Tuesday 31 July 2012

DULU PURBA, SEKARANG MODEN, PURBA LAGI HEBAT

ORANG MODEN MEGAH dengan pencapaian yang ada. Membina bangunan tinggi-tinggi, membina jejambat, jambatan gantung, jambatan panjang, punya berbagai model kereta cantik dan bergaya, membina empangan, membina dewan teater menarik, stadium besar, dan berbagai lagi.
Mungkin orang moden megah kerana memiliki kepandaian buat itu dan ini. Dan di dalam minda kita masih memikirkan masyarakat purba itu serba kekurangan, tidak ada jalan raya hebat, tidak ada lapangan terbang, tidak ada kapal terbang, tidak ada jet supersonik dan macam-macam pengangkutan udara yang canggih. Ini belum sentuh bab penerokaan angkasa lepas, penerokaan lautan, penerokaan benua dan macam-macam lagi.

MAYA
Tetapi kita tidak terfikir pun bahawa suku Maya yang telah melakukan kehebohan dengan mengatakan kiamat akan terjadi tahun 2012 setidak-tidaknya telah melakukan kajian yang menarik berdasarkan kaedah pengiraan mereka.
Suku Maya ini hebat orangnya.Mujur ada sedikit peninggalan berupa catatan seperti Maya Codices, ada versi Madrid Codex, Paris Codex dan Presden Codex. Sebenarnya tulisan suku Maya ini masih dikaji orang, lagipun sampai kini hanya 30% sahaja yang dapat difahami pengkaji, selebihnya masih misteri.
Dalam kitab mereka ini, versi Presden umpamanya memuatkan hal berkaitan astronomi. Bidang ini sampai sekarang orang masih pelajari. Mereka telah menggeluti bidang canggih ini meskipun kita anggap mereka kaum purba!
Ada informasi tentang planet Venus, tahun Venus ada 583.92 hari. Mereka ada lukisan tentang kitaran planet sejak ribuan tahun, sedangkan kita megahkan teknologi dan makmal kajian moden hari ini lebih canggih dari milik mereka. Mereka sudah tahu maklumat tentang Marikh, Jupiter dan satelitnya.
Di dalam kitab kajian itu juga memuatkan tentang bulan, Mercury dan Saturn. Mereka sudah mengkaji planet-planet ini sejak zaman yang kita sangka purba. Ilmu astronomi orang Maya boleh dikatakan tepat kata pengkaji hari ini.
Orang Maya juga membina sebuah kota bernama Tikai yang lengkap dengan sistem pengairan di sekitarnya, mereka juga siapkan sepuluh telaga air untuk keperluan penduduk. Jalan-jalan yang mereka bina sangat lurus, para pengkaji hairan, bagaimana mereka mengukurnya, kejuruteraan jenis apa dan bagaimana yang diaplikasikannya?
Suku Maya juga sudah tahu gunakan roda bergerigi, maknanya mereka sudah ada kejuruteraan mekanikal. Ada yang ahli dalam kumpulan mereka. Jadi mereka bukan kumpulan manusia purba yang mundur, tetapi mereka telah maju sesuai dengan zamannya. Ada yang primitif dan ada yang maju, seperti juga makhluk homo sapiens yang ada hari ini [bandingkan penjelasan Qur'an dalam al-Mukmin/Ghaffir: 21; 82; al-Hajj: 45 juga Faathir: 44].

PERU
Jika kita jenguk ke Peru pula ada satu amalan pelik, masyarakat purba di zaman silam melakarkan garisan panjang dan garisan yang membentuk motif burung, labah-labah dan sebagainya. Perkara ini hanya jelas kelihatan jika anda terbang dan melihatnya dengan pandangan mata burung. Mereka sudah menjangkakan, orang akan melihat lukisan besar itu dari arah udara, sedangkan manusia tidak boleh terbang. Mereka sudah jangkakan masa depan akan ada orang melihat lukisan di padang pasir itu sebagai hasil tinggalan mereka. Kenapa mereka melukis sedemikian? Sampai hari ini orang masih mengkaji kepandaian orang purba ini.

SUMERIA
Kemudian cuba lihat orang-orang Sumeria di Mesopotamia [maksudnya di antara dua sungai dalam bahasa Greek]. Sumeria ini telah mengasaskan negara kota sejak 3000 SM. Teknologi mereka sudah ada dan hebat-hebat belaka. Sebutlah apa sahaja kepandaian dan kemahiran orang Sumeria, mereka tahu bagaimana bertani, bidang pertanian dipandang penting, bahkan raja mereka juga bertindak adil, memastikan seluruh rakyat mendapat sumber makanan yang diperlukan.
Mereka juga tahu gunakan sukatan masa 60 minit bersamaan 1 jam. 60 saat itu 1 minit. 360 darjah bagi satu bulatan. Mereka tahu formula geometri dan algebra. Mereka juga mempunyai kiraan tepat, setahun ada 12 bulan. Bahkan menurut kajian, Ziggurat itu dibina sebagai makmal kajian mengkaji alam semesta.
Masyarakat Assyria banyak mengetahui tentang astronomi seperti juga suku Maya. Apakah dua peradaban purba ini ada hubungan?
Kita selalu dikhabarkan tentang kepurbaan dan proses evolusi, yang bergerak dari sistem yang mudah kepada sistem yang lebih rencam, dari purba kepada moden. Bahkan khabarnya, masyarakat purba juga sudah tahu membuat bateri di kalangan tenaga pakar Sumeria. Ia dipanggil bateri Baghdad [berdasarkan temuan pada tahun 1938].

MESIR PURBA
Inilah negeri di mana diutuskan nabi-nabi, Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Musa dan Nabi Harun. Hebatnya teknologi purba Mesir ialah bagaimana mereka membina piramid. Perkara piramid ini juga menarik untuk dikaji kerana bentuk piramid juga ada di kalangan suku Maya, ada juga ditemui di Jawa sana. Jadi piramid sudah menjadi bentuk yang sezaman pada masa silam. Ia adalah lambang kemajuan sebagaimana kita bangga dengan bangunan tinggi.
Berhubung dengan piramid, ia bukan dibina tanpa tujuan. Hairannya, orang Mesir yang kita anggap sebagai orang purba, belum ada kemajuan teknologi canggih, mereka sudah maju dalam bidang perubatan, anatomi, perancangan bandar, senibina, seni halus dan tekstil.
Kajian juga menunjukkan mereka sudah tahu bagaimana membedah otak manusia, mereka juga ada bahan antibiotik.
Semua ini wujud sejak 3000 SM. Bayangkan, bagaimana mereka boleh membuat mumifikasi atau mengawetkan mayat [mumi] ketika itu, sedangkan kita fikir mereka itu serba kekurangan? Mereka tidak kekurangan sebenarnya.

MUMIFIKASI BAGAIMANA?
Bagaimana mereka mengawetkan mayat raja-raja keturunan Fir'aun itu? Semua ini kemudian dijadikan bahan bukti bahawa watak Fir'aun bukanlah rekaan. Ia cerita benar. Begitu juga pergulatannya dengan orang-orang Nabi Musa dan sekitarnya. Kisah berkaitan nabi-nabi dan Fir'aun memang menarik.

Untuk mengawetkan mayat ada beberapa teknik yang mereka lakukan.

Pertama: otak dan organ dalaman tubuh hendaklah dikeluarkan terlebih dulu.
Kedua: kemudian mayat dinyahhidratkan selama 40 hari dengan menggunakan bahan natron iaitu garam mineral campuran sodium bikarbonat, sodium karbonat dan sedikit sodium klorida dan sodium sulfat.
Ketiga: rongga mayat tadi dimasukkan kain linen, pasir dan habuk kayu dan dimampatkan.
Keempat: Kulit mayat disapu dengan herba khas dan cairan dari damar.
Kelima: mayat dibungkus dengan kain linen - teknologi membuat tekstil sudah ada, mereka boleh mendapatkan linen dengan mudah. Mungkin bagi keperluan raja-raja Mesir ketika itu.

Tentulah hebat cara kerja mereka. Terbukti hingga hari ini, kita masih dapat menyaksikan hasil kerja mereka, iaitu mayat Fir'aun yang diawetkan.
Jika bedah otak dan mayat pun mereka mahir, maka bidang farmakologi memang tidak dapat dipisahkan dari mereka. Mereka sudah lama menggunakan kaedah balutan dan telapan, mereka ada kain linen. Ukiran timbul yang ada membuktikan mereka mempunyai alat-alat pembedahan yang lengkap sesuai dengan zamannya.
Ini belum lagi bab bagaimana mereka membina piramid?
Bukan tidak ada orang moden sekarang cuba membina piramid dengan menggunakan teknologi cara purba. Maksudnya, gunakan tenaga manusia, tidak ada jentolak, tidak ada kren, tidak ada alat pengangkutan yang hebat. Kena gunakan otak dan tulang empat kerat. Hasilnya, orang moden gagal. Sebab mentaliti orang moden fikir, mereka boleh bina piramid dengan mudah kalau ada kemudahan pengangkutan, lori, jentolak, kren dan tenaga buruh mahir.
Pun tidak. Pembinaan piramid bukan kerja tangan kosong. Ia ada ritualnya sendiri. Bukan asal dibina. Lagipun ia dianggap sebagai makam simpanan mayat. Ia akan kekal selepas ribuan tahun. Khabarnya orang Mesir purba membina piramid sebelum adanya teori Pythagoras Greek! 2000 tahun sebelum teori itu muncul mereka sudah buat piramid.

PERADABAN LEBIH AWAL
Ada peradaban yang lebih awal ketika manusia homo sapiens belum ada di muka bumi ini. Seperti dikhabarkan, makhluk yang ada di muka bumi ini adalah dari jenis jin. Mereka selalu buat kerosakan di muka bumi, saling berbunuhan sehingga malaikat diperintahkan untuk melenyapkan peradaban yang kacau itu. Mereka dikiamatkan dengan cara serangan hebat tentera malaikat. Itu makhluk yang berada di bumi sebelum Nabi Adam a.s. diturunkan. Sebelum ada kisah Habil dan Qabil.
Selain dimusnahkan, ada peradaban misteri yang dipanggil Atlantis, kawasannya luas, bukan sahaja di sekitar Lautan Atlantik itu, malah pengaruh mistiknya menjalar hingga ke kawasan lingkaran Pasifik. Kajian mengatakan, saki baki mistik, dunia jin, dunia khadam ghaib semuanya adalah saki baki dari peradaban Atlantis yang tertiup ke arah Pasifik dari Atlantik.
Penemuan jalur panjang di dasar laut Bahamas umpamanya membuktikan ada daratan yang telah tenggelam kerana gempa bumi dahsyat. Apakah peradaban yang tenggelam itu milik Banul Jaann atau Banul Baan?
Tidak dapat dipastikan.
Apa pun kita kena ingat, bahawa walaupun dikatakan purba, orang Mesir, Sumeria dan Maya tidaklah bersifat purba pada zamannya ribuan tahun yang silam! Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment