Tuesday 10 July 2012

BUKU TENTANG HANTU-HANTU APA FAEDAHNYA?

ADA orang gigih sekali menulis cerita misteri. Ada sahaja bahan untuk ditulis. Ia bukan setakat idea dari pembacaan, malah idea dari pertuturan yang mereka telah dengar di mana-mana. Bagi wartawan majalah yang berkaitan dengan kemisterian, mereka tidak ada masalah kerana mereka sudah biasa mengutip berbagai kisah misteri dari berbagai sumber.
Begitulah apabila ada orang begitu rajin menulis cerita misteri seperti siri BERCAKAP DENGAN JIN seperti Tamar Jalis itu, apabila nama itu sudah mantap, orang pun tertarik untuk menarik nama itu biar pun hanya sekadar cucu Tamar Jalis atau sahabat karib Tamar Jalis.
Sebenarnya, disedari atau tidak, penulis kisah misteri adalah sekelompok penulis yang saling berhubungan, mereka kerap berlonggok di suatu tempat, berkongsi idea, mencari bahan untuk dijadikan cerita teladan, beberapa penulis dari Pahang, Johor, Perak dan Selangor sendiri bergabung di bawah satu "payung" secara tak langsung. Mereka tak terfikir pun hendak menubuhkan semacam kelab atau persatuan penulis kisah misteri.
Puncanya, mereka banyak menggunakan nama samaran. Nama biasa, seperti nama Ahmad, Abdullah atau Sabariah, semacam tidak mempunyai impak dalam karya misteri, justeru nama itu diubah kepada nama yang lari dari kebiasaan, mana lahirlah nama Pak Meon, Wak Joko, Tamar Jalis, Tok Awang Ngah, Tok Peran, dan banyak lagi nama yang tidak disebutkan di sini.
Sekarang, jika ada sesiapa hendak kumpulkan bahan tentang nama-nama hantu, mungkin ada orang tertawa kerana perbuatan itu buang masa dan tidak berfaedah sama sekali. Uncleseekers umpamanya mencarik adat dengan mengumpul bahan tentang hantu-hantu, khabarnya hingga 99 penjenisan kerana memang dia menggeluti bidang memburu hantu, mana ada hantu dia buru, hingga hantu lari terkencing-kencing.
Ada orang yang kata, mana dia nampak hantu hingga boleh kumpulkan begitu banyak nama hantu? Orang tidak ingat, bahawa pihak Muzium Negara sendiri pernah buat pameran hantu.
Berbagai replika hantu dipamerkan mewakili berbagai jenis hantu kepercayaan yang telah sekian lama bersarang dalam budaya masyarakat Melayu - maka ia menambahkan bahan kajian untuk kita mengenali sub budaya Melayu di zaman silam.
Sebenarnya mistik kisah hantu ini bukanlah hal yang pelik sebab kalau sesiapa semak kisah silam, hubungan manusia dengan makhluk halus [baca: jin] ia bukanlah sesuatu yang memelikkan.
Apabila disebut hantu, ia tidak lain adalah jin,syaitan, iblis, ifrit dan berbagai nama lagi. Semua ini digolongkan oleh masyarakat Melayu sebagai hantu.
Jadi, kalau ada orang tanya apa faedahnya buat buku tentang 99 hantu seperti yang Uncleseekers buat? Dia pun bijak, hanya terbitkan 99 naskah sahaja, maknanya untuk 99 orang yang betul-betul perlukan bahan itu, dan kemudian harganya pun murah - RM999.99 sen. Betul-betul gimik dalam pembikinan buku misteri.
Apabila orang membelek buku itu, tebal hingga seribu halaman lebih, maka terfikir juga, bukan sehari dua hendak kumpul bahan. Orang tak pandang benda remeh ini kerana mereka hanya melihat buku yang telah siap di pasaran. [] 

No comments:

Post a Comment