Saturday 28 July 2012

RONDA-RONDA BELI JUADAH BUKA

Setiap kali meronda di bazar Ramadan pasti anda terliur nak rasa itu dan ini. Oleh itu jangan ambil peduli, jangan tengok orang lain beli, belilah mengikut selera sendiri, pedulilah, kalau anda suka makan pisang rebus, belilah, kalau suka jagung rebus, belilah, dan siapa suka ayam goreng berempah pun belilah, begitu juga kalau nampak bubur lambuk, nak ambik free di surau dan masjid segan, belilah di mana-mana ada orang jual bubur lambuk.
Lepas tu, perlu diingat, petua membeli juadah buka ni, kedua belah tangan kena sedia untuk memegangnya. Kalau boleh setiap anak jari itu ada benda tergantung. Jangan ambil peduli, berapa pun plastik yang anda perlu kait, lagi banyak plastik lagi bagus, soal makan nombor dua. Sebab macam semalam, ada kuih tak laku sampai basi atas meja, tak sentuh pun. Ingat boleh makan, tapi apabila sudah melantak benda lain, maka yang kurang menjadi dibiarkan atas meja. Suruh kawan makan pun tak ndak.

JIMAT
Meskipun begitu, anda perlu berjimat. Belilah juadah yang anda gemari. Jangan fikir apa yang orang gemar. Jika begitu nanti ada orang komplen, aku tak suruh hang beli, tapi hang beli jugak buat pa?
Untuk memudahkan cerita, beli mana-mana yang anda rasa mengenyangkan amat hingga boleh bertarawih 20 rakaat.
Kekadang dalam bulan puasa ini, hasrat nak undur diri dari tarawih memang terngiang-ngiang kerana dibisikkan oleh syaitan yang tertambat dalam bilik air dan tandas rumah. Jangan kata syaitan tak ada, entah jantan ke betina tak kita tahu.

RONDA BANYAK TEMPAT
Kemudian ronda-ronda kalau boleh jangan ronda di satu tempat sahaja. Ada banyak bazaar di mana-mana, rondalah sepuas-puas hati anda sehingga rasa penat. Kalau lapar dan dahaga pun bukan boleh teguk apa-apa atau jamah kurma ke?
Cuba tengok di bazar tu, siapa yang galak membeli?
Yang seronoknya, bulan ini macam festival makanan seMalaysia. Makan aje agendanya yang ada. Apa tidaknya, sana-sini dari pukul 2.00 petang dah pamer juadah.
Saksikanlah, aneka juadah yang sedap-sedap sedang terdedah, saksikan habuk dan lalat beterbangan, saksikan, orang pun membeli seawal jam 2.00 petang, nak simpan, bolehke dibawa hingga jam berbuka nanti?
Inilah yang seronok. Tengok amoi-amoi pun ikut membeli. Inilah peluang mereka menikmati juadah kegemaran rakyat Malaysia. Sudah jadi budaya kita sejak zaman berzaman.

DEGUNG-DEGANG
Kemudian cuba dengarkan degung degang muzik yang dimainkan oleh para pegerai yang ada. Genre muzik dan nyanyian yang dimainkan itu melambang identiti mereka. Jadi kalau anda nak baca, dengarkan muzik yang tak menyenangkan itu.
Semalam ada orang komplen pasal tapai ubi. Selera nak makan tapai memang memuncak time puasa begini. Elok beli semangkuk jangan beli banyak. Sebab ramai sudah terkena, tapai yang masam, tak berapa menjadi, dikatanya manis.
Manis kak! Ini kakak saya yang buat. Saya tahulah!
Sampai rumah, nak jamah tengok semacam aje.
Ubi yang dipakai ubi kajel, entah-entah ubi kucir. Nak buat tapai ini bukan kerja senang. Nak kena pandai pilih ubi. Jangan asal beli ubi.
Sebagai pelarian, orang yang tersalah beli tapai, lain kali nampak tapai kena cek dulu. Memang ramai orang jual tapai, nak senang cari tapai pulut. Mungkin kurang kerenah.
Tadi, dah bagi tahu, alang-alang jenguk bazaar Ramadan jangan beli sikit. Beli sampai tak muat-muat tangan.

ATAS MEJA
Sampai rumah, cuba longgokkan atas meja. Susun, dan buka satu persatu. Letakkan atas meja, kemudian fikir mana satu nak jamah dulu. Kalau nak jamah semua, alamat maghrib dekat 8.30 malam apa cerita bang?
Senang aja, letak juadah tu, time buka puasa, jamah tiga biji tamar dan minum teh Padang. Lepas tu solat dulu. Nescaya kegelojohan nak melantak juadah atas meja tadi akan kendur.
Lepas solat, ajaklah seisi rumah menikmati juadah yang istimewa, didatangkan khas dari bazaar Ramadan yang ternama.
Saksikan...maka dibukalah satu persatu.
Disusun. Nak makan kuih ke nak makan nasi?
Setelah bertengkar beberapa saat lamanya, maka keputusan diambil makan nasi. Ia final.
Dah pekena nasi apa nak tala kuih-muih semua? Tadi pun dah kena tamar tiga biji pun rasa kenyang dengan teh Padang. Tu belum pekena teh Lumpur (KL), belum pekena teh kaw buatan sendiri, kalau boleh biasakan makan di rumah, jangan asyik di kedai atau warung mamak sahaja.
Budaya ini patut dibanteras sejak dulu.

TERUJA PAMERAN JUADAH
Setelah diamati, kebanyakan orang yang beli juadah Ramadan amat teruja dengan pameran juadah yang ada. Tidak kita ada habuk ke, ada lalat ke, asalkan nampak sedap, sesuai dengan selera, kebetulan asyik dok teringat masa kat kampung dulu suka makan apa, maka memang jejari anda tidak cukup untuk dijadikan gantungan plastik juadah.
Jika begitu, ada banyak alat penyangkuk yang anda boleh bawa ke bazar Ramadan. Nescaya kreativiti anda membawa bungkusan juadah yang dibeli akan jadi perhatian jurugambar.
Kalau wartawan tanya, tak kiralah Kosmo, ke Metro ke Utusan Menyampah ke, cakap:
"Ni kalau boleh saya nak tambak penyangkuk lagi, sebab banyak lagi juadah berbuka yang belum sempat saya beli!"
Berapa banyak dihabiskan untuk juadah berbuka?
"Ini puasa setahun sekali, bulan Ramadan, puasa sunat bulan lain tak ada bazaar macam ni, jadi kita kena ambil kesempatan ini untuk berbelanja lebih dari biasa. Tidak ke mana duit itu hilang melainkan ke dalam plastik jua adanya."
Nescaya jawapan anda akan dicatat dan ditimbang dulu sebelum dipaparkan.

ALANG-ALANG RONDA
Jadi, pada kesimpulannya, alang-alang anda meronda, pastikan lebih daripada lima lokasi bazar Ramadan yang anda lawati, dan kemudian alang-alang membeli, pastikan kedua belah tangan penuh dengan juadah dalam pastik. Itu belum masuk air dan bubur lambuk.
Ini tips untuk jimat belanda ke bang?
Ya, inilah yang diamalkan oleh orang tua-tua dahulu kala.
Apa pun, berbukalah dengan buah tamar dan minum air. Solat maghrib dulu, dan lepas tu baharulah makan makanan yang mengeyangkan agar tidak membebankan ketika solat terawih nanti.
Habis yang beli banyak-banyak tadi? Terpulang nak makan atau tidak. Kalau bebudak ramai, habislah agaknya. Kalau tak, mana boleh perangat, buatlah, atau simpan dalam peti sejuk, sampai tiga hari baru nak tengok. Alamak! Lupalah... []

No comments:

Post a Comment