Friday 19 August 2011

MASJID JAMEK BANDARAYA KL

Sudah lama tidak solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur, ini semua gara-gara kutbah Jumaat yang terlalu pekat dengan misi UBN yang ditulis oleh penulis kutbah Jawi. Saya lari ke Masjid Pakistan untuk melegakan saraf kritikan menghunjam ke atas kutbah yang bagi saya juga turut menimbulkan kritik di kalangan para jemaah. Kutbah Jumaat 19.8.11, adalah tentang Nuzul al-Quran. Tajuk yang sesuai dibicarakan, akan tetapi setelah dikupas isi kutbah, ia mengena semula batang hidung orang-orang UBN. Maknanya mereka tahu intipati ajaran al-Quran tetapi mereka enggan mengakui untuk mengikut dan melaksanakannya demi duniawi dan ketenaran duniawi.
2. Sambil jenguk kawasan Masjid India yang hiruk pikuk dengan orang berniaga, saya lihat kawasan di nsitu semakin mampat dan sendat, tak sesuai untuk membeli-belah.Hilang rasa selesa. Lalu di gerai Pak Karim (Penerbitan Ibunda, Jalan Taman Ibu Kota, th.90-an) ada pembantunya sedang melayan pelanggan memilih buku. Pak Karim memang suka buku, pernah terbitkan buku Tok Awang Ngah, tulisan Dharmala NS, dan saya pun pernah tulis buku semi-misteri MENGEMBARA KE ALAM BARZAH dengan nama PAK MEON sebagai samaran. Sayang buku itu tak ada dalam simpanan penulis. Isi buku Tok Awang Ngah adalah berupa kisah fiksyen, bukan kisah nyata, kalau nyata pun sedikit atau beberapa segmen sahaja. Ketika berniaga buku, Badang budak Slim River yang membantu Pak Karim selalu buat ulasan tentang siapa Tok Awang Ngah. Padahal dia adalah Abdul Muluk Daud atau Dharmala NS, yang suatu ketika pernah gemparkan TV kerana isytihar keluar DAP bercakap dengan Dr.M. Kebetulan sebaik sampai rumah dan jenguk HP ada SMS dari Pak Karim, dia ada di Hospital KL wad 20. Kena jenguklah.
3. Lepas solat di masjid jamek, jumpa Abang Husin, Amin dan kawan-kawan lain. Sembang hal biasa. Dari topik Baitulmal yang kata Amin, ketika dia datang ke pejabat Baitul Mal di dekat Masjid Pakistan itu, pegawai yang bertugas terus beritahu dia, "Habis dah!" Tujuan Amin datang ke situ belum dinyatakan lagi, pegawai itu siang-siang dah cakap habis dah, apa yang habis? Nampak sangat pengawai Baitulmal WP, kontrol duit, ini semua arahan dari atasanlah. Jangan marah, kalau begini caranya, budak-budak gelandangan yang kelaparan akan pergi ke gereja atau tokong minta bantuan duit dan makanan. Salah siapa kalau berlaku pemurtadan? Sebenarnya soal murtad tidak timbul, bila orang dah lapar, mereka tidak kira siapa tangan yang menghulurnya. Ini kita kena faham, jangan bercakap dari sudut orang kenyang, bergaji tetap bulanan, ada rumah, ada kereta mahal dan bini cantik. Mereka yang minta bantuan adalah tergolong kumpulan asnaf, tetapi pihak atasan hanya fikir golongan amil-amil sahaja.
4. Bilangan peniaga bazar Ramadan seperti yang diduga lebihb banyak daripada pembeli. Nak beli juadah pun fikir banyak kali. Yang ditakuti, ada yang boleh dibeli, dan belum tentu boleh dimakan. Bulan puasa ini, kita kena amalkan jimat, dalam bab makan pun. Beli apa yang dimakan, bukan beli kerana nak tunjuk banyak duit. Kalau terlalu banyak beli pun akhirnya tak dijamah juga di meja makan. Semua menyandar. Jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran. Bukan baru tahun ini berpuasa. Dah berkali-kali malah puluhan tahun puasa.
5.Biasa ada dengar suara azan Maghrib menandakan masuk waktu maghrib dan buka puasa. Tapi Masjid Saad Abi Waqas tak kedengaran. Saya pergi untuk solat Isyak dan Tarawih. Menakjubkan, masjid itu gelap gulita, tak ada cahaya. Saya naik, para jemaah ada, pasang lilin di sana-sini. Ini mengingatkan kita semua kepada zaman dulu, tatkala belum ada kemudahan elektrik. Malam itu solat terawih dalam gelap, dan tak ada kipas. Dah masuk rakaat 10 rakaat baharulah ada cahaya dan kipas berpusing semula. Lega... dan malam itu tidak ramai orang solat. Ada sebaris campur enam orang, dan jemaah wanita tetap macam biasa, tak luak. []

1 comment:

  1. Assalamualaikum Pak Cik Misnun,

    Saya adalah anak sulung arwah Abdul Muluk Daud @ Dharmala N.S (kalau pakcik masih ingatlah) yg pakcik nyatakan dalam perenggan artikel di atas. Setahu saya, arwah takda pula nyatakan yg beliau ni Tok Awang Ngah, cuma dia ada sebutkan pasal amanah pada kawan-kawan beliau semasa menulis di Mulya Utama, Penerbitan Ibunda, Syarikat Sri Kota di Taman Ibukota dan juga kawan-kawan melepak dia di Gerai Buku Pakcik Karim di Masjid India (kalau pakcik ingatlah). Cuma mak saya ada cakaplah akan implikasi jika ada yg membaca artikel pakcik berkenaan dengan tok awang ini. Maklumlah, di zaman yg tiada sempadan ini ramai org yg membicarakan mengenai Tok Awang Ngah dan mencari individu itu @ waris yg rapat. Harap pakcik faham.....Benar atau tidak hanya DIA yg lebih tahu dan kami ni tahu serba sedikit sahaja.

    ReplyDelete