Friday 6 July 2012

DULU PUJA PANTAI, SEKARANG PESTA LAUT

ORANG BERPESTA DI TEPI LAUT
bukan kegemaran anak-anak muda sekarang sahaja. Sejak zaman silam lagi kita sudah biasa dengan pantai. Hanya kita tidak mengenal puteri laut seperti Ratu Kidul macam di Jawa sana.
Di tempat kita, sudah lama orang mengadakan ritual puja pantai.
Apa sebenarnya puja pantai ini? Menurut catatan silam, pesta memuja pantai zaman dulu diadakan di Pantai Cahaya Bulan, yang dulunya disebut Pantai Cinta Berahi.
Dalam tahun 40-an, ia biasanya diadakan selama tujuh hari tujuh malam. Dalam upacara itu berbagai permainan tradisional diadakan. Kalau hari ini ada Pesta Port Dickson, Pesta Laut Lumut, Pesta Kuala Trengganu, Pesta Mersing umpamanya, maka pesta ini adalah lanjutan daripada ritual memuja pantai zaman silam.
Hari ini kita tidak mengadakan ritual memuja pantai, tetapi kita mengadakan pesta di tepi pantai. Mengajak muda-mudi berpesta, berseronok, berdua-duaan, mengurat, cari pasangan, bahkan sampai berkhalwat di tepi pantai, sanggup tidur di pantai kerana ketinggalan bas atau teksi.
Jika dulu ketika pesta memuja pantai, mereka gunakan peranan pawang yang mahir dalam bidangnya, maka sekarang ada penganjur pesta yang mengadakan bermacam pertunjukan campur fun-fair, siap baling botol, baling gelang, baling dart, buaian pusing, teka biji jagung, persembahan pentas dengan artis dari KL diundang  buat persembahan selama satu jam setiap malam.
Itulah corak "pesta memuja pantai" cara moden yang sudah disesuaikan. Ia sama sahaja dengan Jom Heboh, Sure Heboh, dan berbagai pesta yang mengumpulkan muda-mudi di kawasan pantai. Kini kita mengubah corak kepada pesta Mencandat Sotong, Pertandingan Memancing dengan tawaran hadiah yang lumayan.
Semua ini adalah kesinambungan daripada pesta memuja pantai atau mandi safar pada zaman jahiliyah Melayu yang silam.

SAJIAN
Bayangkanlah, jika dulu ketika pesta memuja pantai diadakan yang merupakan ritual kepercayaan dan keyakinan purba Melayu, maka ia dijejali dengan keyakinan lain kerana semua permainan yang dipersembahkan itu memerlukan semacam sajian tertentu.
Contohnya, wayang kulit, menora, pencak silat dan persembahan Mak Yong.
Permainan tradisi yang tidak ada kaitan dengan ritual apa pun adalah gasing, tinju Siam, pertandingan wau atau suara burung merbuk.
Untuk memuja pantai, sekor kerbau balar atau balau akan disembelih, gunanya untuk disajikan atau dilarung ke laut. Jadi, kalau di Jawa sana mereka melarung kepala kerbau ke laut untuk Ratu Kidul perempuan jin, maka di tempat kita, di Pantai Cinta Berahi, kepala kerbau dilarung untuk jin laut, Tuk Selepang Kaki.
Waktu senja, kepala kerbau balar, tok pawang akan membaca mantera dengan bertih tergenggam di tangan, beras kunyit pun dibawa sama.
Dia menjampi atau bermantera berulang-ulang:

damenit nama bapakmu, namenit nama ibumu, 
Datuk Selepang Kaki namamu, Raja di Laut, yang duduk jaga tujuh muka kuala,
Panglima Hitam di laut, Puteri Selindung Daun, segala rakyat sakai, Tun Teja Muda Kuala,
Di negeri Stardini, di Pulau Nusa Kencana, Angkatan Kala Baqam,
Panglima Hitam di laut, Jamal di laut, Jobin di laut, Sewah Lembuana Raja di laut,
Angkatan Awang Pantaharam, wang pantalata, umpitan Jeramang,
Anas, Jamanas, Manas, anak Jin Sabu Jinjan.

Demikian mantera yang dibacakan.Getaran suara pawang yang membaca mantera sewaktu senja, begitu menyeramkan. Mereka tak ingat waktu maghrib pun. Mereka juga gerun melihat cahaya di kaki langit ketika senja. Ombak berdeburan di pantai. Pawang pun melambai-lambai ke laut, dia melambai hantu laut, memberitahu para hantu di situ bahawa mereka dijamu pada tengah malam terakhir nanti, iaitu pada hari akhir pesta pantai.

KERAJAAN MISTIK JIN
Menurut sumber, hantu yang mereka hubungi secara talian mistik adalah hantu laut. Siapa nama hantu laut itu, jika merujuk kepada mantera, ia ada menyebut nama-nama pelik yang diseru. Itulah nama jin-jin berkenaan.
Khabarnya, hantu laut yang ada adalah hantu jenis yang suka bermain di gigi air atau di kawasan pantai. Dari gigi air ke darat, ia dikuasai oleh hantu darat pula.
Menurut kepercayaan purba, para hantu laut ini mempunyai susunan kerajaannya sendiri. Ada raja, ada pembesar, pahlawan dan rakyat bawahan.
Raja hantu menurut kepercayaan dikenali sebagai DATUK SELEPANG KAKI. Ia adalah anak kepada Damenit dan Namenit [ibu bapa hantu laut], di bawahnya terdiri anggota kerajaan iaitu Panglima Hitam, Tun Teja Muda, Jamal, Jobin, Tedung, Anas, Jamanas, Manas dan sebagainya. Nama-nama ini sering disebut dalam mantera mereka.
Datuk Selepang Kaki agaknya kerjanya asyik duduk dengan berselepang kaki menmgadap pegawai bawahan di istananya dalam laut. Dia menguasai tujuh kuala sungai dari Pulau Redang, Terengganu hingga ke Pantai Tumpat, Kelantan.
Konon, ketika upacara dilakukan, para hantu tadi datang ke pantai menyaksikan tok pawang bikin upacara sakral. Tuk Selepang Kaki datang di depan pawang, datang sebagai panglima dengan berselendang hitam.
Amalan purba ini memanglah perbuatan syirik yang telah dilakukan oleh umat Melayu di zaman silam.

KE MANA JIN PERGI?
Kini amalan memuja pantai sudah tidak ada lagi. Tetapi khabarnya masih ada orang melarung kepala kerbau untuk santapan Ratu Kidul di pantai itu [menurut Radin Puji Masono seorang paranormal asal Kelantan].
Jika dulu mereka meminta perlindungan kepada jin laut, maka sekarang perlindungan ketika pesta pantai atau pesta laut adalah pihak keselamatan. Jaga parking motor dan kereta. Keselamatan pintu utama sebab masuk bertiket untuk tengok konsert jika berbayar.
Apakah ini ada kaitan dengan memuja pantai? Walaupun tidak sembelih kerbau balar, orang sekarang berjejal masuk mengunjungi pesta dengan tujuan berseronok, berhibur sampai melalaikan solat dan melalaikan kumpul ramai-ramai, lelaki perempuan bercampuran, naik motor berdua, naik kereta berdua, berdua-duaan, dan kata orang pesta begini adalah ruang untuk mencari jodoh. Jumpa di pesta dan mengikat janji untuk disatukan tahun depan!
Ke mana hantu laut zaman dulu sekarang? Adakah Tuk Selepang Kaki sudah mati kerana dia sudah terlalu tua dan sudah lama mentadbir sebuah kerajaan di laut? Apa pun, Raja Iblis sebenar memang memiliki isttana di tengah laut yang teduh. Setiap hari dia menghantar panglimanya bersama ketumbukan tentera iblis menggempur tanah daratan yang ada manusia. Termasuk kita juga, menjadi sasaran tentera dan gerila iblis. Ramailah yang kecundang ditipu iblis dan sekutunya. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment