Setiap orang adalah ahli fikir. Tak semestinya menjadi Socrates, Plato atau Aristotles dulu, tak payah. Duduk-duduk dan membaca pun boleh membuahkan berlapis perkara untuk difikir dan direnungkan. Umpamanya di Malaysia sekarang politik orang Melayu sudah kalut, bagai nak karam, bagai nak tamat perjuangan, kecoh saban hari, terutama kalau nak pilihan raya, tak usah besar, pilihan raya kampung pun kecoh bukan main.
Setiap kali ada pilihan raya, ada sahaja cerita memuakkan, skandal, rasuah, salah guna kuasa, sumpah di masjid, video seks, seks, seks, seks, seks dan seks. Waduh, orang Melayu baru nak belajar ngeseks, dulu malu, sekarang makin kurang ajar. Senang-senang tayang video porno, tak didakwa pun, sebab bukan kesalahan besar. Tapi kalau yang tayang tu puak lain, dah lama peguam negara buka fail.
Perihal ini pun menyebabkan ramai rakyat Melayu sakit jiwa memikirkan soal politik hina orang Melayu. Belum bab memberikan taraf warga negara, memberikan Mykad, pas tu ada kawan di Chow Kit kata, setiap ada pilihan raya ada si fulan ajak pergi mengundi dengan IC yang sudah disediakan. Maknanya pengundi syaitan lah tu, adik beradik pengundi hantu.
Hantu ini berkeliaran di mana-mana. Agaknya sebab orang Melayu takut hantu, ada yang bela hantu, hantu dalam politik pun menjadi-jadi. Kata orang, berapa ramai Melayu yang punah ranah kerana suka dapat sogokan. Suara kena lantang, jerit, buat demo, pas tu cari tajuk sensasi, orang kuat yang suka menyalak ni akan diberi perhatian oleh puak-puak kemaruk kuasa.
Maka menurut yang empunya cerita, datanglah si fulan memujuk orang yang kaki demo ini. Tanyalah, dan buat baik-baik. Pas tu buat projek. Tapi syaratnya sokong kitalah, tak boleh jerit-jerit lagi. Nak projek apa? Janji mulut diam. Jangan bising-bising. Konon ada juga kalangan blogger pun begitu. Jerit sudah menjadi perlahan kerana rupa-rupanya ada yang tak suka suara lantang, tak suka tulis yang bukan-bukan, maka disuruhlah, hang tulis untuk puak kitalah!
Orang jadi menyampah kerana di Malaysia ni, setiap hari ada iklan tentang rasuah. Amalan rasuah tak baik. Tetapi yang orang nampak, amalan rasuah ini menjadi kekuatan dalam politik. Berapa banyak orang yang kuat menyalak dulunya kini sudah senyap? Orang beranggapan semua yang senyap ini sudah jatuh ke dalam beras, nak bising buat apa, makan beras tu sebiji, sebiji, sebiji, sebiji, sebiji...sebiji, sebiji, sebiji, sebiji, kira sekali. Senyaplah tu...
Nak sumbat mulut rakyat Malaysia ni mudah je. Sumbat dengan duit. Yang terpekik terlolong tu pun sudah banyak kena sumbat duit. Yang orang jadi pak turut, pun kerana duit. Jangan ingat kosong. Semuanya kerana duit. Dapat jawatan penting pun boleh melenyapkan tentangan. Dapat projek besar pun boleh menyebabkan seseorang menyusur di bawah akar.
Politik Malaysia seolah-olah sedang kecemasan. Puak-puak Umno seperti takut hilang kuasa. Nak takut apa, dah kaya raya, duit banyak. Bukankah itu yang dicari. Siapa kata demi bangsa, negara dan agama? Selalunya dia orang sebut agama tang last sekali. Pasai apa tak tahulah. Agaknya sudah fesyennya begitu sejak zaman Tunku dulu.
Kemudian peliknya politik Malaysia yang cincai ini, kalau tak ada pilihan raya kecil, tak ada pula isu. Jadi orang dah tahu, kalau ada isu itu memang masa pilihan raya. Meluat betul melihatkan benda-benda macam ini. Kenapalah sikap orang Melayu ini hancai sangat? Malu, tak percaya tanyalah di peringkat bawahan, jangan dok sibuk peringkat atasan yang semua jadi tukang kipas. Yang tukang kipas di atas, pun bila depan orang kampung depa bantai juga yang atas.
Di Malaysia ni rakyatnya dibahagikan kepada beberapa kelompok. Kelompok tertindas selalu terkena. Selalu menerima bermacam kenistaan.Pecah amanahlah, rasuahlah, menderhakalah, menghasutlah, langgan pelacurlah, pendeknya cerita macam zaman dulu. Tak ada pembaharuan. Tak nampak transformasi yang disebut-sebut itu kalau minda kita masih hendak memfitnah, memburukkan orang.
Senang cakap, jangan kata kumpulan parti yang tak sebulu itu main kotor, tidak tahu memerintah atau cakap tak serupa bikin. Sebenarnya sama sahaja. Yang duduk memerintah di pusat itu pun apa kurangnya. Kemudian ada pula cakap bodoh, turunkanlah harga barang di Selangor, Kedah, Penang dan Kelantan, sebab hang yang memerintah!
Ini cabar mencabar budak sekolah kampung.Tapi yang cakap gitu menteri penuh. Malu sungguh kalau kita dengar cakap begitu. Macamlah negeri-negeri itu berada di Timur Leste tu!
Sekarang, baik kita bermuhasabah diri. Orang yang sudah lompat parti kerana dibeli, elok diam sahaja. Jangan buka mulut. Malu. Cakap lagi banyak nanti tembelang terbuka. Sebab kalau kamu burukkan orang, keburukan kamu sendiri sudah jelas sebagai kelompok yang "mudah dibeli" - sesiapa pun elok diam. Jangan kata mengata. Kalau pemimpin atasan pun kata mengata, ia sama macam orang duduk bawah jambatan dekat Central Market tu. Jangan fitnah orang. Jangan aibkan orang. Yang sudah tu sudahlah, ini bukan menaikkan citra Melayu, tetapi malah menjadi sejarah peradaban Melayu pada masa akan datang.
Elok juga kalau ciri sifat Melayu itu ditambah lagi. Sejarah telah membuktikan bahawa Melayu tak akan bersatu dalam politik. Berbeza pendapat bukan rugi. Tetapi yang merugikan ialah apabila kita berbeza dalam anutan agama, berbeza walaupun dalam kelompok Islam. Tengoklah, kita masih bercakap benda lama tentang Syiah dan ahlulbait, kita masih bercakap tentang Wahabi, bercakap tentang islam liberal, pluralisme, antisunnah, kelompok Qurani dan macam-macam.
Semua ini hanya "percakaran" dalam bentuk wacana. Kalau tak ada tajuk ini, fikiran pun jadi semacam beku. Biasalah orang hendak mendengar berbagai wacana pemikiran. Yang berbeza itu biasa. Tetapi cara kita melakukan sesuatu seolah-olah memaksana. Kaum belia dipaksa buat itu dan ini, dengan bermain sloganan. Ini corak lama sebenarnya. Ia seolah-olah memujuk, nak gunakan facebooklah, gunakan apa sahaja asalkan anda anak-anak muda memihak kepada kita. Kalau memihak kepada pihak lain, alangkah peningnya.
Paparan ini adalah sebahagian daripada wacana kecil yang penulis telah lakukan di pinggir Jalan Tuanku Abdul Rahman bersama kawan, Encik Aziz budak Kedah, dan bekas pensyarah UM Raja Mukhtaruddin Mohd Dain. Ketika itu datanglah wartawan Harian METRO terus tanya penulis tentang masalah kemacetan lalu-lintas.
Hari itu, Jumaat, biaalah kawasan Kuala Lumpur jem teruk. Dia minta komen penulis tentang jalan raya tu. Terus saya cadangkan kepada wartawan itu buat tajuk lainlah. Hari Jumaat memang jem. Orang keluar awal, sebab semua orang nak solat Jumaat. Kaum wanita dan remaja pula sibuk nyoping di Sogo, Pavillion, KLCC, Times Square, ada juga yang ke Jalan Pasar, Pudu, Petaling Street, ada yang masuk kedai video, kedai snooker.
Jem bagaimana? Penulis kata, baguslah jem. Yang patut kamu tulis kalau di Kampung Pasir Panjang, Selangor tu, jem teruk sebab polis buat sekatan, ada ceramah politik. Jem di kampung memang sesuatu yang luar biasa, elok ditulis. Jem di Kuala Lumpur hari Jumaat atau ketika hujan lebat, biasalah. Bukan isu. Wartawan muda itu tu kata dia masih baru, tak pandai nak cari skop lain.
Ada tu satu hari jurugambar dan wartawan Utusan merambu di pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman. Punyalah susah nak temubual orang. Serba tak kena. Yang bawa kamera sorokkan dalam beg. Takut nak temu ramah dan ambil gambar. Agaknya, tag Utusan Malaysia tu menyebabkan orang tak layan sangat.
Apa nak tulis lagi? Nantilah. Rehat dulu. Wassalam. []
No comments:
Post a Comment