Friday 6 July 2012

KENAPA SIBUK CARI BATU DELIMA DAN RANTAI BABI?

ADA ORANG SIBUK mencari batu delima merah dan rantai babi.
Dua benda ini sejak dulu orang cari. Nak kata benda ini hebat sangat, Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah, Babad Tanah Jawa pun tidak menyebutnya.
Maksudnya, dua benda ini hanya dikenali pada mutakhir ini.
Hairannya, ia selalu jadi bahan jajaan orang yang kerjanya lepak di warung, restoran, bawah pokok besar atau di simpang jalan. Mereka bercerita tentang dongeng kelebihan batu delima merah.
Maka tentang cerita delima merah ini sudah jadi barang jajaan ke sana ke mari, sibuk mencari, tetapi yang kaki mencari bukan kerana hendakkan batu itu. Banyak yang cenderung ke arah pencarian yang tak ada kesudahan ini kerana mereka mahu jadikan benda itu sebagai barang carian bagi mendapatkan duit.
Bukan hendak jual sangat, tetapi sekadar nak usung cerita dan boleh dapat kawan baru, boleh dapat duit teh dan yang penting komisyen.
Yalah, orang boleh uruskan niaga kapal selam sampai dapat RM3 billion, tak akan orang kecik yang lepak sana, lepak sini tak ada peluang langsung. Mereka tak uruskan kapal selam atau kereta kebal, tetapi uruskan batu delima merah.
Peliknya, batu belum dapat, mereka sudah sibuk buat grup, dua tiga orang sudah berjanji, kalau dapat batu delima merah mereka nak kongsi komisyen.
Misalnya batu delima itu harganya RM1.8 juta, maka empat atau tiga orang akan kongsi komisyen 0.5% dari nilai itu.
Masing-masing sudah memasang angan-angan untuk jadi orang berduit. Inilah nasib orang biasa yang tergolong rakyat biasa. Mereka setiap hari berkumpul, cerita batu delima tak habis-habis.
Dan antara yang menariknya mereka kata, ulamak tertentu ada memiliki batu delima, kemudian disebutnya sultan sebuah negeri minyak juga memiliki batu delima, konon batu delima itu digunakan untuk tarik ibu minyak. Hebat cerita mereka ini.
Orang-orang yang terkenal juga ada memiliki batu delima merah. Mereka tidak tahu orang Gurkha yang berniaga di Petaling Street pun memiliki batu delima. Berapa biji nak? Mereka boleh tunjukkan batu delima merah.
Tapi bukan yang itu yang mereka mahu sebab mereka nak cari yang ada khadam.
Khadam itu apa bendanya? Menurut yang empunya cerita, khadam itu adalah makhluk jin yang menjadikan batu delima merah itu ada power dan berhikmat.
Selain itu mereka mencari rantai babi yang tulen. Sebabnya menurut firasat mereka, rantai babi tunggal bertaring kuning yang tulen bukan senang nak dapat.
Ada yang kata hanya orang Dayak sahaja yang memiliki atau Orang Asli yang hidup bergelumang dengan persekitaran hutan.
Apa gunanya rantai babi?
Untuk kewibawaan, untuk kekebalan, dan yang mustahak, mereka nak duit komisyen dari jualan rantai babi. Agen-agen atau broker yang mencari rantai babi memang ada di mana-mana, pantang dengar cerita rantai babi, sedangkan seumur hidup mereka tak pernah tengok rantai babi, bukan apa, kita bimbang mereka tengok rantai basikal pun dikata rantai babi juga.
Habis tak pernah tengok.
Nak senang cakap kalung babi hutan tunggal. Masa berkubang, kalung itu disangkutkan di tepi tebing. Ketika itulah kita curi kalung babi itu.
Jangan sampai babi hutan itu repot pada polis hutan sudahlah, nanti kamu kena tangkap. Mahkamah hutan pun hebat juga. Sebab kata orang, hutan itu di bawah jagaan makhluk halus yang juga pemelihara babi hutan tersebut.
Dikatakan, babi hutan tunggal itu adalah boss yang dihormati oleh haiwan lain dalam hutan itu. Kenapa rantai babi ada power? Ia dikaitkan dengan pengaruh mistik makhluk halus yang telah menitipkan kekuatan kepada objek yang memelikkan itu.
Selain dua benda yang orang cari bagi tujuan pembrokeran, yakni hanya nak dapatkan komisyen jualan benda-benda mistik, ada juga yang mencari selendang puntianak.
Ini lagi kes berat. Selendang puntianak ini kalau boleh dapat memang ada orang tawarkan harga hingga RM85 ribu satu unit. Tetapi nak dapatkan selendang puntianak bukannya senang. Ada orang kata nama gelarannya kundu sumai.

KESIMPULAN CERITA:
Orang sibuk mencari benda-benda mistik begini bukan kerana berhajat hendak gunakan benda itu, sebaliknya mereka hanya berhajat kepada duit komisyen sekiranya ada orang kaya yang sanggup beli batu delima merah, rantai babi atau selendang puntianak. Hanya kerana komisyen yang besar itulah orang sanggup mencari dan mencari, macam orang masuk hutan berbulan-bulan mencari cicak tokek. []

No comments:

Post a Comment