Sunday 29 July 2012

BERKARYA SETELAH BN TUMBANG KATA ABBY

BILAKAH SESEORANG AKAN BERKARYA SEMULA?
Ada yang menjawab: "Tunggu setelah BN tumbang!"
Bila agaknya pohon BN nak tumbang? Sebab durian Felda pun dah runtuh?
Orang bagi tahu, "Apabila pilihan raya diadakan tidak lama lagi."
"Bila?"
"September agaknya!"
Idea coretan ini bermula daripada kenyataan Abby Abadi yang katanya mahu berkarya semula apabila keadaan mengizinkan, ketika UBN tidak berkuasa lagi di negara ini. Bagaimana jika UBN masih berkuasa untuk lima tahun lagi?
Maka jawabnya, kena simpan terus hasrat nak berkarya semula. Bakat yang ada tidak sesuai untuk digunakan ketika UBN masih berkuasa.
Dengarnya, ada yang tak suka kenyataan Abby begitu. Malah ada yang komen, sejak banyak bercakap di atas pentas PAS suara sudah lain macam. Menjurus ke arah kehijauan. Kena fahamlah simbolik ini.
Jika masih memegang keris yang tidak diketahui siapa Mpunya, dan bukan juga Mpu Gandring, maka selama itulah keris itu tak pernah dijamas, lalu hilangnya kehebatannya. Ia macam keris Pasar Seni, tak ada apa. Untuk dijual dan dijadikan hiasan sahaja, tak lebih dari itu.

HIJRAH
Berbalik kepada sindiran kepada Abby itu, sebenarnya ramai tak faham kenapa seseorang itu perlu berhijrah lalu mengenakan jilbab semua. Sudah ramai kalangan artis berhijrah. Akan tetapi masih ramai lagi di luar sana yang tak faham maksud hijrah apalagi sanggup meredah rumputan yang hijau begitu.
Mereka hanya melihat aspek material. Melihat kebendaan dari sesuatu.
Orang yang masih suka kepada glamor, suka kepada anugerah, suka kepada pentas, suka kepada muzik dan nyanyian akan memilih jalan itu, memilih permaidani warna merah.
Memang sukar hendak menjadikan permaidani hijau dalam sekelip mata. Orang Melayu masih buta ilmu dan tak faham. Mereka masih tak tahu bagaimana kita hendak menjadi Islam yang sebenarnya.
Kita hanya melihat institusi yang disakralkan itu hanya seminggu sekali, atau setahun sekali. Kita tidak melihat betapa Islam tidak melihat pada bahagian-bahagian tertentu, melainkan keseluruhannya. Ia perlu menyeluruh, dan tidak dilihat daripada pemakaian songkok, samping atau baju Melayu, atau baju kurung tetapi dedah rambut, atau megah dengan kebaya ketat gaya jahiliyah dulu.

KARYA
Menyentuh tentang karya, kita kena faham, bidang pengkaryaan ini tidak menjurus kepada aspek sinematografi atau perfileman semata-mata. Sebenarnya orang yang seperti Abby cukup ramai. Hanya orang tak tahu, tidak menyelami hakikat yang sebenar.
Berapa ramai penulis muda atau tua yang telah menenggelamkan diri daripada berkarya? Langsung tak ada tulisannya dipaparkan dalam media massa? Kenapa?
Sama seperti pelakon yang mengundur diri sementara kerana pokok UBN belum tumbang, maka para penulis, baik fiksyen atau lainnya juga menghadapi masalah yang sama.
Berapa ramai penulis muda yang tidak gemar berteduh di bawah pokok BN terpaksa berehat dahulu, dan terpaksa berkarya hanya untuk laman blog dan sebagainya.
Mereka tetap berkarya dengan menggunakan saluran lain. Mereka juga tidak membeli dan membaca lagi akhbar-akhbar dan majalah yang menggunakan bahan dari pokok BN tadi.
Akhirnya, mereka menjadi tukang tulis secara bebas, buat buku untuk penerbitan, termasuk buku bebudak tadika dan bebudak dewasa lagi tua.
Kenapa mereka tidak lagi membelek Dewan Sastera atau Dewan Budaya umpamanya, sebabnya kerana mereka tak selesa dengan pokok rendang BN itu. Meski daunnya gugur, buahnya manis atau masam, mereka tidak mahu mengutipnya. Biarlah pokok itu tumbang meskipun belum cukup tua.
Orang melukis kartun umpamanya di mana hendak disalurkan bahan karyanya? Biasanya karya mereka dimuatkan dalam media mengarus perdana, tetapi sejak tak suka berteduh di bawah pokok BN, maka karya itu hanya dimuatkan dalam bentuk kompilasi peribadi.
Para cerpenis, para pengkritik sastera juga begitu, mereka jadi bungkam dan tidak mahu buat apa lagi kerana pokok BN belum tumbang.
Percayalah, apabila angin perubahan berlaku, golongan yang menjauhkan diri daripada media yang mengarus itu akan berubah juga.
Orang main drama dan filem pun begitu. Mereka macam tak selesa berteduh di bawah pokok BN.
Seniman cukup ramai di negara kita yang memendamkan diri gara-gara pokok BN belum tumbang. Tengoklah nanti, apabila ribut melanda, pokok itu tumbang, maka mereka akan berkarya semula! []

No comments:

Post a Comment