Thursday 5 July 2012

KISAH PENIAGA UBAT KAKI LIMA

PENIAGA UBAT KAKI LIMA hanya tinggal kenangan sahaja. Dulu dalam tahun 80-an hingga 90-an, kelibat peniaga ubat di kaki lima boleh dilihat di mana-mana. Dulu di Kuantan dekat stesen bas ke Teluk Cempedak dekat Masjid Bandar Kuantan ada orang jual ubat. Atau dekat tepi Sg Pahang pun ada.
Kemudian di Kota Bharu pun ada peniaga ubat kaki lima buka gelanggang. Di Mersing, Johor atau di Merlin Tower, Johor Bharu.
Di Melaka pun ada. Begitu juga Kuala Lumpur. Ia adalah lubuk dan tumpuan bagi peniaga ubat dari merata ceruk. Baik dari Yala, Petani, dari Jawa, dari Kalimantan, dari Sarawak, Sabah, dan dari negeri-negeri seluruh Semanjung.
Dulu dekat Keramat Supermarket, tempat orang jual sup sekarang, lorong menuju ke Masjid Pakistan adalah lokasi yang hebat. Semua tumpu di situ hingga terpaksa tunggu giliran buka gelanggang. Selain itu, sepanjang tepi kaki lima di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar kawasan kedai Mydin, lorong di belakang Mydin, iaitu Lorong Hj Taib yang terkenal dengan pondan dan dadahnya.
Pendeknya semua peniaga mahu buat show di lorong itu. Ada peniaga yang menyediakan gaslin bagi kemudahan para peniaga ubat. Ada yang gunakan lilin, ada yang gunakan lampu picit seperti Abang Johari yang terkenal dengan Six Million Dollar Man. Ada nama Wan Razali dari Kelantan yang suka telanjang dada ketika jual ubat makjun kuat. Ada yang jadi Pak Badang, ada yang sanggup kunyah kaca lampu, ada yang mendakwa sebagai raja seks terhebat mewakili Malaysia di Bangkok, dialah Mr.Z. Dan ada juga penulis bernama Daud pernah jual ubat di situ bersama Mr.Z.
Lorong Hj Taib sudah jadi sebutan. Semua peniaga ubat mahu turun ke situ. Macam-macam ubat dijual. Biasanya ubat yang ada kaitan dengan seks. Kenapa? Sebab lorong itu memang lorong pondan, lorong pelacur, dan lorong penagih.  Seks jadi tajuk paling laris. Juallah apa sahaja pil atau makjun kuat, pasti ada lelaki mengeluarkan wang untuk mencubanya.
Di Jalan Melayu, Masjid India pun tidak kurang hebatnya. Sebelum didirikan tempat perniagaan seperti sekarang, tempat itu lapang dan tenang. Ada pelukis cacat bernama Daud asal Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pernah Abang Faizol Tonik buka gelanggang, dia bawa motor besar, siap bawa alat perhubungan jenis Atur. Itu jam telefon bimbit belum ada, mempunyai sebuah Atur sudah dikira hebat.
Semua peniaga ubat buka gelanggang di situ. Ada geng yang mengaku dari Kuala Kangsar, tetapi sebenarnya geng dari Sumatera. Mereka jual ubat dan mengadakan permainan Debus. Ikat orang dengan tali dan kemudian tutup dengan kain hitam. Orang itu boleh lepaskan diri.
Dan teringat juga Ali Ular, siap bawa ular tedung selar dan ular sawa albino untuk bikin show. Pendeknya hiburan sentiasa ada. Orang berkerumun ketika orang jual ubat meninggikan suara.
Ada yang bernama Johan Daud, jual pil warna merah jambu untuk sesiapa yang kuat hisap rokok boleh musnahkan nikotine katanya.Dia siap buat eksperimen dengan dua keping roti yang dituangkan dengan bahan pil yang telah larut.
Dia juga gemar letakkan buku bahasa Inggeris, letakkan gambar bersama pelancong asing yang dia temui di mana-mana kerana dia boleh berbahasa Inggeris [pernah mengikuti kursus perubatan barangkali] dan dia gemar menyatakan bahawa isterinya semua orang putih, ada dari Australia, ada Swiss, ada France dan macam-macam lagi. Tetapi ada sumber mengatakan, itu bukan isteri dia. Ia hanya gambar bersama pelancong yang ditemui di mana-mana dia berada. Peniaga ubat kerap ke sana-sini. Menginap di hotel murah. Masa dulu hotel RM18 - RM30 sudah dikira bagus.
Ada juga peniaga ubat yang sengsara gara-gara melakonkan sesuatu bagi meyakinkan pembeli. Contoh mereka yang sanggup bengkokkan besi dengan leher atau lengan. Mereka yang melakukan hipnotisme, ada yang cuba bengkokkan sudu seperti kes Johan Daud tadi. Wan Razali tunjukkan bodi yang berkeluk. Dan ada yang tunjukkan kehebatan main bara api dan nyala api.
Sesiapa yang kreatif, dia akan menarik perhatian ramai. Ada juga orang dari Taman Soga, Batu Pahat, menjadi pakar dalam ramalan angka bertuah, siap berlagak macam bomoh Siam. Baca mantera Siam, entah betul entah tipu. Dia pamerkan cek hadiah yang telah dia kaut berpuluh ribu dia dapat.
Ada juga puak-puak dari seberang yang menjual ramalan empat nombor dengan kertas ramalan yang difotostat. Mereka yang telah berniaga sejak tahun 80-an nampaknya masih ada lagi berniaga benda yang sama di Pasar Karat, Petaling Street.
Walaupun dia berniaga tipu, orang masih tak serik-serik.. Dan dia pun masih setia dengan niaga cari itu. Sebenarnya belum kena buku dengan ruas. Sebenarnya ketika orang sibuk berniaga ada juga kelompok warga seberang yang berlakon jadi bomoh, paranormal kondang yang menjanjikan pulangan wang yang hebat.
Ramai terpedaya, ramai yang kantoi oleh permainan orang itu. Kini di tahun 2012 ada yang sudah taubat dan ada yang sudah pandai pakai jubah, solat di Masjid Pakistan. Dulu, dialah bomoh dan juga taiko yang gemar mengugut orang agar membayar sekian ringgit bagi khidmat ramalan yang tidak tepat.
Kisah peniaga ubat memang menarik. Mereka berniaga ubat di mana-mana sahaja. Pindah-randah, Abang Mat kekadang saya temui berniaga di depan panggung wayang dekat Komtar, Pulau Pinang, atau di kawasan Lorong Gaharu. Begitulah kenangan masa silam. Kini tinggal sisa kenangan sahaja. []

1 comment: