Friday 6 July 2012

KISAH NASI TANGAS ATAU NASI KANGKANG

INILAH RESIPI PALING MUDAH yang konon menjadi kegemaran orang-orang tak ada pegangan agama.
Sebabnya perbuatan ini jatuh syirik, jangan buat kalau hendak jadi orang Islam terbaik. Jangan fikir langsung perkara ini. Untuk dijadikan bahan pengetahuan tidak mengapa dan bukan berhasrat atau ada niat hendak membuatnya.
Memang mudah nak membuatnya, tetapi kalau nak ampuh kena jumpa pakarnya, yang sudah tentu orang perempuan jugalah yang bijak mengajarkan kaedahnya.
Nasi tangas atau nasi kangkang memang nama pelik yang kalau disebut sangat mengaibkan.
Siapa di zaman serba canggih ini masih hendak buat nasi tangas?
Ia bukan resipi sedap pun, bukan nasi briyani spesial guna beras basmati saiz panjang.
Nasi tangas, kata yang empunya cerita, memang senang nak buat.
Masak nasi macam biasa. Sementara nasi sedang ditanak, sediakan ramuan istimewa untuk ditangaskan. Iaitu: apa sahaja bahan kotoran dari badan, hama dari rambut, debu dari rambut, kotoran celah kuku, daki di celah ketiak dan celah mana pun, kalau sudi dan tergamak. Jika sudah ada simpan dan letak tepi.
Apabila nasi sudah masak, tengok dulu, sanggup atau tidak nak menangasnya? Sanggupkah mengangkang di atas nasi yang panas berwap  itu?
Walaupun senang, tapi susah. Silap haribulan, anak perempuan masuk dapur.

"Eh..mak? Buat apa tu? Duduk mencangkung macam tu, mana periuk nasi mak?" kalaulah ada soalan cepuemas macam ini malunya bukan kepalang.

Inilah masalah paling besar. Jadi, pastikan tak ada orang. Kalau suami nampak lagilah haru.
Benda daki dan kotoran tadi tuang dalam periuk dan gaul. Jika nak rasa boleh juga, mana tahu perisa sikit.
Kemudian tutup tingkap semua, kunci pintu dapur, apa lagi duduklah mencangkung, tangaskan nasi yang berwap itu. Itupun kalau tahanlah, kalau tak tahan, tak payah buat.
Nasi yang sudah ada kotoran itu sendiri makan. Cuba dulu, kalau sanggup, barulah boleh bagi kepada suami. Kalau tidak, buangkan nasi itu. istighfar panjang. Wuduk, solat sunat dua rakaat. Bertaubatlah, jangan buat lagi.
Betapa tidak, nak duduk mencangkung kena wap panas pun sudah tak tahan, apa lagi kalau kena bahang api neraka kerana buat resipi "lazat" nasi tangas istimewa, alias nasi kangkang.
Kalau nasi kangkang ketam, kangkang udang, kangkang belangkas, atau kangkang ayam tak apa juga. Ini kangkang perempuan untuk disajikan bagi santapan "diraja" di rumah sendiri.

Ada bomoh yang pakar kata, sebaiknya kalau sedang mengalami haid, maka resipi nasi tangas itu memang ampuh. Dan bertambahlah dosa pembuatnya kerana bijak menyajikan nasi tangas istimewa.
Resipi nasi tangas ini adalah sejenis amalan sihir. Menurut Abu Ubaidah Mahir [1995]  sihir ini dikenali sebagai sihr al-mahabbah (sihir kasih) dan hukumnya syirik. Ia dilakukan oleh seorang isteri yang rasa tamakkan harta suami (mungkin berpangkat besar atau ada kedudukan politik), cemburu terhadap suami atau takut suami kahwin satu lagi (dengan budak puteri).

Berapa lama hendak mencangkung atas periuk yang berwap itu?
Kata yang empunya cerita, bolehlah selama 10-15 minit. Tahan ke?
Kata orang yang tahu, kalau rasa panas, selak sedikit kain tu, agar tidak berbahang keterlaluan. Senang cerita, kalau sudah tahu ia panas, panas lagi bahang api neraka nanti kerana perbuatan ini adalah dilarang dalam Islam, ia perbuatan syirik.
Jadi, kalau di peringkat awal tadi, resipi ini dianggap yang hebat dan terbaik, tetapi setelah memikirkan kesan jangka panjang, suami jadi bodoh, jadi bangang tak sudah, maka isteri juga yang susah. Betapa tidak, orang akan bertanya, "Kenapa pakcik tu sekarang macam orang tak betul?"
Maka kena jawab dengan jujur, "Apa lagi kerana dia makan resipi istimewa aku!"
"Apa resipi istimewa tu bagilah apa bahannya."
"Malu!"
"Nak masak pun malu?"
"Ini resipi untuk orang yang cintakan NERAKA JAHANAM!"
"Hisss! Ke situ pulak perginya."
"Ya, inilah resipi nasi tangas istimewa, bukan sahaja enak dan lazat, tapi menyebabkan suami kamu jadi bangang, tongong, bingung, bodoh, goblok, tak tau apa..."
"Kalau gitu tak mahulah, maaf ya!" []

No comments:

Post a Comment