Sunday 22 July 2012

SEBELUM ADAM SIAPA PENGHUNI BUMI INI?

TIMBUL SEMACAM PERTAYAAN yang mencarik minda umat. Ya, sebelum Adam alaihi salam diturunkan ke bumi ini dari alam maha tinggi, siapa yang menghuni bumi ini?
Soalan ini timbul kerana ada kajian yang menyebut bahawa Nabi Adam alaihi salam mungkin bukan manusia pertama dan bahkan bukan manusia biasa seperti kita kerana kejadian beliau adalah khusus dan amat istimewa, dari tanah, sedangkan umat manusia yang kemudian adalah daripada cantuman dua benih manusia berlainan jantina.
Baiklah, selain itu ketika Allah berfirman kepada malaikat Allah subhanahu wa Taala hendak menjadikan  khalifah di bumi, maka malaikat menyatakan kehairanannya dengan cadangan itu kerana terbukti makhluk itu merosak dan menumpahkan darah, sedangkan pihak malaikat kerjanya bertasbih memuji Allah dan menyucikan nama Allah [baca al-Baqarah: 30]
Kemudian soalan itu dijawab oleh Allah subhanahu wa Taala, bahawa Allah mengetahui akan apa yang para malaikat tidak ketahui.
Maksudnya, segala apa yang bakal terjadi semuanya sudah ada di dalam pengetahuan Allah. Tidak akan dijadikan apa pun di bumi ini tanpa pengetahuan dari Allah subhanahu wa Taala.
Timbulnya pertanyaan tadi adalah berpunca daripada kenyataan pihak malaikat, yang juga senada dengan pihak iblis yang kemudian mengungkit-ungkit asal kejadian manusia dan iblis. Iblis menyangka asal kejadiannya dari api jauh lebih baik dan mulia jika dibandingkan dengan asal kejadian dari tanah. Sedangkan, asal tanah itu hanya permulaan sahaja, dan yang kemudian asal kejadian manusia keturunan Adam alaihi salam adalah dari cantuman dua benih lelaki dan perempuan, sebagaimana kehadiran Habil dan Qabil keturunan Adam alaihi salam.

BANUL-BANUL
Kehairanan malaikat sehingga mengungkit akan sifat makhluk yang suka bermusuhan dan merosakkan bumi itu adalah berpunca daripada kehadiran makhluk di bumi yang dipanggil Banul Jaann dan Banul Baann. Makhluk ini bukan dari keturunan manusia, sebaliknya dari jenis jin.
Jadi, makhluk jin telah menguasai seluruh permukaan bumi ini sehingga adanya apa yang pakar sejarah purba menyebut kehadiran kaum Atlantis dan Dinasti Rama.
Fenomena benda-benda pelik di dunia seperti Stonehenge, jalur dalam laut Atlantis, puak Neanderthal dan sebagainya adalah bukti bahawa memang ada kehidupan di bumi ini sebelum kewujudan Adam alaihi salam.
Imam Suyuthi [dlm.Ad Darul Mansyur, Jil.I, hal.46, sebagaimana yang dipetik dalam Misteri, Ed.504,2010] dikatakan ada menukil keterangan dari Ibnu Abbas r.a. mengenai ayat al-Baqarah: 30, bahawa sebelum Adam alaihi salam turun ke bumi, kurang dari 2000 tahun sebelumnya bumi telah dihuni oleh kaum yang disebut Banul Jaann.
Mereka ini membuat kerosakan di muka bumi, selain itu makhluk ini suka bergaduh dan berbunuhan, langsung tidak mahu bermasyarakat sebagaimana layaknya manusia.

TENTERA MALAIKAT
Sering terjadi peperangan di antara makhluk itu kerana semuanya mahu tunjuk kekuatan. Akhirnya Allah subhanahu wa Taala mengutus para malaikat untuk menggempur makhluk itu dan memusnahkannya.
Itulah kiamatnya makhluk Banul Jaann yang merupakan makhluk dari jenis jin. Mereka dihapuskan dari muka bumi oleh ketumbukan tentera malaikat atas perintah Allah kerana makhluk itu tidak tahu memelihara bumi ini bahkan melakukan kerosakan yang dahsyat.
Setelah makhluk dari keturunan jin itu dimusnahkan tanpa baki pun oleh tentera malaikat, maka Allah subhanahu wa Taala merencanakan untuk menurunkan atau mengadakan makhluk lain sebagai ganti kepada Banul Jaann tadi.

Sebab itulah Allah subhanahu wa Taala memberitahu kepada malaikat:
"Aku hendak menjadikan khalifah di bumi."
Malaikat pun berkata: "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" [semak al-Baqarah:30]

Nah, kenapa malaikat berani mengatakan bahawa makhluk yang hendak dijadikan khalifah di bumi bakal menimbulkan kerosakan?
Kenyataan ini menurut pengkaji adalah kerana para malaikat pernah melihat bagaimana makhluk jenis Banul Jaann ini saling bergaduh dan berbunuhan, terbukti mereka tidak mampu menguruskan bumi ini.
Malaikat juga diperintahkan Allah untuk memusnahkan makhluk dari keturunan jin ini dari muka bumi untuk digantikan dengan makhluk yang tahu mentadbir bumi.
Malaikat ada pengalaman melihat keadaan makhluk itu di muka bumi, dan malaikat juga ada pengalaman berperang dengan makhluk yang membawa kerosakan itu.
Sebab itu malaikat bimbang kalau diciptakan khalifah lain, nanti perangainya sama sahaja seperti Banul Jaan atau Banul yang lain.
Dengan kata lain makhluk itu tidak meyerupai manusia sebenar sebagaimana yang kita lihat hari ini. Banul Jaann bukanlah jenis manusia Homo Sapiens, kerana mereka dari keturunan jin yang bermakna mereka berasal dari api, sifatnya panas dan suka buat kecoh.
Komen serupa juga diberikan oleh sang iblis kerana mereka adalah suku-sakat jin, setelah jin yang ada dihapuskan, maka mahu diwujudkan makhluk lain pula? Mungkin makhluk baru yang diturunkan ke bumi nanti jauh lebih teruk daripada Banul Jaann!

CATATAN SEJARAH
Menurut catatan sejarah, Nabi Adam alaihi salam diciptakan pada kira-kira tahun 4026SM. Sedangkan kisah peradaban di muka bumi ini dicatatkan telah wujud sebelum daripada itu, konon sudah ada sejak 15000SM atau 30000SM?
Fakta-fakta dari kajian mereka yang berminat, bahawa peradaban Atlantis di sebelah barat dan peradaban Rama di timur diperkirakan telah berkembang pada masa itu, iaitu pada anggaran tahun 30000SM - 15000SM.
Dua kelompok makhluk inilah yang mungkin berada dalam penjenisan Banul Jaann atau Banul Baann tadi, kedua-duanya dari jenis jin.
Mereka juga dikatakan mempunyai kepitaran yang canggih, tahu senjata nuklear dan pesawat canggih seperti pesawat milik UFO yang kita gambarkan. Kecanggihan itu musnah sama sekali kerana mereka saling bermusuhan.
Apakah tidak mungkin apabila kita sudah terlalu maju nanti akan berlaku kemusnahan besar-besaran angkara peperangan nuklear?
Bukankah ada riwayat yang menyatakan bahawa pada akhir zaman nanti sudahnya umat tidak berperang dengan senjata moden lagi, mereka akan kembali berpedang seperti dulu.
Ketika bila? Mungkin ketika minyak dalam bumi telah pupus. Hasil ketamakan umat menggunakan sumber alam yang Allah subhanahu wa Taala jadikan, tetapi hanya memperkayakan sebahagian kecil umat sahaja, kemudian menjadi sombong kerana kekayaan itu.
Kajian tentang makhluk penghuni bumi sebelum adanya Nabi Adam alaihi salam adalah menarik untuk diperpanjangkan. Hendaknya ada kajian yang lebih mendalam tentang isu ini di dalam sebuah kitab daripada kalangan mereka yang berilmu. []

No comments:

Post a Comment