Monday, 9 May 2011

CAKAP-CAKAP TENTANG MISTIK

Kenapa mistik? Yang semua yang ada di sekeliling kita penuh dengan kemistikan. Mulai dari kepercayaan yang ada di sekeliling kita, kemistikan itu di mana-mana, bermula dari politik, dasar-dasar pemerintahan, wacana apa  sahaja mempunyai unsuran mistisisme. Perlu diingat, kita berada di bawah tempurung nusantara, siapa sahaja pun asalnya adalah dari nenek moyang petualangan yang berhijrah untuk mencari keselesaan hidup. Faktor yang menyebabkan nenek moyang atau leluhur mengadakan hijrah bukan kerana mengikut ajaran Nabi SAW berhijrah, tetapi lebih kepada huru-hara zaman.

Peperangan, pengaruh koloialisasi, bencana alam yang silih berganti, ikut kawan-kawan hijrah, sedangkan Parameswara sendiri berhijrah dari Palembang. Jadi, jangan ungkit soal asal-usul nenek moyanglah. Nama Melayu itu sendiri pun ada di tanah "lembang" di Sumatera (bacalah dalam situs dongeng rakyat tentang asal-usul nama Palembang untuk menambah maklumat).

Dulu saya sering ditanya oleh kawan-kawan di sekitar Jalan Masjid India, di mana mahu mendapatkan benda-benda bertuah yang istilahnya benda-benda mistik. Banyaklah yang dijadikan bahan sembang di warung-warung. Khabarnya sembang ini bukan saaja di lantai masjid Jamek Bandaraya (th.80-an hingga 2006), lntai masjid India, masjid Pakistan, warung-warung, bangunan MARA, bawah lantai Semua House, orang cerita tentang batu merah delima.

Wah! Bukan main seronok sembang tentang benda yang tidak wujud ni. Hingga ada orang yang jadi broker untuk mencari penjual dan pembeli. Mereka pun sembang juta-jutalah. Ada yang berangan nak jumpa orang itu dan ini. Anehnya, di belakang sana ada sahaja nama Tan Sri, Datuk, Datin, Tengku dan sebagainya.

Jadi, benda ini memang jadi sebutan rupa-rupanya. Mereka sibuk mencari batu delima merah. Bukan yang tipu punya, tetapi hendak cari yang asli. Nak tahu asli atau bukan kata Pak Raden Puji Masono (dulu buat ofis di Jalan masjid India, sekarang di Kajang), dia beritahu, nak uji batu delima kena gunakan air. Masukkan batu delima asli dalam gelas, air putih (paiplah) nescaya air jadi merah macam sirap. Kalau dijajarkan gelas lain yang berisi air paip, air dalam gelas tu pun jadi merah juga.

Kemudian nak uji asli ke tidak, pegang batu delima tu kemudian potong rambutnya, kalau asli rambut jadi liat. Nak potong tak boleh. Nak uji-uji gini buat apa? Nak yang asli buat apa? Entah. Banyak yang entah sebenarnya, tak tahu menahu. Tengok yang sebenar pun tak pernah.

Ramai di belakang ni jadi broker sahaja. Seorang budak kerja pengawal keselamatan sibuk usung cerita, dia ada macam-macam benda mistik. Batu yang mistik, cincin yang mistik, kulit binatang mistik, keris mistik, patung wayang kulit, minyak harimau putih, misai rimau, gigi rimau, kulit rimau, serbuk cuci rimau tak nak?

Memang ada laman web yang menghidangkan produk kemistikan ini. Siapa berhajat, sila bank in, dulu harga yang ditetapkan. Banyak peminat rupanya benda-benda mistik ni. Sifulan yang sibuk sembang dia ada serba-serbi ni konon dah tengok laman web itulah. Dia kata dia ada itu dan ada ini. Maknanya dia hendak jadi ejen untuk jual benda itu. Dia beli dan kemudian jual kepada orang yang minat. Kalau orang tu tak buka laman web tu tak pelah. Kalau depa buka?

Mengenai batu delima merah ini, selalunya orang sebut ada bangsawan Brunei yang minat nak beli. Ada Datuk nak beli. Harga bukan setakat dua tiga ribu. Sampai juta! Benda kecik tu nak buat apa? Kebal? Wibawa? Buat cincin? Harga sejuta nak buat cincin? Akhirnya, adalah sumber yang tak layak dipercayai mengatakan, bahawa batu delima merah ini terdapat dalam buah delima. Buah delima ni kalau siapa yang tahu makan, ia sejenis buah ada boleh membangkitkan libido lelaki tau!

Kata orang yang ahli hikmah, batu delima merah asli terdapat di dalam buah al-Karam. Buah ini tentulah dari pokok al-Karam juga. Bagaimana rupa pohonnya, semua di alam kayangan. Konon sesiapa yang nak cari, seperti perjalanan Iskandar mencari air kehidupan, sampai ke hujung dunia. Nah, di situ ada pohopn al-Karam. Pokoknya tinggi, buahnya besar. Akan tetapi, jangan sibuk nak cari, pokok itu ada di tengah lautan tak bertepi, ia berada di alam kewalian (ini yang dikatakan mistik).

Kalau benda tu berada di alam kewalian, di mana alam tu? So, baik lupakan sahajalah. Carilah batu delima biasa yang di jual di merata kedai. Bukan tak ada jual ruby? Ada, cuma janganlah nak sibuk ada khadam tak? Nanti peniaga batu terkejut. Khadam apa? Boleh jadi merah tak kalau masuk dalam air, boleh tes tak hiris rambut tak lut? Jangan bang, batu delima juga kan?

Tetapi pengusung cerita mimpi ini bukan di Kuala Lumpur sahaja, pergilah ke mana-mana, di jakarta pun begitu, di Medan pun begitu. Bahkan, apa nak herannya? Ada sejenis ilmu yang boleh menjadikan sesuatu yang tidak "hidup" menjadi berkhadam. Produk itu boleh dicipta, dengan keilmuan tertentu. Bimbang pula, ketika orang sibuk cari batu delima, produk batu delima ini terus dikeluarkan dari "kilang" supranatural ghaibi, dari padepokan, pesantren, perguruan wali-wali kesembilanan, maka dunia mistik pun makin marak dan melebar.

Tidak cukup dengan batu delima, saya sendiri pernah melihat apa yang dikatakan rantai babi. Konon benda ni hanya dimiliki oleh si babi tunggal sahaja. Bukan senang nak dapat. Tetapi, macam batu delima juga, rantai babi dites asli atau tidak dengan cara hirisan rambut, konon kebal. Zaman sekarang kebal nak buat apa? Zaman sebelum pecah 13Mei 1969 memang orang gila ilmu. Kawan-kawan saya kebanyakannya kalau tidak ahli silat, mereka ahli dalam kekebalan.

Mereka pun berguru dengan berbagai perguruan. Membacakan ayat-ayat mantera yang berbaur dengan kesyirikan. Tapi masa tu mereka tidak dapat mengatakan ilmu yang digerogoti itu sahih atau tidak. Tidak ada siapa hendak menerangan. Ramai yang ikut-ikutan. Sahabat saya seoerang pelakon drama yang selalu berlakon watak tambahan, jadi tukang beca, pekedai, tukang kebun, beritahu saya dia juga dulu belajar ilmu kekebalan. Jatuh di Bukit Nanas, Kuala Lumpur, tidak apa-apa. seorang lagi, sahabat saya yang baik dengan Tan Sri Azman, duduk di Kampung Bharu, juga beritahu dia belajar ilmu kebal juga, asyik gaduh sahaja, berentap sana-sini, bukan dua orang ini sahaja, malah yang lain-lain pun ada belajar ilmu.

Bercakap tentang bab ilmu ni memang mengasyikkan. Bidang ilmuan cukup luas. Memang kita disuruh belajar ilmu. Ilmu bagaimana? Kelebihan orang yang berilmu danyang tidak punya ilmu sudah dijelaskan. Justru itu menuntut ilmulah. Yang utama ilmu untuk bekalan kita di dunia akhirat. Kalau ilmu duniawi ini sudah melambak-lambak, ilmu duniawi kena campur dengan ilmu ukhrawi, kalau tidak nanti jadi duniawi melulu. Akhirnya jadi kaki mistik. Celik saja ingat batu, celik sahaja ingat keris berdiri, celik sahaja ingat nak tarik duit, celik sahaja ingat nak cari bomoh ekor.

Mentaliti kemistikan ini sudah lama bersarang dalam minda masyarakat Melayu. Kebetulan tadi saya baru sahaja membaca makalah tentang slametan yang diamalkan oleh orang-orang keturunan Jawa. memang saya pun dibesarkan dalam  wadah kepercayaan Jawa. Kemistikan itu dibawa sekali.

Saya ada menyusun sebuah buku yang berjudul Mistik dan Mistis di Nusantara sebagai sebuah catatan, judul ini mungkin diubah nanti setelah siap. Kecenderungan ini kerana dulu saya menjadi penulis tetap untuk majalah INTISARI dan NURAIN terbitan Mulya Utama di Taman Sri Gombak (milik Hj Abu Bakar Ninggal), pernah sebumbung menulis dengan Dharmala NS, menulis kisah misteri, buat kompilasi cerita misteri terbitan Penerbitan Ibunda, "Mengembara ke Alam Barzah" yang menjurus mitis islami.

Menyentuh hal ini, elok dijelaskan, bahawa ketika mengendalikan majalah tersebut, saya gunakan nama samaran macam-macam, ada Ismail Muhammad, Ibnu Jamily, Ahmad Kasran, Andong Jamil, Pak Busro, Misjah Aini dan entah apa-apa lagi. Orang tak tahu, siapa TOK AWANG NGAH? Cerita dahlah misteri, penulis nak misteri juga ke? Kesian yang mengkaji kisah misteri. Tok Awang Ngah ni adalah Dharmala NS, atau Abdul Muluk Daud (almarhum) dari Jelebu NS. Dulu dia rapat dengan TS Abd.Samad Idris, dalam Wikipedia, saya tengok Tok Awang Ngah lain, Dharmala NS lain.

Saya cerita ni kerana hendak menutup kekeliruan peminat kisah misteri. Selain nama Tamar Jalis yang juga samaran, ada nama Wak Joko (Wak Jamari yang pernah terbitkan majalah KOLEKSI tahun 70-an), ada nama TUBING asal Temerloh, Pahang, juga guna nama samaran, ada nama TOK PERAN, dia adalah Hasmadi, orang Pahang juga (sekarang dia terbitkan majalah MISTERI). Dulu "markas" pertemuan penulis ini di Jalan Pahang, jejantas dekat Hospital Besar Kuala Lumpur. Hari-hari lepak di situ, makan-makan di warung. Bos penerbitan Ibunda, SA Karim, ada berniaga di Jalan Melayu, Jalan masjid India sekarang. Ada kios jual buku dan kitab.

Nah, kisah misteri tidak berakhir dengan benda-benda mistik sahaja. Cerita misteri kehantuan juga ditulis berdasarkan legenda atau sembang rakyat. Cerita-cerita ini semua sekarang sudah diterjemah dalam bentuk drama, filem dokumentari dan filem keseraman. Kalau tidak bagaimana Uncle Seekers boleh meneruskan projeknya. Begitu juga orang lain yang hobinya memburu hantu atau sekadar mengesan adany ORBS?

Mengapa orang menjurus kepada cerita hantu dan kesyaitanan ini? Ia sebenarnya adalah gambaran rasa fadeup hendak menulis benda lain yang banyak pantang larangnya. Tulis politik menyinggung orang tertentu, anti-kerajaanlah, pro-pembangkanglah, jadi penulis pun cari alternatif lain, tulis tentang mistik dan misteri.

Kalau ada kebebasan menulis dan mengeluarkan pendapat kan bagus. Jin dan syaitan tidak marah kalau ada manusia umpat mereka. Syeikh Abdul Salam Bali, Sulaiman al-Asqar, Syeikh Ibrahim al-Masri, atau as-Suyuthi pun banyak menulis tentang makhluk yang tidak dapat dilihat ini. Sedangkan buku misteri hanya cebisan sahaja, kisah masyarakat. Saya sendiri tidak suka kalau cerita misteri itu berlebihan, contoh, kemaluan berulatlah, bernanahlah, liwatlah, zinalah, busung, sebabnya ini semuanya membawa beban fitnah dalam pengkisahan misteri. Orang akan terbawa-bawa dengan kisah itu.

Dahlah politik kita busuk bernanah, cerita misteri pun nak ikut juga? Orang kata cukuplah. Kembalilah kepada etika Melayu , kembali kepada Islam. Selagi kita masih menolak islam, kebusukan ini akan berterusan, akhirnya sejarah kita akan terpalit dengan kedustaan, kenistaan, seperti sejarah Melaka yang sampai sekarang, bukan yang baik, tetapi keburukan yang menjadi bahan cerita. Di mana kegemilangannya? Di mana hebatnya Hukum Kanun Melaka dulu? Hanya sembang sejarah sahaja, hakikatnya, di Melaka, keserambian Makkah tidak wujud. Islam yang kaum bangsawan belajar adalah kesufian yang membawa beban istilah hebat-hebat, yang asas tak belajar, terus lompat kepada tasawuf. Akhirnya bingung, jin pun nak dipinang, asyik bermandikan darah, fitnah, fitnah, fitnah ... rampas bini orang. Ini adalah fakta, bukan legenda. Ini juga mistik dalam sejarah Melaka kita. Wallahu a'lam. []

1 comment:

  1. Dulu dalam wikipedia memang ada menyatakan Tok Awang Ngah adalah Abdul Muluk Daud. Tetapi kira-kira beberapa bulan lepas tak tahu ada orang pinda ke nama entah siapa-siapa.

    ReplyDelete