perempuan tua ini tidak peduli kepada sesiapa yang lalu. Tetapi pagi itu entah bagaimana dia pilih aku, dia tahan kereta aku," jelas Pak Udin lagi.
"Bertuah awak menjadi pilihan nenek."
"Nenek sebenarnya hendak bagi kepada sesiapa sahaja, tetapi kebanyakan pengguna jalan raya anggap dia perempuan gila, perempuan miskin, orang pun tak peduli."
"Nenek tidak suka orang sombong, agaknya."
"Mungkin."
"Boleh tak aku cuba jalan di situ pada waktu malam?" soal Bob Leman pula.
"Aku tidak jamin, sebab awak sudah niat begitu," kata Pak Udin.
"Jadi, kita tidak boleh dapat harta karun tu?" tanya Bob Leman bersungguh-sungguh.
"Kamu boleh dapat. Orang lain pun boleh asalkan berani," tegas Pak Udin sambil tersenyum memandang wajah Bob Leman yang berkerut memikirkan sesuatu.
"Aku berani," kata Bob Leman.
"Beranikah kamu di pagi-pagi waktu terang bulan nampak perempuan di tepi jalan. Entah-entah dia bukan nenek kebayan seperti yang aku jumpa? Beranikah kamu berhenti dan bagi tumpang pada dia? Silap-silap nanti setelah masuk dalam kereta, kereta jadi berat, sebab apa? Sebab nenek sudah hilang, yang tinggal busut sahaja!" kata Pak Udin mereka-reka cerita yang menakutkan.
"Eh! Apalah kau ni buat aku takut sahaja," Bob Leman mencelah.
"Aku cerita sahaja," kata Pak Udin. "Kalau kamu berani pergilah, tetapi aku tak jamin kamu boleh jumpa nenek kebayan atau tidak."
"Kamu pastikah dia itu nenek kebayan?"
"Ya! Perempuan tua seperti itu, kamu nak kata apa lagi?"
"Bukankah nenek kebayan tu cerita lama zaman Sultan Melaka dulu?"
"Ini nenek kebayan lain, bukan nenek yang sama," terang Pak Udin.
Nenek Kebayan Baik Hati
Sebenarnya Pak Udin pun tidak pernah jumpa nenek kebayan seperti cerita nenek kebayan di Gunung Ledang itu. Pak Udin hanya jumpa nenek kebayan di hutan tepi jalan dekat Bukit Tujuh. Hendak sebut nama tempat Pak Udin tidak tahu. Entah kilometer berapa pun Pak Udin tidak ambil tahu. Dia cuma tahu sebut hutan dekat Bukit Tujuh.
Sebenarnya, sejak Pak Udin mendapat harta karun misteri itu, dia tidak nampak lagi perempuan tua itu. Sudah beberapa kali dia lalu di jalan raya itu. Kelibat nenek tidak kelihatan.
Pak Udin sudah berkali-kali berulang dari kampung ke Kuala Lumpur. Dia melalui jalan raya itu. Setiap kali lalu di situ dia memperlahankan kereta. Memandang ke arah kiri jalan. Mana tahu ada nenek di situ. Ke mana nenek pergi?
Sebenarnya Pak Udin ingin bertemu nenek sekali lagi. Bukan hendak minta busut. Tidak. Dia mahu beritahu nenek, adakah harta karun itu masih ada lagi? Kalau ada, dia mahu tanya nenek, orang yang bagaimana menjadi pilihan nenek untuk diberikan harta karun?
Nenek tentu sudah tentukan orang yang layak diberi harta karun itu. Orang itu mestilah berani. Jangan takut berjalan pada waktu pagi di tepi hutan. Jangan anggap nenek itu hantu hutan atau jin jahat.
Setelah tiga bulan lamanya Pak Udin gagal mengesan nenek kebayan, dia mula melupakan nenek. Baginya, mungkin nenek tidak bercadang untuk bertemu dengannya lagi. Nenek akan mencari orang lain untuk diberikan harta karun itu.
Harta karun itu tidak semestinya disimpan dalam busut. Mungkin dia letakkan di bawah batu besar. Mungkin di dalam tanah dan perlu dikorek. Busut jantan itu hanya satu kebetulan sahaja. Tidak mungkin nenek akan tunjukkan busut yang lain.
Di Kuala Lumpur, kisah Pak Saripudin mendapat harta karun daripada nenek kebayan sudah diberitahu kepada kawan-kawan yang rapat. Ada juga wartawan majalah menemui Pak Udin untuk menemu ramahnya. Kisah Pak Udin dapat harta karun disiarkan di dalam Intisari, sebuah majalah misteri.
Orang yang tidak faham tentang Pak Udin akan anggap Pak Pak Udin seorang bomoh harta karun. Dia pandai dapatkan harta karun dengan menggunakan nenek kebayan.
"Aku bukan bomoh," kata Pak Pak Udin. Dia tahu, dia tidak boleh jadi bomoh, sebab kerja bomoh dipandang hina oleh masyarakat. "Nanti orang anggap aku amalkan ilmu yang tak guna."
"Habis kalau bukan bomoh, apa dia pulak?"
"Aku peminat benda-benda misteri, suka benda-benda yang aneh, benda-benda luar biasa," terang Pak Pak Udin kepada wartawan Intisari.
Lebih tiga bulan lamanya Pak Udin mengharapkan sesuatu dari nenek kebayan. Dia mahu memberikan sesuatu kepada perempuan tua itu. Di mana dia tinggal? Adakah dia tinggal di dalam hutan belantara itu?
Bukan Manusia Biasa
Sekarang Pak Udin sudah tahu, bahawa nenek kebayan itu bukan seorang manusia biasa. Bukan seorang nenek biasa. Dia adalah nenek kebayan seperti kisah Puteri Gunung Ledang. Pada mulanya Pak Udin fikir nenek kebayan ini seorang perempuan tua yang tinggal di situ. Dia berulang-alik kerana berniaga di simpang jalan tidak jauh dari situ. Rupa-rupanya tidak. Nenek tidak berniaga. Tidak ada saudara-mara. Dia hidup sebatang kara.
Maklumat terbaru ini Pak Udin ketahui melalui mimpi.
Mimpi hanya mainan tidur kata orang. Pak Udin mimpi nenek kebayan bertemu dengannya di rumah. Pelik sungguh. Nenek boleh datang ke rumah dengan berjalan kaki. Itu dalam mimpi.
"Wahai cucu, ingatkah kamu dengan nenek yang kamu temui di Bukit Tujuh?" itulah soalan yang dikemukakan oleh nenek kebayan.
Pak Udin terkejut. Nenek kebayan muncul tiba-tiba.
"Ketahuilah, setelah perjumpaan ini, nenek tidak akan dapat kau temui lagi. Nenek akan pergi dari Bukit Tujuh," kata nenek kebayan memberitahu Pak Udin.
Di dalam mimpi itu juga, Pak Udin diberitahu, bahawa nenek kebayan bukanlah seorang manusia biasa. Dia bukan dari bangsa manusia.
Kata nenek, sejak dahulu lagi dia memang hendak menolong manusia. Pengguna jalan raya kebanyakannya tidak ambil peduli kepada nenek.
"Mungkin manusia anggap nenek ini perempuan jijik, pengotor, atau orang gila," kata nenek kebayan menerangkan.
Betul juga kata-kata nenek kebayan itu. Pak Udin pun fikir begitu. Sebab itulah tidak ada pengguna jalan raya yang berani berhenti di situ. Hanya orang yang berani sahaja boleh mendapat harta karun. Kebanyakan pengguna jalan raya, tidak berani berhenti di situ. Mereka sudah dengar berbagai cerita menyeramkan.
Ada yang kata nenek kebayan boleh sorokkan orang. Dia boleh colek mana-mana orang yang dia suka. Sesiaspa kena colek, orang itu akan disorokkan dalam hutan. Orang itu akan diberi makan makanan kotor. Keluar dari hutan sudah jadi orang hilang akal atau gila.
Itu semua adalah tuduhan palsu. Nenek sebenarnya makhluk yang baik. Walaupun dia bukan dari bangsa manusia, dia seorang nenek yang berduri luhur. Sangat baik, lembut tutur katanya. Dia tidak pernah meninggikan suara.
Setelah mimpikan nenek datang ke rumah, tahulah Pak Udin. Nenek bukan seorang manusia biasa. Patutlah dia tidak pijak tanah. Dia tidak memijak rumput dan lalang ketika meredah belukar di tepi jalan. Dia boleh bergerak dengan pantas. Dia boleh pergi ke mana-mana sahaja.
"Gunakanlah harta yang aku berikan tempoh hari untuk tujuan kebaikan. Jangan sekali-kali kamu berlagak sombong. Kekayaan harta tidak membawa kamu ke mana-mana di dunia ini. Jika kamu sombong dan lupa daratan, harta itu akan luput menjadi daun kering," begitulah amaran yang diberikan oleh nenek kebayan kepadanya.
Amaran nenek kebayan itu adalah rahsia Pak Udin. Hanya dia yang bermimpi jumpa nenek kebayan. Nenek kebayan itu bukanlah dari bangsa manusia. Tidak boleh ditemui pada waktu siang. Dia hanya bergerak pada waktu malam terutama pukul 12.00 tengah malam hingga ke pagi sebelum waktu subuh.
Inilah misteri nenek kebayan. Orang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu terhadap nenek kebayan. Orang anggap nenek kebayan ini tokoh lama. Orang kolot sahaja yang percaya kepada adanya nenek kebayan. Kini, Pak Saripudin yang sudah pandai gunakan computer, boleh gunakan internet, boleh buka laman sesawang apa sahaja, dia telah bertemu dengan nenek kebayan secara nyata. Dia boleh berbual-bual di dalam kereta.
Nenek kebayan dalam cerita zaman Sultan Melaka sebenarnya masih wujud. Nenek kebayan di Gunung Ledang sudah meninggal dunia. Dia digantikan dengan nenek yang lain pula. Mereka juga seperti manusia biasa. Mereka ada masyarakatnya sendiri. Mereka mempunyai kampung yang aman damai. Jarang manusia dapat masuk ke kampung mereka.
Pak Udin telah memasuki perkampungan mereka. Kawasan hutan tepi jalan yang diredah oleh Pak Udin adalah kampung nenek kebayan. Nenek kebayan suruh dia ambil harta karun.
"Ambillah, dan jangan kau takut, kerana nenek memang sudah lama ingin memberikan harta ini kepada kamu," ujar nenek kebayan.
Suara nenek kebayan masih terngiang-ngiang di telinganya. Bagi Pak Udin orang yang tidak faham memang tidak percaya.
Bob Leman yang gemar mengumpul benda-benda pelik sangat tertarik dengan busut jantan yang Pak Udin miliki.
"Bolehkah aku beli serpihan busut ini? Ada cincin emas atau batu merah pun tidak mengapa," kata Bob Leman setelah berbulan-bulan tidak bertemu Pak Udin.
"Ada kamu pergi ke Bukit Tujuh nak jumpa nenek kebayan?" tanya Pak Udin berseloroh.
"Tak sanggup aku," kata Bob Leman. "Aku bimbang nanti bukan nenek yang aku jumpa, benda-benda lain yang menakutkan pula yang datang."
"Selalunya begitu, kalau ada orang mengharapkan sesuatu," suara Pak Udin tegas.
"Itu sebab aku tak nak pergi sana."
"Sebenarnya nenek kebayan ada jumpa aku dalam mimpi. Nenek beritahu, dia hendak pergi dari situ. Dia tidak beritahu ke mana dia hendak pindah," ujar Pak Udin lagi.
"Kalau nenek sudah pindah, tidak akan peluang orang lain hendak dapat harta karun," Bob Leman berpendapat.
"Tidak juga, sebab makhluk misteri seperti nenek ini boleh bergerak cepat. Mereka bergerak pada waktu malam kerana suasananya yang aman dan sejuk," terang Pak Udin.
"Pak Udin sudah jumpa nenek dua kali, jadi tidak takut lagi kalau jumpa di mana-mana."
"Memang dua kali, tetapi sekali di tepi jalan raya, dan kali kedua dalam mimpi," ujar Pak Udin kepada Bob Leman.
"Agaknya ke mana nenek pindah?" tanya Bob Leman memancing cerita.
"Entahlah!"
Pak Udin sendiri tidak tahu ke mana nenek pindah. Mendengar cerita itu tentu orang lain tidak ada peluang untuk bertemu nenek. Orang lain juga tidak ada peluang untuk dapatkan harta karun.
"Nampaknya nenek hanya hendak beri kepada kamu sahaja," kata Bob Leman pula.
"Bukan begitu, hanya kebetulan, mungkin ada orang lain yang sudah dapat, nenek tidak ceritakan pada aku," kata Pak Udin.
Bob Leman bersungguh-sungguh hendak tahu siapa sebenarnya nenek kebayan itu. Pak Udin terpaksa menerangkan keadaan nenek kebayan itu.
Kata Pak Udin, nenek kebayan itu hanya panggilan Pak Udin sahaja. Ketika bertemu dengannya, Pak Udin memanggil nenek. Tidak diketahui siapa nama sebenarnya. Mungkin dia seorang puteri yang menyamar sebagai nenek.
"Di Malaysia tidak ada cerita puteri-puteri misteri seperti di Indonesia sana," terang Pak Udin kepada Bob Leman. "Kalau di sana, setiap bukit, setiap air terjun atau perigi, ada sahaja puteri misteri yang jadi penjaga."
"Maksud Pak Udin?"
"Penjaga ini umpama pemilik tempat. Dia menjaga air terjun, menjaga bukit, menjaga gunung atau perigi. Tetapi yang jadi penjaga ini bukan manusia macam kita. Mereka adalah makhluk seperti nenek yang aku jumpa di Bukit Tujuh."
"Jika begitu, mungkin nenek kebayan di Bukit Tujuh sudah pindah ke bukit lain," ujar Bob Leman lagi.
"Itu aku tak tahu, nenek tidak beritahu ke mana dia hendak pergi. Dia cuma kata hendak pindah ke suatu tempat, boleh jadi dekat situ sahaja atau dalam satu negeri sahaja," tekan Pak Udin memberi pendapatnya.
Kisah nenek kebayan tiba-tiba menarik minat Bob Leman dan seorang wartawan majalah misteri yang kebetulan selalu singgah ke bilik Pak Saripudin.
Ada banyak kisah misteri yang telah dialami oleh Pak Udin. Kisah misteri itu banyak yang tersimpan. Dia tidak ceritakan kepada sesiapa pun. Kalau Pak Udin rajin, dia boleh buat satu koleksi benda-benda misteri yang dia miliki.
Di dalam bilik Pak Udin ada beberapa bilah keris yang dia kumpul. Dia juga memiliki sebuah patung wayang kulit misteri. Itu patung wayang kulit yang dia bawa dari Siam.
Dia juga ada menyimpan selendang lama. Tongkat dari buluh. Tongkat dari kayu misteri. Tidak termasuk batu permata berbagai jenis.
"Bob, kalau kamu minat dengan benda-benda begini, kamu pun boleh kumpulkan seperti yang aku miliki sekarang," kata Pak Udin sambil menepuk bahu Bob Leman.
Bob Leman datang ke bilik pejabat Pak Udin semata-mata hendak mengambil serpihan busut jantan pemberian dari nenek kebayan.
"Benda ini aku nak simpan sebagai kenangan," kata Bob Leman.
"Cerita tentang busut jantan ini tidak ada tokok-tambah tahu? Aku cerita apa yang aku alami. Jangan pula kamu tambah-tambah kalau ada orang tanya tentang busut ini," nasihat Pak Udin kepada Bob Leman.
"Aku tak akan tambah, aku cerita apa yang aku dengar dari Pak Udin. Buat apa aku tambah-tambah, nanti jadi cerita karut pula," kata Bob Leman kepada Pak Udin.
Setelah Bob Leman keluar membawa bungkusan berisi busut jantan, wartawan Intisari pula masuk kerana hendak bertanyakan sesuatu kepada Pak Udin.
Pak Udin juga tunjukkan busut jantan yang tersimpan untuk dirakamkan gambarnya. Pak Udin tidak lokek walaupun benda itu adalah pemberian daripada nenek kebayan di Bukit Tujuh. [ ]
No comments:
Post a Comment