Saturday 7 July 2012

JIN KENCING DI DINDING RESTORAN BARU

SEBUAH RESTORAN akan dibuka tak lama lagi di Seksyen Sekian, Bandar Sekian, Selangor. Persiapan untuk restoran baru ini sudah dilakukan beberapa minggu, termasuk mengecat, menghias, dan meletakkan tanda nama yang hebat. Yang pasti ada lambang bulan sabit dan bintang siap dengan angka keramat 786.
Pekerja restoran pun sudah cukup. Kalau ada Indon yang minta kerja mungkin akan dipertimbangkan juga oleh taukehnya yang nampak boleh tahan. Tengoklah di restoran itu sudah dihias dengan cantiknya, nama restoran yang hebat, melambangkan ia sebuah restoran yang menghidangkan makanan enak dan lazat, makanan yang halal. Dan sudah pasti kalau perniagaan maju, sudah berkira-kira hendak tambah meja di kaki lima kedai, kemudian letak skrin besar, biar orang mabuk tengok bola setiap malam sampai santak pagi.
Ini semua adalah perancangan.
Dan untuk merasmikan restoran makanan halal itu, tuan punya telah mengundang seorang tokoh yang dikenali bergelar Dr. untuk merasmikannya.
Tokoh berkenaan sudah dihubungi dan akan datang pada hari yang ditetapkan, petang selepas solat asar. Persiapan makanan dan minuman untuk tetamu sudah sedia.
Pemilik restoran itu turut melakukan kebiasaannya iaitu membakar wangi-wangian bagi memberikan aroma yang menawan kepada undangan dan tetamu khas yang akan datang membaca doa selamat dan merasmikan restoran baru itu.
Asap menerawang di seluruh isi restoran. Bagi yang biasa dengan bau yang semerbak itu memanglah tidak ada apa-apa, tetapi bagi umat yang tidak biasa dengan bauan ini, mereka tentu tidak selesa dengan aroma yang ada. Macam aroma durian, bukan semua orang suka kepada baunya yang menyengat. Ada orang tak suka baunya yang makin lama semakin tengik.
Maka ustaz yang diundang pun datang seperti yang dijadualkan. Tetamu lain termasuk pekerja restoran sudah siap dengan tugas masing-masing.
Dr. Fulan tiba dengan kawan-kawan lain yang turut diundang ke situ. Kereta berhenti di hadapan restoran tetapi tidak nampak lagi kelibat tuan punya restoran. Mereka yang ada di restoran tidak perasan kerana tidak tahu ustaz akan datang naik kereta apa.
Ketika dalam kereta itulah, Dr.Fulan bagi tahu kawannya supaya beredar dari situ.
"Tak payah turun, kita tinggalkan tempat ini," kata Dr.Fulan.
Kawan ustaz pun terpinga-pinga juga, kenapa tidak jadi. Bukankah mereka sudah sampai di depan restoran itu. Mereka dipanggil untuk majlis doa selamat dan rasmikan restoran makanan Islam lagi halal.
Kereta Dr.Fulan bergerak meninggalkan kawasan restoran. Pekerja restoran dan orang lain yang hadir di restoran itu tiak perasan bahawa kereta yang beredar itu adalah tetamu yang ditunggu-tunggu.
Setelah beredar agak jauh, telefon Dr.Fulan berdering.
Pemilik restoran bertanya, sekarang Dr.Fulan ada di mana?
Dr.Fulan pun berterus terang ceritakan apa yang sudah terjadi di situ tadi.
"Kenapa kamu bakar setanggi dan wangi-wangian macam itu di restoran kamu?" tanya Dr.Fulan.
"Bagi wangi-wangilah ustaz!"
"Ya, bagi wangi, tapi kamu tahu tak apa yang sudah saya tengok tadi di restoran kamu?" terang Dr.Fulan.
"Apa dia ustaz?"
"Di restoran kamu tadi saya tengok ada banyak jin telanjang, mereka sedang kencing di dinding restoran dalam dan luar. Sebab itulah saya tak jadi turun apabila sudah sampai di depan restoran kamu tadi," kata Dr.Fulan berterus terang.
"Apa? Kencing? Saya tak faham ustaz..." kata tuan punya restoran tergagap-gagap.
"Sebab kamu bakar setanggi kasi wangi-wangi dan asap dalam restoran, itu jin ramai-ramai sudah datang ke restoran kamu, mereka kencing dalam dan luar restoran, itu sebab saya tak mahu turun tadi..."
"Itu macam ka?"
"Yalah! Kamu percaya atau tidak, terpulang, tapi saya mintak maaflah, tak dapat buat apa-apa," kata ustaz sambil meneruskan perjalanan. Dia mahu menuju ke tempat lain, ada undangan juga untuk perkara lain yang tak ada kaitan dengan restoran dan makan-makan.
Cerita ini saya dapat ketika mengikuti kuliah mingguan di Bangunan PERKIM Jalan Ipoh, KL. Kuliah hari Ahad itu lebih ramai perempuan daripada lelaki. Kaum lelaki tidak suka kuliah begini kerana mereka semua sudah berilmu barangkali, atau tidak tahu maklumat bahawa di situ ada kuliah setiap hari.
Dan yang peliknya, kuliah Perkim turut menyediakan nasi bungkus atau nasi kotak kepada semua orang yang menghadiri kuliah. Jadi, bukan kerana nasi menyebabkan orang datang, buktinya, bilangan lelaki yang mengikuti kuliah itu hanya sekitar 6 orang atau paling tinggi pun 10 orang.
Cerita seorang ustaz tak jadi menghadiri majlis doa selamat merasmikan restoran baru di sebuah tempat memang menarik. Jika begitulah keadaannya, mungkin mana-mana restoran yang pemiliknya kerap membakar wangian dan diperasapkan pagi-pagi turut dikunjungi oleh makhluk jin dan mungkin mereka turut kencing di mana-mana termasuk dalam periuk gulai dan lauk-pauk yang ada.
Memang kita tidak nampak.
Sudah jadi kebiasaan pemilik restoran jenis ini membakar sesuatu untuk mewangikan restoran. Sayangnya wangian itu jika dipandang dari sudut lain, ia mengundang kehadiran makluk halus dari jenis jin.
Jin itu datang beramai-ramai kerana bau wangi dan asap. Itu sebab bomoh atau pawang kalau menyeru jin, mereka bakar kemenyan, bagi asap naik dan berkepul-kepul sampai terbatuk-batuk.
Ketika itu jin yang diseru pun datang untuk menolong pawang atau bomoh yang mengharapkan bantuan jin.
Jika ustaz tadi tidak mahu baca doa di majlis penting itu, maka jangan salahkan dia. Bukan dia pilih tempat, tuan punya restoran tidak faham.
Orang yang menggeluti bidang ini mereka waskita terhadap fenomena pelik yang orang lain tidak nampak. Ustaz boleh nampak atau ada gerakan yang menyebabkan dia melihat sesuatu yang ganjil.
Akhirnya restoran itu tetap dirasmikan juga. Imam kariah berdekatan dipanggil sebagai ganti ustaz. Disebabkan imam itu tidak waskita terhadap hal begini, maka dia tak tahu apa.
Tanpa mereka ketahui, mereka sedang santap hidangan yang sudah dikencingi syaitan. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment