Tuesday 31 July 2012

PELET DAN SANTET ORANG MELAYU TAK KENAL

UNTUK MENGATAKAN bahawa orang Melayu di Semenanjung sekarang sudah kemaruk kepada segala ilmu macam kepeletan, kesantetan, atau apa sahaja  ajian, rajah-rajah, mustika, nikah jin, jamasan pusaka, babi ngepet dan sebagainya, ia sebenarnya tanggapan yang tidak benar.
Tidak ada pengamal perubatan tradisi Melayu Semenanjung yang tahu menyebut perkataan yang disebutkan ini.
Ketika kita mencari bahan untuk majalah, pengamal perubatan tradisi Melayu tidak tahu menyebut pelet, tidak tahu menyebut santet, ajian, rajah-rajah dan apa sahaja yang memang poppular di Jawa sana.
Bagaimana mahu mengatakan bahawa pengamal perubatan tradisi di Malaysia juga sudah kecanduan dan ketagih dengan ilmu-ilmu karut serba mistik begitu?

ISTILAH BERBEZA
Sebenarnya, di Semenanjung ini orang hanya kenal minyak pengasih biasa, pengasih asyik sekampung, pengasih atau senyonyong mati dibunuh [ada pengaruh Siam], kita hanya kenal santau, kita kenal perkataan buatan orang, kita kenal makhluk hantu tinggi, hantu air, hantu laut, hantu gunung, puntianak, bunian, khadam atau jin bergelar dan sebagainya.
Kita di Malaysia tidak kenal apa itu genderuwo, tahu menyebut, tapi ia tidak popular di Malaysia, kalau ada filem hantu ditayangkan di KL memang tak laku.
Begitu juga kalau ada kisah-kisah santet, babi ngepet, atau kisah ratu kidul, blorong dan sebagainya. Ia hanya filem lama yang laku pada era tahun 70-an.
Setahu saya, ada pengamal perubatan tradisi di Semenanjung yang mengenali beberapa perkataan pelik yang berasal dari paranormal Jawa sana melalui rakan-rakan niaga.
Di Malaysia, peniaga kecil yang selalu bersila di atas tikar, sejadah atau pengalas -- banyak yang datang dari daerah Kalimantan. Ada yang datang dari Sabah, tetapi mungkin berasal dari Kalimantan Timur [Kaltim], sebab apabila mereka duduk bersila dan berbicara, masyarakat Melayu akan dapat menangkap beberapa perkataan pelik yang memang tidak diajar di mana-mana sekolah pun di Malaysia.
Contoh, orang Melayu tidak menyebut perkataan langka, apa lagi orang Sabah. Orang Melayu tidak menyebut perkataan cuman [cuma], orang Melayu tidak menyebut perkataan sepi [kurang orang].

PEDAGANG UBAT
Daripada pedagang ubat kaki lima inilah, istilah santet, pelet dan sebagainya diperkenalkan. Dari kaki lima jalan inilah pedagang kaki lima yang duduk dengan memakai belangkon gaya Kejawen menuturkan kisah.
Dan hairannya, pengaruh kejawen ini memberi impak maksima kepada pedagang kaki lima untuk berwacana  sewenang-wenangnya kepada orang ramai.
Dari pedagang kaki lima inilah orang Melayu tahu menyebut pelet, atau minyak pelet, sebab di sini kita menyebut minyak pengasih atau senyonyong. Kita tidak kenal apa itu bulu perindu dari Kalimantan sana, sebab kita hanya kenal buluh perindu.
Begitu juga orang Melayu jijik kepada sawat atau cula buaya. Kenapa perlu dihiris nipis, direndam dan diminum airnya untuk dijadikan sumber keghairahan seks?
Sebenarnya, bilangan penjual ubat kaki lima yang duduk bersila baik di Johor Bahru, Kuantan, Kuala Lumpur, Klang, Ipoh dan di mana sahaja kebanyakannya orang luar.
Ada yang datang dari Batam, dari Jawa dan amat jarang dari Sulawesi. Apalagi Lombok dan Bali. Yang ada dari Madura.

AKHBAR DAN MAJALAH
Melalui mereka inilah masyarakat Melayu kenal dengan perkataan santet, pelet, dan kalau ada istilah lain, ia disebabkan majalah terbitan Jakarta atau akhbar-akhbar mereka juga dipasarkan di Kuala Lumpur.
Apa nak hairannya kalau masyarakat Melayu tahu menyebut perkataan itu.
Ia tidak bermakna orang Melayu sudah gila kepada pelet, santet dan rajah atau mustika yang diperdagangkan itu, tidak sama sekali.

MERAPU
Seperti juga apabila dihebohkan orang Melayu mahu mengambil tarian pendet.
Tarian pendet ini apa pun saya sebagai penulis tidak kenal, tidak tahu bagaimana rentak tarinya, dari mana? Kalau tidak diwar-warkan dalam Vivanews, atau kecoh-kecoh malingsia, maka saya pun tidak tahu.
Oh, rupanya tarian pendet itu dari Bali. Hairan, kenapa tidak bawa sahaja tarian dari Kalbar, Sumbar atau Jabar. Tidak perlu usung dari Bali sana. Sebab itulah usahkan orang biasa, guru-guru sekolah, pensyarah universiti pun tak tahu apa itu tarian pendet.
Kemudian ada tarian reog. Inipun merapu. Orang Malaysia tidak kenal apa itu tarian reog. Mana boleh hendak mengaku bahawa tarian itu milik Melayu umpamanya. Untuk apa mengambil tarian dari kelompok pagan yang jelas ada ajaran paganisme di dalamnya.
Sedangkan wayang kulit Melayu adalah adunan pengaruh dari Siam, manakala sedikit sahaja dari Jawa kerana orang Melayu atau Jawa sendiri tidak faham bahasa halus yang digunakan oleh pak dalang.
Kemudian muzik gamelan yang ada di Malaysia adalah berubah sama sekali dengan rentak gamelan yang asli.
Perlu improvisasi dan perubahan bagi menghasil variasi nada. Begitu juga tarian kuda kepang, walaupun saya sendiri tahu menarikan sambil memegang patung kuda kepangnya, tapi ia tidak menyebabkan saya jadi fanatik melulu dengan kepang jaran ini.
Bahkan tradisi latihan kuda kepang, wayang kulit dan gamelan cara Jawa ini semakin pupus. Alhamdulillah kalau ia tidak ada pun. Kenapa? Kerana ada unsur-unsur paganisme di dalamnya, justeru tidak perlu dipertahankan sampai nak bergaduh dan berebut-rebut.

GADUH
Banyak perkara yang digaduhkan oleh umat hanya perkara tetek bengik yang tak berfaedah. Umpamanya, orang gaduh pasal lagu "Rasa Sayange", jika ia memang lagu dari luar Semenanjung, kita tak usah jadikan ia lagu kerakyatan. Biar ia pupus, sebab lagu itu perlukan pantun. Tradisi berpantun pun sudah pupus. Pertandingan berbalas pantun yang ada hanya penyumbat acara dan bukan penting sangat. Begitu adat meminang dengan pantun semua, orang sekarang terus cakap, tak payah ada pembayang semua. Tak payah berseloka dan bergurindam.
Ada lagi yang dikecohkan pasal makanan. Rendang itu milik siapa? Apa nak gaduhnya, sedangkan di KL sekarang sudah ada restoran Pak Nowo, tetapi ia memang menjadi tumpuan warga Jawa Indonesia di Chow Kit, sedangkan orang Melayu sekalipun berketurunan Jawa, tidak masuk ke situ.
Ketika ditanya kenapa? Tak boleh makan, lebih baik makan nasi kandar. Tengok tu. Jawa Malaysia makan nasi kandar, tak mahu makan satey kambing gaya Jawa atau Madura.
Rendang adalah tradisi Minang Sumatera. penghijrah dari Sumatera yang tinggal di Pahang, Selangor, Perak dan sebagainya sudah tentu membawa sekali makanan kegemarannya. Resipi randang dagiang memang sudah ada dalam kepala.
Mereka buat rendang, tetapi lama kelamaan ia menjadi rendang khas tempatan, macam orang dari Padang buka kedai makan selera Padang, ada kelainan persembahannya, semua tidak original lagi. Kenapa hendak berebut mengatakan makanan ini milik negara itu, dan makanan ini milik negara ini. Kenapa  mahu jadi maling resipi?

FAHAMI SEJARAH
Semua ini memberi gambaran umat tidak faham sejarah. Sesiapa yang mengenali sejarah akan tahu akan asal-usul sesuatu perkara. Lihatlah nanti, apa orang kata kalau ada ayam penyet di Kuala Lumpur. Nanti akan ada ayam yang dipenyet-penyet sampai hancur bagi orang makan sebab bergaduh, gaduh berebut jenama. Ini masakan dia, kenapa kamu ambil?
Kena faham demografi penduduk Semenanjung dan asal-usul dari moyang mereka. Jika faham jalur sejarah, maka tidak ada kekecohan dalam soal budaya. Macam permainan debus, ia popular di Sumatera. Di KL ia diperkenalkan oleh penjual ubat kaki lima.
Untuk mengetahui bagaimana di Semenanjung pun ada orang sibuk batu delima, rantai babi dan bulu perindu semua, jawabnya, ia adalah bawaan dari Jawa dan Kalimantan. Meski masyarakat Orang Asli [Asal] Malaysia tinggal di kawasan hutan pada masa dulu, mereka tidak kenal rantai babi, ini yang peliknya, mereka hanya kenal babi hutan bertaring kuning. Di Jawa orang tambah-tambah dengan ilmu karut babi ngepet. Ngepet itu apa bendanya pun orang tak tahu.
Heboh juga cicak tokek. Di Jawa ada orang bisnes cicak ini. Masuk hutan mencari tokek berminggu-minggu hinggakan ada ustaz memberikan fatwa dari segi agama. Macam jual katak, jual buaya, jual ular, jual kura-kura dan jual cicak gergasi. Apakah cicak tokek ini pun hendak digaduhkan ia milik siapa dari mana asalnya?
Keturunan Banjar dari Kalimantan Barat, keturunan Jawa dari berbagai daerah di Jawa, kemudian yang dari Palembang, dari Bentan, dari Riau, dari Sumbar, dari Sulawesi [PM Malaysia keturunan Bugis], dan dari Acheh pun ramai di Penang dan Kedah nun.
Sebenarnya dalam soal budaya, ia mengikut pak menteri KEBUDAYAANnya. Kalau menteri keturunan Banjar, tentulah dia akan pandang kepada budaya Banjar dengan adat-adat dan makanannya.
Tengoklah Rais Yatim yang lebih fokus kepada budaya keminangan, maka apa sahaja yang ada di Sumatera, apalagi ada kaitan dengan urang awak, maka dia lebih tumpu ke situ. Marahlah menteri yang Jawa atau yang kebugisan. Itu belum lagi yang keturunan  lain. Jadi penganalisis budaya dan pandangan budaya setempat kena faham susur-galur ini.
Berbalik kepada kisah orang Malaysia pun kemaruk dengan ilmu hikmah, ia bukan dipasarkan dan diiklankan oleh pedagang ubat asli Malaysia sebenarnya. Ia diiklankan oleh pengusaha yang berketurunan dari Jawa, Kalimantan atau memang mereka berasal dari sana untuk buka cawangan/cabang bisnis di sini.

KEJAWENAN
Ada juga peniaga ubat atau pengamal perubatan tradisi yang mengada-ngada memakai blankon macam Kejawen, tukar atau tambah nama ada raden, ada pak romo, nama-nama yang pelik bagi tujuan memancing khalayak. Mereka inilah yang menukar gaya percakapan stail Jawa lalu memasarkan apa sahaja benda-benda pelik yang tak dikenali di Malaysia.
Contoh, saya hanya kenal dengan rantai babi, keris cemeti usul Kalijaga daripada seorang raden gelaran. Rangka Hirang Kalimantan daripada tukang urut Banjar yang tinggal di Kedah. Begitu juga soal ratu kidul dan blorong melalui raden bergelar. Minyak pengasih mereka sebut pelet, maka orang Melayu pun kenal apa itu pelet,  sedangkan orang Melayu tidak tahu sebut.
Begitu juga santet, ia diperkenalkan melalui filem-filem Indonesia tahun 70-an dulu. kemudian terbaru ada ilmu sungai raja, ilmu ini dikatakan amat hebat sehingga boleh mematikan lawan.
Ada orang komen, kalau ilmu itu bahkan ilmu yang lain pun dianggap hebat, amalan pendekar silam, apa salahnya dilahirkan satu ketumbukan tentera pendekar pergi ke Mynmar sana, bantu orang Islam yang ditindas, atau ke Syria, ke Palestin sana.
Hanya bak kata setengah pengkritik, ilmu Nusantara hanya bermain di bumi Nusantara, tidak mampu menembusi ruang batas antarabangsa. Ia hanya untuk pertahanan diri, dan bukan mencari lawan. Dan macam-macam alasan lagi.
Sampai sekarang, kalangan anak muda Melayu tidak tahu apa santet atau santau, tidak kenal pelet atau minyak pengasih.
Pengasih moden adalah duit. Santet sekarang adalah  ajak gaduh. Di sini orang kenal tuju-tuju dan sebutan lain. Macam juga istilah kuyang di Kalimantan Timur, orang Melayu tidak tahu apa itu kuyang, seperti istilah bajang juga, kemudian siluman, orang sini tak tahu sebut, sebab kita hanya pernah dengar harimau jadi-jadian.
Begitu juga hantu penanggalan, hantu tinggi, hantu puntianak [Melayu tidak sebut kuntilanak], orang Melayu juga tidak kenal dengan sajen, jamas, sungkem atau kahwin jin.  Tetapi ilmuan karut-marut ini dipasarkan oleh orang-orang berketurunan dari Jawa atau lokasi lainnya, kerana yang mistik dan karut itu digemari orang. Wallahu a'lam. []

1 comment: