Friday 6 July 2012

MELAYU ATAU KAUM MANA YANG TERBAIK?

MEMANGLAH, ORANG MELAYU akan mengatakan kelompok mereka yang terbaik dalam segala hal, tetapi hakikatnya kita buatlah terlalu baik untuk dibandingkan dengan kaum lain. Sifat buruk Melayu sudah lama dibicarakan orang, jadi tak perlu diulang kerana kita sudah lama dengar janji Melayu, jam Melayu, temberang Melayu, syair Melayu dan macam-macam yang Melayu. Semuanya memberi semacam konotasi yang sinisme, sesuai dengan kata Dr M Melayu yang haprak.
Tadi, tazkirah di Masjid Bt 4 Jalan Gombak ada menyebut bahawa kaum yang terbaik adalah mereka yang mengerjakan solat. Jika umat Melayu tidak kerjakan solat bagaimana hendak dianggap yang terbaik? Tidak kira kaum apa pun, asalkan mereka itu Islam mereka adalah terbaik, tetapi hendak lebih baik mereka kenalah solat.
Kedudukan solat adalah amat tinggi dalam Islam. Ia merupakan tiang agama di mana agama tidak dapat ditegakkan dengan sempurna dalam diri seseorang dan negara kecuali setelah memberi perhatian serius tentang kewajipan dan kesempurnaannya.
Penceramah sebelum solat Jumaat itu mengatakan bukan sahaja orang Melayu, orang Arab pun bukanlah umat terbaik kalau mereka tidak mengerjakan solat. Dan Arab pun seperti Melayu, ada yang perangai baik dan ada yang perangai buruk.
Macam orang Melayu, bukan tidak ada yang kaki tonggang, kaki judi, kaki betina, kaki lumba kuda, kaki Genting, kaki rasuah, mereka yang "kaki-kaki" ini bukanlah Melayu yang baik. Seseorang Melayu yang baik terletak kepada solatnya. Dan perincian solat itu bagaimana? Adakah dia hanya suka solat seorang diri di rumah, atau dia melanggengkan diri solat berjemaah di masjid atau surau.
Selalunya hanya umat yang baik atau terbaik sahaja yang menjaga solatnya dan setia mengunjungi rumah ibadat berbanding setia mengunjungi ruang-ruang maksiat yang ada.
Orang Melayu jangan bangga dengan kemelayuan dan keislamannya jika tidak mahu menjaga agama dengan sempurna. Jika Melayu tidak mahu jaga dengan sempurna di negara ini, kita boleh serahkan urusan keagamaan kepada kaum Bangladesh yang sedia ramai di negara kita, atau serahkan kepada Pakistani.
Orang Melayu yang benci dengan segala perkara sunnah atau yang sunnah maka ia adalah orang yang benci kepada Islam. Orang yang suka kepada pemimpin zalim, menjalankan kezaliman, pilihanraya tidak telus, ada pengundi hantu, pilihanraya menipu, semua ini adalah berlawanan dengan cara Islam. Jadi orang Melayu tidak boleh harapkan kepada kaum lain, tidak boleh harapkan kepada Bangladeshi, Pakistani atau orang Arab untuk menjaga Islam. Melayu perlu sedar jika mereka mahu dikata kaum yang beragama Islam, maka sikap kita kepada Islam janganlah memusuhi Islam.
Ini tidak, kita benci kepada jubah, kita sindir orang pakai jubah sebab bukan ustaz dan bukan mengaji agama tetapi nak pakai jubah. Kita sindir orang pakai serban, pakai kupiah putih dan macam-macam lagi perlakuan Melayu yang meloyakan.
Bermakna orang Melayu sendiri tidak faham apa ertinya menganut Islam. Bagaimana cara menjadi orang Islam.
Teguran penceramah itu memang kena dengan masanya. Ramai jemaah yang tertarik apabila ustaz itu menyentuh tentang kenapa kita menyokong pemimpin yang zalim yang menentang Islam? Jika Melayu sayang kepada Islam, sayang kepada agamanya, mereka kena menyokong kelompok yang memperjuangkan Islam, bukan menghina-hina, bukan menyindir, memfitnah dan sebagainya.
Jadikan Islam itu lebih utama, jangan biarkan kaum lain mempermainkan Islam. Ini tidak, apabila kaum lain bercakap tentang Islam semuanya senyap, tidak berani bersuara sebab berada dalam kandang parti yang sama.
Orang Melayu tidak boleh berbangga bahawa setiap orang Melayu adalah Islam. Kerana nama sahaja Islam tetapi perlakuan tidak islam, sikap tidak Islam, suka memusuhi Islam, benci dengan kegiatan Islam dan tidak suka bercakap tentang perkara Islam.
Ustaz ini juga menyentuh, bukan kita tidak tahu, ada ramai Melayu main ekor, ada ramai Melayu laga ayam, dan buat perkara maksiat lainnya, tetapi kalau mereka ini sedar dengan perbuatannya dan melakukan solat, maka mereka lebih baik daripada Melayu yang langsung tak solat.
Begitu juga Melayu yang asyik dengan hiburan dan nyanyian, kalau mereka tinggalkan solat, apa guna kepopularan diri sebagai artis yang disanjung-sanjung.
Dan saya ingin mencelah, apalah ertinya kemasyhuran penyanyi dengan lagu yang melambak, nama terkenal dan sebagainya kalau mereka itu tidak solat. Kalau mereka gerun kepada masjid, gerun kepada majlis ilmu kerana konon nak menjaga status sebagai artis. Inilah peliknya orang Melayu. Apabila telah terkenal, mereka tidak mahu bergaul dengan masyarakat, tidak mahu ke masjid, tidak mahu ke surau, tidak mahu hadiri majlis ilmu, sebab nanti orang kenal dia sebagai artis!
Sebenarnya bukan semua yang kenal dengan seseorang artis. Mereka yang tidak peduli dunia artis, usahkan kenal, menyebut nama artis pun tidak tahu. Hanya kalangan mereka sahaja yang perasan orang pandang dia, orang minat dia, orang puja dia, orang sentiasa berkerumun tengok dia. Orang minat kepada dia, kalau dia tidak solat, sama sahaja macam orang tak berguna.
Jangan jadi orang munafik. Orang munafik ini jenis teruk. Itu kata ustaz dalam tazkirahnya. Bentuk tazkirah begini sebenarnya boleh menyedarkan orang Melayu yang masih leka dengan kemelayuannya. Orang Melayu tidak perlukan simbol keagungan macam zaman dulu. Kesultanan Melayu Melaka sudah tak ada. Mungkin apa yang dikatakan kegemilangan Kesultanan Melayu di zaman silam hanya propaganda sahaja, hakikatnya tidak ada apa yang hebat. Semua terletak kepada sejauh mana umat Melayu tidak kira apa zamannya, mereka itu solat atau tidak. Jika tidak solat nama hebat Hang Tuah pun tak guna. Jika tidak solat, gelaran bendahara pun tak guna. Begitu gelaran Tun, Datuk Laksamana atau gelaran lainnya, jika hanya sekadar Melayu tetapi tidak tegakkan agama, maka ia sama macam kaum lain. Walllahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment