Tuesday 29 January 2013

BERSAHABAT DENGAN JIN KHADAM AYAT

Nampaknya cerita tentang khadam ayat mendapat perhatian khalayak. Rasa ingin tahu memang ada. Kisah kadam ayat bukan rekaan. Ia telah jadi amalan orang Melayu sejak dulu. Tidak semua orang Melayu tahu kaedah beramal untuk dapatkan bantuan khadam ayat.
Dan bahan yang saya paparkan ini adalah dipetik dari sebuah buku tentang kerahsiaan khadam yang menjadi amalan sebahagian kecil orang Melayu.
Kenapa orang perlukan khadam ayat yang berupa jin?
Ini memberi gambaran, bahawa lebih baik merahsiakan amalan daripada memberitahu orang lain terutama jiran-jiran atau rakan masjid.
Berkomunikasi dengan jin rasanya lebih selamat kerana jin tidak melakukan ghibah di warung kopi, laman masjid atau tepi jalan.
Kita tidak pernah dengar ada orang sembang tentang khadam ayat. Jika semua orang memiliki khadam ayat, maka hebatlah, di sana-sini mereka sembang tentang jin sahaja. Khadam-khadam itu adalah jin.
Nak dapatkan khadam ayat bukannya senang. Justeru kalau saja-saja nak berlagak atau tayang pada kawan, baik tak payahlah. Sebabnya, khadam ini adalah sejenis jin. Berkawan dengan manusia pun belum selesai, ini nak tambah kawan dengan jin pula.
Rasanya, hal khadam ini pun kena buat satu kajian yang mendalam. Apa sanadnya menyatakan bahawa setiap ayat itu mempunyai khadam atau penjaganya? Dan jika ada bukti, apakah ia dijaga oleh jin?
Bab khadam ini boleh buat satu buku tebal, nak siapkan makan masa berbulan-bulan.

KENA TAHU BACA DAN SALIN
Baiklah, kata yang empunya maklumat tentang khadam ayat ini, seseorang yang hendak berkawan dengan jin, atau dengan kata yang lebih "indah" mendapatkan khadam ayat, maka dia kena melakukan beberapa tindakan terlebih dahulu. Antaranya:
  • Dia kena berkhalwat [bukan dengan perempuan ya] - pakaian kena bersih walaupun tak semestinya warna putih melepak.
  • Mandi dan berwuduk - kebersihan diutamakan.
  • Kena puasa selama 4 hari bermula dari hari Rabu [lebih baik supaya senang nak kira] - Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.
  • Baca surat al-Ikhlas [1000 x] kemudian surat Yassin [sekali], ad-Dukkhan [sekali], as-Sajdah [sekali], dan al-Mulk [sekali]. Kalau tak tahu baca, susahlah sikit.
  • Sediakan kertas putih tujuh helai [A4 size], pen, lilin dan benang. Nak buat apa ni? Pada waktu Asar pada hari ke-4 [puasa] dia hendaklah jauhkan diri dari orang lain, kena khalwat betul-betul jangan sampai ada orang kacau, handphone pun jangan ambil peduli, apalagi blog, facebook semua, tempat kena bersih.
  • Duduk sambil tuliskan ayat-ayat al-Qur'an. Bawalah al-Qur'an untuk disemak ayat itu betul atau tidak. Cari ayat-ayat yang disebutkan sahaja. Ayat lain tak perlu tulis.
  • [1]. Ayat dalam surah al-Jinn: 1. Siap barisnya semua, baca dulu dan bandingkan dengan teks al-Qur'an.
  • [2]. Kemudian ambil kertas lain, tulis pula ayat dari surah Yassin: 82. Ayat ke-82 sahaja, bukan tulis satu surah.
  • [3]. Pada helaian berikutnya, semak surah al-Baqarah: 138, salin dengan cermat. Baca dan semak.
  • [4]. Pada helaian berikutnya, semak surah Yassin: 51, salin ayat ini sahaja.
  • [5]. Berikutnya helaian kertas baru, semak surah al-Jinn: 6, salin ayat tersebut sahaja.
  • [6]. Berikutnya, helaian kertas lain, semak surah al-Jinn: 20, salin ayat ini sahaja.
  • [7]. Kertas putih terakhir, semak ayat al-Jinn: 26, salin ayat ini sahaja.

KREATIF
Apa yang hendak dilakukan berikutnya?
Anda kena kreatif, gunakan benang dan jarum tadi untuk buat songkok atau kupiah dari kertas putih bertulis tadi. Jadi, terpulang sama ada nak potong kertas A4 size itu jadi separuh atau bagaimana. Nampaknya, kena berlatih juga nak buat songkok atau kupiah ni. Selagi tak jadi, jangan harap nak dapatkan khadam jin.
Seterusnya, kata yang empunya ilmu ini, orang itu hendaklah mengerjakan solat 4 rakaat satu salam, pakai songkok atau kupiah kertas itu, apa nak malu? [solat sunat].
Rakaat 1: al-Fatihah dan al-Falaq
Rakaat 2: al-Fatihah dan al-Kafirun
Rakaat 3: al-Fatihah dan al-Nas
Rakaat 4: al-Fatihah dan al-Ikhlas.
Sudahi solat ini dengan berdoa iaitu berhajatkan sesuatu yang dinamai khadam tadi.

MENGAJAK KHADAM
Ikut ceritanya, seandainya orang yang berhajat kepada bantuan khadam itu ikhlas, dia akan mendapat benda yang dicari.
Kata pemunya ilmu, kalau betul, orang itu akan dikunjungi tujuh "ekor" jin, diketuai oleh bos jin khadam. Jawab salam jin itu dan kemudian duduk semula di tempat solat tadi.
Lalu, leraikan songkok atau kupiah tadi.
Tunjukkan kepada jin itu helaian kertas [tujuh helai] tadi kepada jin. Pegang kertas itu dan bacakan ayat itu, tak kiralah kertas pertama kedua. Setelah baca, tanyakan kepada jin, "Siapa di antara kamu yang menjadi khadam ayat ini?"
Ada juga jin yang tak jawab apa pun. Susahlah kalau begini.
Kalau dia jawab: "Saya jadi khadam ayat itu!"
Tanyakan: "Siapa nama kamu?"
Kalau dia jawab: "Bubul" misalnya, tuliskan nama Bubul pada helaian kertas yang ditunjukan tadi.
"Bubul? Kamu ada bawa cincin atau batu permata?" tanyakan kepada makhluk itu. Kalau ada minta apa yang dia bawa sebagai bukti kehadiran. Letakkan benda itu di atas helaian kertas itu.
Kemudian ambil kertas ayat yang lain pula, bacakan dulu dengan tartil, tanyakan kepada makhluk yang hadir siapa yang jadi khadamnya. Kalau ada, tanya namanya, dan kemudian catat namanya. Minta cincin atau benda lain sebagai bukti kedatangannya.
Ulangi lagi hingga selesai tujuh lembaran kertas.

PESANAN KEPADA KHADAM
Kemudian anda kena bagi tazkirah sedikit kepada para jin yang juga khadam tujuh ayat itu.
Katakan kepada mereka, "Aku bersumpah kepada kamu semua, dengan nama-nama yang ada pada kertas ini, kalau aku seru namamu nanti, kamu mesti datang, perkenankanlah permintaanku!"
Konon, para jin itu akan diam dan patuh.
"Lepas ini, kamu boleh balik ke tempat kamu masing-masing, tapi ingat, kalau aku panggil, kamu kena datang, jangan tak datang!"
Sebelum beredar, katakanlah lagi kepada mereka:
"Barakallahu fikum wa'alaykum -- Allah memberikeberkatan kepada kamu, salam sejahtera atas kamu!"
Kertas putih yang bertulis ayat perlu disimpan baik-baik, kata pemunya ilmu elok diletakkan dalam lembaran al-Qur'an sebagai penanda bacaan ayat tersebut.
Kata yang empunya ilmu, kalau berhajatkan sesuatu, bacalah doa berkaitan dengan amalan ilmu ini dan sebutlah nama khadam yang dimaksudkan. Nanti dia akan datang memberi bantuan. Bantuan dalam bentuk macam mana? Wallahu a'lam. [disari dari Amran Kasimin, Sihir Suatu Amalan Kebatinan, UKM,Bangi, 2009: 131-134, doa di hal.133, dipersembahkan dengan penambahan penulis blog].[]

1 comment: