Tuesday 31 July 2012

AL-KISAH KEMATIAN YANG TRAJIS

WALAUPUN dari kelompok penulis, wartawan dan jurugambar, masing-masing membawa haluan sendiri. Suatu hari saya terima SMS dari seorang kawan. "You kenal tak dengan ..."
Sudah tentu saya kenal, hanya saya tidak rapat sangat. Pernah duduk semeja dan berborak-borak santai dengan geng penulis dan wartawan yang berlonggok di Chow Kit.
Seterusnya saya hubungi untuk mendapatkan kisah lanjut. Terdiam saya mendengar ceritanya. Ia adalah sebuah kisah menyayat, kisah seorang penulis, seorang wartawan tabloid yang dulu pernah terlibat dengan sebuah tabloid mingguan dalam tahun 80-an.
Dia selalu buat kerja di pejabat. Kekadang dia tidur di pejabat. Disebabkan begitu, familinya anggap ia suatu kebiasaan. Tidak mengapa, tak lari ke mana.
Tetapi nak dijadikan kisah, dia yang selalu berada di pejabat sorang-sorang untuk siapkan bahan tulisan, entah artikel, entah gambar-gambar yang menyeronokkan untuk edisi tabloid yang dikendalikannya, kebetulan bulan puasa, dia dikatakan tidak dapat dikesan oleh anggota keluarganya sendiri.
Puncanya, pindah pejabat tak beritahu. Jadi, kalau orang tanya suami kamu pejabatnya di mana? Ntah! Disebabkan tidak ambil tahu, maka isteri tidak tahu di mana pejabat dan tempat kerja suami.
Inilah kes yang menimpa kawan ini.
Kawan yang beritahu itu, menceritakan bahawa rakan penulis yang hobinya buat kerja sorang-sorang dalam pejabat telah menghembuskan nafasnya ketika asyik duduk di kerusi pejabat. Mungkin mengadap PC, telefon bimbit terletak di atas meja, kertas bersusun atau berserakan, mana-mana yang telah disemak. Maklum, nak terbitkan sebuah tabloid yang mengandung cerita-cerita sensasi memang susah.
Dalam bab sensasi ini mungkin ada yang tak faham. Maksudnya, cerita-cerita skandal seks isteri orang, skandal seks laki orang, skandal seks orang kenamaan, pendeknya asal ada kisah seks, orang suka baca. Cuba bagi kisah tentang kejuruteraan mekanikal atau bab falsafah, bab kesufian, abang...cari tajuk lain boleh ka?
Ya, ya, ya...Mungkin di pejabat itu, telefon bimbit yang terletak telah berderingan beberapa kali, SMS berkali-kali tidak dijawab. Begitu juga telefon pejabat kalau ada, berdering-dering tak ada siapa nak angkat. Mungkin PC yang terbuka, terus terbiar...atau mungkin dia tidak buka PC langsung ketika itu, atau sedang menyemak bahan untuk edisi tabloid mendatang.
Setelah kawan ini denyut nadinya berhenti [dikatakan kerana serangan jantung], jasadnya terbiar. Ia terjadi dalam bulan puasa. Bayangkan, dengan bilik terang benderang, lampu terpasang, telah berlaku kematian di sebuah pejabat penerbitan yang dirahsiakan.
Perlu dicatat, nama sahaja penerbitan, tetapi kekadang ada penerbit yang tidak ada staff, buat seorang pun sudah memadai kalau ada kepintaran. Ini bukan cerita karut.
Bahkan ada majalah yang menyenaraikan sidang redaksinya yang macam-macam, semua itu nama samaran belaka. Satu orang punya kerja dipaparkan seolah-olah mempunyai staff yang ramai. Biarlah berterus terang.
Dan sudah jadi tradisi pejabat kecil, pindah randah pun biasalah. 
Sebab itulah anak dan isterinya tidak tahu.
Sebab itu dalam apa urusan pun kita jangan berahsia sangat, bagi alamat dengan jelas. Mungkin ada sebab tertentu yang menyebabkan pejabat pun dirahsiakan. Atau kerana berpindah tetapi tidak bagi tahu.
Bukan tidak dicari. Kalau suami tidak pulang sekian lama, tak akan tidak cuba cari. Lari ke Siam ke atau ke Batam?
Kisah ini cukup musykil. Ramai kawan yang tertanya-tanya, bagaimana ia boleh jadi demikian. Sebuah kematian yang misteri, isteri tidak tahu ke mana suaminya pergi. Padahal kalau ada kereta diletakkan di depan atau belakang pejabat, ia boleh dikesan. Mungkin keretanya diletakkan di kawasan lain sehingga sukar nak cari petunjuk. Atau ada di bengkel kereta.
Apa sudah jadi dengan kematian misteri tadi?
Jasadnya mereput di atas kerusi. Ketika itu telefon bimbit sudah tak ada bateri lagi. Siapa buat panggilan, tak akan dapat apa-apa tanda. Mungkin orang tercari-cari. Mungkin pengedar tabloid juga mencarinya.
Bayangkan, jasad kawan ini mereput dan akhirnya tinggal belulang. Dengan pakaian yang biasa dipakai, ia turut membungkus tulang belulangnya.
Akhirnya, misteri kehilangannya terungkai apabila pejabat rahsia itu dibuka. Dia telah pergi rupanya sejak dua bulan yang lampau. Sepanjang bulan puasa tak nampak kelibatnya, hingga masa hari raya, dan setelah tamat Syawal baharulah ada semacam naluri ingin tahu, kerana kebetulan ada rakan baik beritahu itulah pejabatnya.
Kenapa kisah ini dicatatkan semula? Ya, sempena bulan puasa ini, marilah kita bermuhasabah diri. Bagi mereka yang gemar mensensasikan sesuatu bagi tujuan pemancingan khalayak, ingatlah, ia mendatangkan kenistaan, keaiban sebenarnya.
Dalam tahun 70-an, ada penerbit yang gemar terbitkan buku sensasi, gambar yang menghangatkan remaja, cerita lain tidak ada, hanya hubungan antara dua jantina sahaja. Maka kesan buruknya, orang itu sendiri terlibat skandal dengan ahli keluarga sendiri. Skandal yang memalukan. Bapa dengan anak.
Kekadang kita lupa, dalam memburu wang ringgit, kita sanggup mencipta rangkaian skandal hanya untuk sensasi sahaja. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai ghibah. Ghibah secara persuratan - dihebahkan cerita skandal seks, sebagaimana yang kerap akhbar perdana dan televisyen kita paparkan bagi tujuan mengaibkan musuh dalam politik.
Memang cerita skandal selalu diminati orang. Orang nak tahu apa kesudahan cerita. Bahkan sekalipun rekaan, orang nak tahu juga kerana itulah naluri umat. []

No comments:

Post a Comment