Sunday 22 July 2012

AMALAN YANG JADI TRADISI SEBELUM PUASA

BAGI MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADAN, maka kalangan tertentu melakukan beberapa kegiatan atau ritual yang mungkin merupakan bawaan daripada zaman nenek moyang terdahulu. Ia sudah jadi ikutan, dan tanpa banyak bertanya, mereka mengekori sahaja yang dilakukan orang terdahulu.

1. Ziarah Perkuburan.
Ziarah ke kubur bukanlah perkara pelik. Hendak ziarah kubur, tidak ada masa yang ditetapkan atau bulan-bulan tertentu sekadar untuk mengingati mati atau untuk mendoakan mereka yang telah pergi.
Ada pihak tertentu mengadakan majlis gotong royong bersihkan kubur, perkara ini ada kaitan dengan kenduri tahlilan yang diadakan saban malam menjelang bulan Ramadan.
Di setengah tempat pula, mereka bukan setakat menziarahi kubur orang tua atau ahli keluarga yang telah pergi, malah turut mengunjungi makam yang dianggap keramat, iaitu makam wali-wali dan para salihin. Alasannya kerana hendak mencari barkah.
Mereka mempunyai analogi sendiri. Untuk berdoa langsung kepada Allah tentu ada hijab atau pendinding, jadi mereka perlukan wasilah. Maklum diri banyak melakukan dosa, nanti doa tidak diterima Allah, jadi memerlukan wasilahnya untuk berdoa.
Di suatu tempat yang mengamalkan Wetu Telu, juga mengadakan upacara bersih kubur dan menghantar makanan ke kubur, diletakkan di dekat makam lalu membisikkan kepada si mati bahawa tidak lama lagi bulan puasa akan datang. Upacara itu dipercayai sekadar memberitahu kepada arwah-arwah semua, bahawa tak lama lagi mereka yang masih hidup akan berpuasa.
Kemudian ada pula keramaian yang cukup luar biasa di kawasan kubur, semuanya duduk bersila, bersila di depan makam dan berdoa. Yang perempuan tidak menutup aurat pun ikut sama.
Selain itu ada majlis makan-makan yang orang sebut sebagai makan besar bagi meraikan kedatangan Ramadan.
Berkunjung ke kubur ini disebut nyekar oleh orang-orang Jawa. Bagi orang Jawa [tidak semua] nyekar ini penting dilaksanakan bagi menyambut kedatangan bulan puasa meskipun ia tidak ada dalam syariat Islam. Ingat, ziarah kubur memang disyariatkan supaya kita ingat kepada kematian.
Orang cerdik selalu ingat mati. Akan tetapi kalau ada hari khusus ziarah kubur sebelum puasa tentulah bukan ajaran kita. Kemudian ziarah kubur ini dilanjutkan lagi di pagi hari raya.
Kelihatan seperti pesta pula. Ini juga bukan sesuatu yang disyariatkan melainkan sebuah kebiasaan kita di mana-mana. Hinggakan yang tidak solat sunnat Aidil fitri pun sibuk berpakaian lengkap baju serba Melayu, siap bersongkok tinggi dan samping untuk ziarah kubur.

2. Mandi buang sial di telaga tertentu.
Hanya telaga yang dipercayai ada kekeramatannya sahaja yang dikunjungi. Semua orang hendak mandi, konon untuk buang sial, boleh bersihkan batin.
Ada yang berendam dalam air telaga ini untuk awet muda, cantik sihat dan bugar. Ramai yang pergi telaga untuk berendam [kungkum] di dalamnya.
Yang penting nak buang sial. Semua yang datang walaupun meyakini kehebatan air telaga itu [contoh air Narmada, Lombok] menganggap air hanyalah sarana, bukan minta kepada telaga atau air telaga, mereka tetap berdoa kepada Tuhan, yang menentukan kesuksesan atau kehilangan sial itu adalah Alllah jua. Sekalipun mereka telah melakukan rendam badan dalam telaga bagi menyambut bulan Ramadan.
Dalam bab buang sial ini, ada juga yang melakukan ritual padusan [adus - mandi (Jawa)], mereka mandi di mana sahaja yang wajar, baik sungai, tepi laut atau yang ada sumber air - danau.
Kenapa perlu mandi di bulan Syaaban bagi menyambut kedatangan Ramadan? Ya, mereka mahu membersihkan jiwa dan raga sebelum bulan puasa.
Sesiapa yang sudah biasa melakukan ritual ini, tanpa mandi begini mereka akan resah gelisah terasa puasa tidak lengkap tanpa didahului dengan ritual padusan tadi.
Apakah memang ada ajaran dari Islam yang meminta kita melakukan ritual begini menjelang Ramadan? Tidak ada.
Dalam padusan itu sendiri banyak berlaku kemungkaran, apa tidaknya, mandi ramai-ramai, muda-mudi, lelaki perempuan, sudah tentu menimbulkan keasyikan dan keghairahan menyaksikan si gebu mandi atau si montel mandi.
Walaupun bukan dari ajaran Islam, mereka tetap melakukan berendam dalam telaga istimewa yang konon keramat, airnya banyak keberkahan, dan kemudian mandi ramai-ramai, mungkin ini sebagai ganti mandi safar zaman jahiliyah dulu.
Alhamdulillah, amalan ini tidak ada di tempat kita, tetapi siapa tahu, ada kalangan yang sudah biasa kungkum dan padusan akan mencari kawasan perkelahan air terjun atau tepi laut bagi meraikan kedatangan Ramadan? Kebanjiran warga asing di negara kita pun tidak boleh dibendung lagi.
Sudah tentu ritual seperti ini juga turut berlaku. []

No comments:

Post a Comment