Thursday 13 October 2011

KISAH SEORANG KAWAN

Seorang teman beritahu baru-baru ini bahawa Datuk "S" sudah jadi penerbit filem Melayu. Dia pakai mercedez lagi. Ajak kawan pergi rumah terbuka di PWTC. Datuk S ini sudah kerap kali saya tengok makan di bangunan supermarket Uda Ocean dekat Jalan Bandar tu. Dia macam sorok-sorok ketika duduk di satu sudut ruang medan makan. Tentu ada bicara besar di sana. Agaknya bicang projek drama atau filem.
Apabila kawan yang dari Johor ni cerita tentang Datuk S saya nak ketawa. Sebab saya tak akan percaya kalau Datuk S boleh jadi penerbit filem. Tak ada latar belakang filem pun. Kalau dia ceburi bidang itu memang sesuai benar, kerana Datuk S ini termasuk kelompok yang suka bertukar pasangan.
Jika Datu S nak buat filem atau drama, saya ada skrip menarik. Semua ini kisah benar sebagaimana yang diceritakan oleh Pak "D" dan Jaafar Kaya.

PERTAMA
Cara nak cari duit. Mula-mula pergi ke masjid, solat sunat dua rakaat, tengok ada sekeliling. Ada ke tidak, lepas tu ambil surat-surat yang ada dalam peti surat, atau surat derma yang terpampang kat papan makluman masjid. Ambil list kutipan derma itu dan bawa keluar. Suruh kawan pakai kupiah, lagak tua-tua sikit, masuk kedai mamak, bagi salam, hulur list derma. Selalunya tidak menghampakan. Kenapa saya beri contoh yang ini? Sebab Datuk S pernah melakukan kerja begini di zaman dia meracau tak tentu hala. Kawan dia dah jadi arwah pun, orang Ipoh, saudaranya di Teluk Intan, Perak. Kebetulan saya kenal rapat dengan orang Ipoh ni.
KEDUA
Di sebuah warung di Muar, Johor. Tiga lelaki kehabisan wang untuk tambang bas balik ke KL. Apa nak buat. Setelah berpakat, Datuk S arahkan orang Ipoh berlakon sebagai bomoh asal KL. Okay, masuk ke gerai kakak Melayu yang lengang tak ada orang. Tarik bangku dan duduk. Kakak tanya nak minum apa? Dengan ramah, tanya kakak nampak lengang sahaja ni, tak ramai pelanggan ke? Kakak yang termakan soalan akan terperangkap. Yalah, sejak dua menjak ni gerai kakak tak berapa menjadi. Ketika kakak tu siapkan minuman. Tiga lelaki ni berpakat nak kenakan kakak. Orang Ipoh jadi bomoh pelaris. Maka apabila kakak itu letakkan gelas minuman, mereka pun gayunglah. Kakak aji ni bomoh pelaris niaga. Dia boleh bantu kakak. Yakah? Ya! Umpan mengena. Akhirnya kakak di Muar itu ambillah petua dari bomoh terkenal KL ni. Hari tu orang Ipoh suruh kakak cari air kolah masjid, tujuh masjid, cari bunga tujuh jenis, buah kana, dan entah apa lagi. Semua ini hanya rekaan sahaja, bukan betul. Dan pengerasnya, sekian-sekian ringgit dan sen. Maka kakak itupun berilah duit kepada bomoh terkenal dari KL yang juga sahabat saya. Datuk S lega, sebab lakonan orang Ipoh menjadi. Seorang lagin kawan yang ikut ialah Jaafar namanya, seorang kontraktor kecil (buat tandas untuk projek perumahan Taman Tan Yew Lai). Untuk dapatkan duit tambang bas ekspress ketiganya sanggup berlakon dan menipu si kakak. Kakak yang tak tahu menahu yakin 100%. Kemudian suatu ketika Jaafar yang kebetulan sudah menjalani transformasi, dari orang susah dia dah jadi senang. Dia pun sembang dengan saya di Masjid Jamek Jalan Bandar, dia beli rumah cash, beli mercedez cash, rumah pasang pendingin hawa sampai dapur, anak-anak makan burger tiap hari atau KFC, baguslah, dia dah kaya. Dulu time susah sanggup menipu kakak di Muar tu. Orang Ipoh jadi sandaran suruh berlakon sebagai bomoh. Apabila Jaafar dah kaya, orang Ipoh pun dia lupakan. Ini boleh buat cerita.
KETIGA
Soal kebolehan. Sebut apa sahaja. Nak projek lautan dalam tangkap ikan? Nak repair masjid Campbell, Jalan Dang Wangi (ketika itu masjid lama, dan saya pun pernah jadi muazin untuk solat di situ). Datuk S ni jenis berani, menurut Dollah Kuantan, dah ramai kena tipu dek Datuk S. Ada usahawan wanita di Johor kena tipu berapa ribu ringgit pun tak tahulah dek kerana projek lautan dalam. Datuk S pandai main PRO. Perempuan itu bagi duit. Dia pun cabut. Kelebihan Datuk S ini dia boleh kahwin dengan janda, adik kepada menteri kabinet. Saya kenal orang itu. Dah hairannya, saya sendiri tak tahu berapa orang isteri Datuk S. Ini boleh buat drama. Tajuk pelarian. Datuk S sanggup tinggalkan KL semata-mata mengelak daripada dicari oleh orang yang pernah ditipu. Projek lautan dalam pun tipu. Lepas tu kahwin cikgu Kolam Air, pun naya punya cerita. Pas tu kahwin staff nurse HKL pun naya punya kes. Pas tu budak permpuan Hotel Regent pun naya punya kes. Banyak sungguh, sampai saya tak tahu sebab saya dah jauhkan diri, tak mahu berkawan dengan Datuk S yang bermasalah. Sebab ramai orang cari, ada orang nak pukul, yalah sebab aniaya orang, tipu sana, tipu sini. Suatu hari, kawan saya Shah dari Sitiawan, Perak, tunjukkan business card tertera nama Datuk S. Saya terkejut betul. Datuk S ada projek besar kata Shah kepada saya. Dia tunjukkan kad itu. Saya terus rampas kad itu. Ni Datuk mana yang kamu kenal ni? Dia ni, nama dia saya tahu, latar belakang dia pun saya tahu, dulu kerja posmen, tidak amanah kena buang kerja. Tetapi kepada orang lain dia mengaku jadi kelasi kapal. Maknanya ilmu navigasi dia hebatlah. Datuk S di pintu depan masjid berpakaian serba hitam, samping, songkok tinggi, benar-benar lagak Datuk.
KEEMPAT
Di Kedai Buyung Yunus, kedai buku, puak ni telah masuk untuk kutip derma. Masih tiga sekawan. Dia bawa list derma yang silap. Apabila kertas derma dihulur, orang kedai pun baca. "Awak kenal dengan setiausaha surau ni?" Dengan beraninya tiga abdul ini mengatakan kenal. Baik sangat dengan orang itu. Setiausahalah katakan! Disebabkan main redah sahaja, ketiga abdul itu terpinga-pinga apabila orang itu memperkenalkan dirinya, "Akulah yang jadi setiausaha surau tu, list derma itu aku yang keluarkan, kenapa pulak kamu yang bawa dari KL?" Maka tiga abdul itu merah padam. Seorang keluar, yang kedua keluar, dan tinggallah orang Ipoh jadi tagan...mujur orang tu tak repot polis. Kalau tidak tiga abdul termasuk Datuk S pun kena sekali. Kes macam ini terjadi juga di Masjid Tanah Melaka, ketika nak kutip derma, orang kedai tahan mereka. Orang Ipoh kena tahan setelah tuan kedai perangkap siapkan makanan dan minuman, polis dipanggil. Khabarnya selesai disebabkan orang Ipoh gunakan jasa baik saudaranya bekas Majistret di Johor untuk runding. Datuk S punya angkara, orang Ipoh dijadikan tameng malu.
Cukuplah tiga episod ini. Jika didramakan jadi menarik, lucu pun ada. Kebetulan Datuk S nak jadi orang filem.
Walaupun Datuk S mengaku ada terbitkan drama, saya tetap tak percaya. Setahu saya, Datuk S ni, bulan September cerita filem, bulan Oktober cerita ikan pula, dan bulan November cerita ternak lembu. Sebagai sahabat kepada orang Ipoh dan Jaafat, saya mendapat banyak maklumat tentang Datuk S ini. Kisah Datuk S ini menarik, wataknya boleh ditokok tambah, sebab sepanjang saya kenal dengan dia, dia ni mempertahankan imej baju putih lengan panjang, seluar hitam dan tali leher. Kemudian timang kunci kereta. Biar kereta tak ada pun tak apa, asalkan boleh timang kunci. Ketika nak gayung orang, dia sanggup pinjam kereta kak menteri tu untuk membalun kepercayaan orang lain. Saya ingat, Bala seorang lelaki India dari syarikat Afrikom, pejabatnya di Bangunan Dato' Zainal (sekarang dah tukar nama), dia pinjam volvo si kakak menteri.
Kenapa kisah ini saya ingat? Yalah, kawan saya yang di Muar dah cerita bahawa dia jumpa Datuk S, dan orang itu beritahu dia, Datuk S dah jadi orang filim! (Bukan filem ya, kena sebut FILIM). []

1 comment:

  1. Minggu lepas saya jumpa kawan lama Baharudin, orang Pahang, dia ada projek di P.Tioman. Cerita punya cerita tersebutlah kisah Datuk anugerah dari Melaka. Dia kata, kawan yang dapat gelaran ini agaknya beli anugerah, RM2 ribu je, bukan dari Khalil Yakub, tapi dari Sultan Melaka.

    ReplyDelete