Tuesday 10 July 2012

BEBERAPA CATATAN MENARIK MINGGU INI

1. Suasana politik negara masih tidak tentu hala, pihak BN mengatakan dia sahaja yang bijak mentadbir urus negara, apabila mendengar Pakatan Rakyat merancang sesuatu cadangan untuk pembaikan, pihak UBN terus pertikai, mereka anggap PR hanya tahu bercakap, merancang, tetapi tidak tahu atau tidak boleh laksanakan. Itu komen Nong Chik di Wilayah Persekutuan KL. Dia buat komen apabila PR merancang mengadakan penempatan Kampung Bharu Kedua. Nong Chik risau kalau cadangan itu menjadi kenyataan, sedangkan Perbadanan Kg Bharu yang nak memajukan kampung itu masih terkial-kial dan segala projek yang dilaksanakan hanya memberi faedah kepada pemaju projek yang terdiri daripada puak-puak yang rapat kepada UBN juga. Sekali lagi rakyat Kg Bharu hanya mampu bertepuk tangan sahaja.
2. Isu Scorpene makin menarik, sebab semakin banyak perkara baru ditimbulkan. Menariknya, jika dulu orang kata semua yang disebut itu fitnah, kini semuanya semakin jelas, ia bukanlah fitnah, tetapi fakta yang nyata, semuanya didedahkan melalui saluran berita luar negeri, itu yang lebih diyakini dibanding laporan berita dalam negeri yang langsung tidak berkisah tentang kapal selam. Skandal pembelian kapal selam sehingga melibatkan pembunuhan seorang wanita dari Mongolia memang menarik perhatian dunia. Rakyat Malaysia juga tertarik, dan ingin tahu apa kesudahan cerita, dan mereka ingin tahu apa motif sebenar pembunuhan itu. Berita menarik minggu ini, bahawa nama Najib ada dalam apa sahaja dokumen yang berkaitan dengan Scorpene. Jadi masalah ini tak boleh nak selindung lagi. Semua orang sudah tahu.
3. Ada kes orang mengamuk di Putrajaya, dia mengamuk bawa pedang samurai. Dia juga ada tulis blog. Jadi dia dipanggil blogger. Nampaknya blogger sudah jadi semacam gelaran baru, macam pekerjaan, padahal ia hanya sekadar suka-suka, kalau tak kerja blogger pun tak boleh hidup. Maka, ada blogger yang digelar upahan, blogger balaci, blogger yang saja-saja nak campur idea, dan blogger yang marah-marah kerana memang dia mengidap sakit mental, jadi kita kena faham, keadaan ekonomi negara, pilitik negara, dan persaingan dalam mencari wang menjadikan ramai orang sakit mental. Kekadang orang mengamuk ada sebabnya, sayang sekali, kita tidak sampai ke tahap mengkaji kenapa dia mengamuk? Dulu, ada anak muda mengamuk di Chow Kit Kuala Lumpur dalam tahun 80-an, ketika itu saya di Kg Bharu, saya ditengking oleh pihak polis kerana bertanya apa sebab tak boleh ke arah yang disekat? Jangan tanya! Amboi, eksyennya. Rupa-rupanya Adam Jaafar mengamuk bawa senapang, dia keluar dari kem askar. Sampai sekarang, orang tak tahu apa motif serangan amuk Adam itu. Begitu juga amukan dari orang yang dimomokkan sebagai Imam Mahdi. Jangan bagi gelaran begitu besar kepada dia, berdosa orang yang memberi gelaran itu kerana Imam Mahdi itu ada kaitan dengan tanda-tanda akhir zaman. Sedangkan pihak Utusan Malaysia melabelkan nama begitu bagi memberi konotasi buruk, oh orang ini berpihak kepada pembangkang. Padahal dalam blog, lelaki itu hentam kanan kiri tak kira Umno atau Pas.
4. Orang kampung marah kerana semua projek besar yang ada di negara ini melibatkan para pembesar negeri termasuk kaum bangsawan, mereka berebutan projek, dan kemudian mencanangkan bahawa projek itu membawa kebaikan kepada rakyat. Tidak sebenarnya. Projek itu membawa keuntungan kepada para kroni yang terlibat dengan projek demikian. Nampaknya setiap projek ada sahaja nama Dr.M atau anak-anaknya terlibat. Maknanya, orang lain jangan ikut campur, biarlah mereka kerjakan semua projek itu sampai selesai, biarlah mereka hidup kaya raya, bergelumang dengan duit, bukan ratusan ribu, tetapi bilion dan ribuan juta ringgit. Dan biarlah rakyat jelata hidup susah, mengutip sampah, angkat besi penutup longkang, vandalisme, melacur, edar benda larangan, berniaga tanpa lesen atau melakukan apa sahaja benda yang mendatangkan duit. Orang yang disebutkan tadi, kalau kena tangkap masuk ke dalam atas berbagai kesalahan yang dihebahkan merata negeri. Sedangkan, para pembesar anak menteri, anak bekas PM boleh melakukan apa sahaja, semua tindakan mereka dianggap terhormat dan ikut undang-undang. Bahkan amat menghairankan, di negara ini ada sekelompok umat yang istimewa sehingga tidak boleh disentuh kesalahannya, dan amat pelik ia tidak dianggap sebagai kesalahan. Puncanya? Kita telah ditanamkan dengan semangat jiwa hamba yang terlalu tinggi, sehingga jadi bodoh dan dungu sekali, sampai ke satu tahap tidak mahu menggunakan fikiran untuk berfikir secara rasional. Inilah yang orang kecewa sangat. Projek di Tanjung Pelepas itu tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya menguntungkan pada datuk, tan sri, dan nama-nama besar dalam Umno. Projek LRT, MRT dan semuanya bukan projek untuk rakyat sangat, tetapi projek yang menggelembungkan poket dan membesarkan perut orang-orang yang disebutkan tadi, tetapi dalam laporan berita, rakyat akan mendapat faedah apabila projek mega itu siap pada tahun sekian dan sekian, belanja berapa bilion? Dan berapa komisyen yang mereka dapat?
5. Seorang sahabat yang sekarang tinggal di Brisbane, mengadu kecewa dengan permainan orang-orang kaya dan orang politik yang menguasai pentadbiran negara. Duit dimainkan begitu sahaja. Duit KWSP boleh dikeluarkan dan disumbatkan ke akaun tertentu dalam bentuk pinjaman bagi mendapatkan riba. Mereka lupa dengan riba. Orang politik yang mengejar kemewahan tidak fikirkan soal riba. Orang begini, akan tahu nasibnya kerana kecuaian mereka terhadap persoalan agama. Mereka anggap riba itu tidak ada apa-apa, bahkan kalau anda semak dosa dari riba itu amat dahsyat. Dek kerana sistem seperti inilah, ramai rakyat miskin terabai, yang kaya terus kaya mengamalkan riba, ribalah sistem yang kita pakai untuk merancakkan pembangunan, merancakkan jual beli rumah, kereta dan apa sahaja harta tak alih yang ada. Kita cuai dengan riba, malah berpisah tiada dengan riba.
6. Dalam bab mencari kekayaan dunia ini, orang tidak peduli melaburkan wang sesuka hati. Kalau kebetulan dirinya menjadi kroni seseorang pembesar, maka senanglah hidupnya. Boleh labur buat kilang arak di luar negeri, dan kemudian buka perniagaan baru Petron, paksa pihak tertentu beli minyak hanya dari pihaknya sahaja untuk menghidupkan syarikat yang baru bertunas. Semua ini bukan perniagaan Pak Mat atau Minah kampung, tetapi projek anak pak menteri yang tidak cukup-cukup dengan harta benda yang ada. Mereka mungkin hendak bawa sekali duit masuk ke liang lahad untuk belanja di alam sana. Kalaulah ada kuasa luar yang hebat, mahu sahaja kontrak isi minyak pesawat Mas dari Petronas itu dirampas. Ini apa cerita? Kalaulah Petron itu kepunyaan Encik Mahad dari parti PR, sudah tentu SPRM sudah masuk pejabat, digeledah habis, tetapi disebabkan ia ada kaitan dengan Dr M maka sesiapa pun tak berani. Di Eropah sana, bekas Presiden atau bekas PM semuanya boleh disiasat, hanya di Malaysia ada kekebalan yang bukan kepalang hebatnya.
7. Tadi disebutkan tentang orang sakit jiwa. Untuk mengelakkan daripada sakit jiwa, jangan baca akhbar terbitan Utusan Melayu, jangan baca Berita Harian, jangan baca Sinar Harian, Siasah [Syarikat Air], jangan tengok berita Nasional, jangan peduli Buletin Utama, pendeknya, jangan tengok televisyen langsung. Jangan fikir sangat gelagat orang kaya yang menggaruk harta negara itu, nanti sakit jiwa. Kita bimbang, nanti ada lagi orang mengamuk macam samurai itu hari, atau macam Adam Jaafar di tahun 80-an dulu. []

No comments:

Post a Comment