Sunday 15 July 2012

DADAH LEBIH UTAMA DARI VILENTINE'S DAY KATA DR.M

AHAD 15hb.Julai 2012, ada program di Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, anjuran Perkim Kebangsaan. Ada forum berkaitan ambang Ramadan 1433H dan penganugerahan pelajar cemerlang bersaama saudara muslim di situ. Pak Shahidan Kassim, Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, hadir bagi menutup majlis berkenaan. Dalam ucapannya beliau menekankan dua perkara yang perlu diambil perhatian sepanjang bulan puasa nanti, iaitu jangan bercakap bohong dan kedua jangan buat perkara sia-sia terutama di kalangan pengguna facebook, twitter dan yang jadi blogger. Jadikan media ini untuk perkara yang baik-baik sahaja. Orang faham apa yang dimaksudkan oleh bekas Menteri Besar Perlis itu. Tetapi yang tak sedapnya ketika berucap itu dia beritahu kesibukannya dengan majlis tazkirah di Perlis dan kemudian datang ke Kuala Lumpur untuk bersama Perdana Menteri, ada program Umno katanya. Kalau tak sebut Umno pun tak mengapa, sebab kita tidak mahu menggambarkan seolah-olah Perkim ini sayapnya Umno!

UCAPAN DR.M
Kemudian yang saya nak sentuh di sini ialah ucapan dasar Dr.M selaku Yang Dipertua Perkim bersempena dengan mesyuarat Majlis Kebangsaan Perkim ke-50 yang diadakan tidak lama dulu. Petikan ucapan beliau dipaparkan dalam SUARA PERKIM [Th.32, kel.1, 2012, hal.2].
Dr M kata, kenapalah kita begitu sibuk memperkatakan tentang Hari Kekasih atau Vilentine's Day yang diraikan oleh muda-mudi Islam kita. Katanya, amat banyak suara umumnya menentang Hari Kekasih, tetapi beliau sendiri tidak tahu secara jelas tentang perkara tersebut, yang mana perlu diutamakan berkenaan masalah sebenar orang Islam di Malaysia.
Beliau memberi pandangan, bahawa ada baiknya kita tumpukan kepada masalah lain kerana orang Islam di Malaysia banyak yang terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak selari dengan ajaran Islam, seperti masalah penyalahgunaan dadah.
Jadi, selaku Yang Dipertua Perkim beliau mahu pihak Perkim turut sama menyibukkan diri mengadakan program bagi tujuan yang berkaitan dengan dadah.
Sebagai salah seorang "pelajar dewasa" yang sering mengikuti kuliah mingguan di bangunan Perkim, saya tidak setuju dengan pandangan Dr M. Cukuplah program yang berkaitan dengan dadah itu dilakukan oleh NGO atau jabatan yang berkaitan dengan dadah sahaja, Perkim tidak perlu ikut campur kerana saudara baru yang selalu mengikuti program Perkim tidak melibatkan langsung dengan dadah. Orang yang terlibat dengan dadah berada di luar apa pun NGO yang ada.

ISU DADAH
Lagipun minat masyarakat Malaysia kepada perkara yang berkaitan dadah sudah menurun. Mereka tidak minat tengok pameran dadah, kempen dadah tidak kira peringkat mana pun, mereka seperti sudah jelak dengan dadah. Mungkin kalau ada program begitu, mereka tidak mahu datang langsung. Topik tentang dadah memang tidak menarik langsung, biarlah ia diuruskan oleh PENGASIH, bimbang nanti NGO berkaitan dadah tidak ada modal hendak buat kegiatan tahunan.
Kemudian dalam teks ucapan Dr M ada menyentuh bahawa umat Islam di negara kita banyak yang terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak selari dengan ajaran Islam. Akan tetapi Dr M hanya sebut tentang dadah sahaja. Dia juga menyentuh bahawa masalah ini sudah lama menghantui masyarakat kita, daripada soal dadah akan melahirkan berbagai masalah lain yang berkaitan. Maksudnya daripada satu maksiat membawa kepada maksiat yang lebih besar lagi.
Jadi perbincangan tentang Hari Kekasih ini tidak begitu penting bagi Dr M jika dibandingkan dengan perkara dadah.
Menyentuh soal dadah ini beliau menambah, penglibatan anak muda kita dengan dadah kerana cara kita mendidik tidak betul. "Jika kita memberi penekanan  kepada anak-anak tentang isu ini dalam masyarakat kita, saya yakin apabila mereka dewasa mereka dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan dadah."
"Kita tidak terlibat dengan dadah kerana kita tahu dadah itu tidak baik bagi kita seperti mana kita tidak mencuri kerana kita tahu perbuatan tersebut tidak baik," katanya.
Untuk mendisiplinkan diri kita perlu melatih generasi muda mengikut ajaran agama Islam. Beliau juga mengharapkan guru-guru di sekolah memberi penekanan yang lebih kepada masalah dadah. Beliau juga mengakui bahawa beliau juga tidak setuju perkara maksiat berleluasa, tetapi isu dadah lebih besar lagi dari perkara itu.

DUA DEKAD TAK PEDULI DADAH?
Berdasarkan teks ucapan beliau itu, jelaslah bahawa Dr M terlalu menekankan soal dadah. Dadahlah yang menjadi punca segala masalah. Akan tetapi yang menjadi tanda tanya, sejauh mana ketika beliau menjadi Perdana Menteri sehingga dua dekad melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah dadah? Kenapa tidak dari tahun 1981 lagi beliau memerangi dadah habis-habisan?
Atau hanya teks ucapan setelah berada dalam Perkim, baharulah merasa perlu untuk mengingatkan pihak lain peri mustahaknya soal dadah diutamakan. Soal Hari Kekasih tidak penting.
Dalam pada itu teringat pula kisah anak lelaki beliau yang bergiat dalam perniagaan produk minuman keras yang sudah jelas haram, sementara keharaman dadah juga berqias dari khamar/arak. Ia memabukkan dan membuat orang yang minum ketagih. Sama seperti orang menggunakan dadah, memabukkan atau mengkhayalkan dan kemudian jadi ketagih. Hal ini juga dipaparkan dalam Suara Perkim (hal.14), siap hadis Rasulullah shallahu alaihi wa sallam yang melaknat terhadap khamar, sepuluh golongan, iaitu: pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembelinya dan pemesannya.
Berbalik kepada isu masyarakat Islam banyak terlibat dengan kegiatan yang tidak selari dengan ajaran Islam. Memang. Terlalu banyak perkara yang tidak selari. Umpamanya dalam bab pilihan raya, kita sentiasa mengamalkan penipuan dalam pengundian, ada pengundi hantu, ada pendaftaran pemilih berganda, orang yang sudah mati pun masih ada dalam daftar dan kezaliman pihak penguasa dalam memburukkan kelompok yang menyertai Bersih 3.0. Sampai hari ini masih dilabelkan sebagai ganas, padahal semua orang sudah tahu, siapa yang lebih ganas [kebetulan saya pun ikut sama berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan terkena gas pemedih mata  di tengah puluhan/ratusan ribu peserta Bersih].
Apa lagi yang tidak selari dengan ajaran Islam? Isu ISA walaupun sudah hapus, tetapi skandal penderaan yang dipaparkan melalui blog amat menakutkan rakyat. Beginikah layanan terhadap manusia yang tidak bersalah?
Rasuah ada di mana-mana, lagi dikempenkan, lagi dihebahkan siap dengan sticker ditampal di sana-sini, semakin galak rasuah. Ia sudah jadi jenama baru, rasuah dan masyarakat, berpisah tiada. Kisah rasuah ini jangan kita baca Utusan Malaysia, Strait Times, Malay Mail, The Star atau Sinar Harian, bacalah akhbar lain [lagipun tidak digalakkan nonton televisyen] seperti Keadilan, Harakah, Roket atau media lainnya seperti yang anda tatap sekarang. Media utama tidak siarkan kes-kes pelik dan ganjil kalau melibatkan orang-orang mereka. Yang diburukkan hanya pihak pembangkang sahaja. Ini semua sudah maklum. Bahkan file kes pun banyak melibatkan pihak pembangkang. Ini mungkin selari dengan ajaran Islam yang Dr M maksudkan.

SELARI AJARAN ISLAM
Mungkin Dr M menganggap membuat fitnah itu selari dengan ajaran Islam. Mereka-reka kes bagi mengenakan orang lain juga selari. Mengaibkan orang lain dengan skandal seks "songsang" juga selari. Tidak mengaku kalah dalam pemilihan agung parti juga selari dengan ajaran Islam. Memecat seseorang yang tidak sebulu juga selari dengan ajaran Islam.
Atau menggunakan kedudukan bagi mencari kekayaan peribadi, anak beranak, ipar duai dan suku-sakat kroni yang ada adalah selari dengan ajaran Islam. Membelanjakan wang dengan boros dengan projek mega juga selari dengan Islam. Atau menyuruh pihak tertentu melanggan minyak Petron itu selari dengan ajaran Islam?
Sungguh bijak apabila bercakap tentang masalah umat kita hanya tumpu kepada bab dadah sahaja. Cerita dadah sudah basi. Murid-murid dan para guru pun tak mahu bercerita bab dadah. Kalau dalam peperiksaan ada soalan tentang hal dadah, pelajar pun tak mahu pilih soalan yang membosankan itu. Biarlah keldai dadah berkeliaran di mana-mana, kerana kita telah buat macam-macam, namun tak berhasil juga, ia memberi gambaran sejak Dr M lagi perkara ini kurang ditumpukan.
Siapa yang selalu perkatakan soal Hari Kekasih ini? Mereka adalah para ulama kita. Umat Melayu yang muda-muda kena diperingatkan setiap tahun agar jangan meraikan hari yang tidak mendatangkan manfaat ini. Inilah hari orang memadu kasih, istilahnya berdua-duaan dengan lampu kelam di sekitarnya, raikan seperti orang putih lakukan. Bagi Dr M ini bukan hal penting.
Bagaimana kalau perkara ini didiamkan? Menentang kemungkaran apakah tidak penting lagi? Dan kita biarkan majalah, akhbar, televisyen sibuk meperkatakan Hari Kekasih. Masing-masing beli bunga untuk diserahkan kepada kekasih. Dan kemudian terjadilah kes menghampiri zina atau zina terus. Jadi, jangan marah kalau ada orang campak bayi masih merah depan rumah. Raikan Hari Kekasih sepuas-puasnya.
Ada banyak lagi perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam, tetapi cukuplah dengan mengatakan bahawa daripada Hari Kekasih ini akan membawa kepada bab lain yang lebih besar. Jika dibiarkan ia sama bahayanya macam dadah juga. Jangan fikir dadah itu sudah hebat gejalanya. []

No comments:

Post a Comment