Saturday 5 November 2011

RAJA HJ MUKHTARUDDIN YANG UNIK

Ketika mengendalikan majalah Intisari beberapa tahun yang lampau bersama A.Bakar Ninggal di Sri Gombak, saya kerap juga bertemu dengan seorang bekas pensyarah dari Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd.Dain. Beliau yang dilahirkan di Perak, telah saya kenali namanya melalui tulisan beliau mengenai linguistik, kerana beliau memang pensyarah bidang linguistik sejak tahun 70-an terutamanya majalah Dewan Bahasa, terbitan DBP, harganya murah RM1.00 (1977).
Nama beliau tidaklah asing bagi saya peribadi kerana majalah Dewan Bahasa memang menjadi santapan bulanan sejak tahun 1970 lagi. Dan kebetulan apabila bersama Printers & Typesetter, buku beliau tentang nota-nota budaya dan pengalaman peribadinya diterbitkan dalam tahun 80-an atas usaha Abdullah Tahir dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Buku yang judulnya sudah saya lupa, tetapi masih ingat gambar kulit depannya adalah kacip sirih, sebagai simbol budaya Melayu Nusantara.
Buku yang dicetak di tempat saya bertugas itu sempat saya baca, antara lain mengisahkan bagaimana Raja Mukhtaruddin yang mendakwa dipengaruhi bermacam semangat, antaranya semangat ular, semangat gajah dan semangat lain yang katanya ada kaitan dengan dunia tanah Minang di Sumatera.
Di dalam buku itu diceritakan tentang pengalaman mistik Raja Mukhtaruddin ketika dipengaruhi semangat haiwan itu sehingga secara tak disedari dia boleh berpusing-puisng di kawasan padang UM. Ketika membaca kisah ini saya rasa hairan juga, bagaimana semangat itu mempengaruhi diri sehingga boleh berputar-putar begitu, tidak peningkah? Buku terbitan tahun 80-an itu tentunya mencatatkan pengalaman beliau dalam tahun yang berdekatan.
Ketika menulis untuk Intisari, saya sempat bersembang panjang tentang apa yang beliau alami di padang UM itu, iaitu badannya boleh berpusing-pusing ketika pengaruh mistik itu datang. Memang benar, katanya. Dia memang mengalami gangguan itu.
Saya bertemu dan berkawan rapat dengan beliau kerana kebetulan beliau setiap hari solat di Masjid Jamek Jalan Bandar KL. Maka saya setiap hari boleh bertemu dan bertanyakan berbagai perkara termasuk tentang  mistik Jin Kerajaan Negeri Perak, dan dia membantu saya dengan membawakan sebuah buku tentang sejarah Perak dalam bahasa Inggeris. Saya ingat, oleh sebab saya tertarik pada bahagian Lampiran buku tulisan orang putih itu, saya pun fotostat hujungannya, sebab ada senarai nama-nama Jin Kerajaan negeri Perak.
Secara keseluruhannya, Pak Mukhtaruddin ini bukan sahaja dipengaruhi oleh semangat tadi, malah ada pengaruh mistik yang melingkari nenek moyangnya, dan dia juga menceritakan pengalaman pergi ke Beting Beras Basah untuk mandi dan mengadakan ritual tertentu.
Ketika berbicara tentang pengaruh mistik tadi, beliau menunjukkan penutup istimewa yang dipakainya, warna putih, ada tanduk di kiri kanan, kalau tak salah saya, dia kata itu ada kaitan dengan Iskandar Zulkarnain yang memiliki dua "tanduk" - selanjutnya, beliau ada membawa tongkat dari rotan, dan semacam buluh mistik, seruas. Buluh itu dibalut dengan kain warna-warni, setiap warna itu ada maksud tertentu. Memang ketika bercakap dengannya saya sudah menyelami dunia mistik budaya yang dicerapinya.
Saya yang mencungkil rahsia berbagai motif benda-benda mistik yang dibawanya dalam beg perlu mendengar keterangannya tanpa perlu mengatakan semuanya karut!
Raja Mukhtaruddin juga menjadi sumber kepada sya untuk merujuk kepada sesuatu benda. Seperti kes Jin Kerajaan Perak, jika dulu pawang diraja selalu meraikan jin-jin itu dengan Balai Gambang mudik dari Hulu Sungai Perak hingga ke Hilir Perak, maka bagaimana keadaan jin-jin itu? Terkejut juga saya apabila beliau mengatakan jin-jin itu ada yang "bersemayam" di atas pokok kayu besar di tebing Sungai Gombak, ya di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad.
Saya tak perlu bertanya tentang buktinya. Selain itu dia juga membawa benda-benda yang pelik bagi orang biasa, tetapi di dalam dunia kemistikannya secara peribadi ia adalah biasa. Sukar hendak dihuraikan.
Ketika membaca buku beliau (yang mungkin judulnya ......KALBU) saya terfikir apakah lelaki ini sedang dipengaruhi oleh saka bawaan dari nenek moyangnya?
Beliau juga bercakap tentang jin-jin yang semuanya memang sudah dijadikan bahan kajian budaya apabila menyentuh soal negeri Perak. Saya khuatir, Pak Mukhtaruddin menjadi "linglung" kerana pengaruh mistik yang bahaya ini. Bagi saya ia semacam pengaruh "saka kecil" yang mewarnai jiwanya.
Terbukti, kini beliau menghabiskan masa pencennya dengan lepak-lepak di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Kereta Iswara Aerobacknya diletakkan di Kg.Bahru, KL. Dia sanggup naik bas turun bas untuk mencari keselesaan. Untuk menghilangkan kebosanan, dia akan naik bas ke Selayang dan balik semula ke pusat bandar. Atau dia pergi ke mana-mana sahaja kerana kemudahan pengangkutan awam di tengah kota ini cukup lumayan.
Dia gemar lepak di stesyen minyak Shell dekat simpang Jalan Raja Alang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, depan Mydin. Dia kadang-kadang memakai baju kuning. Itu warna kegemarannya (bukan Bersih 2.00 ya!) dan kekadang di Jalan Masjid India, lepak-lepak. Saya tidak bertemu di masjid yang biasa lagi.
Ketika ditanya di mana pula tidurnya? Dalam kereta. Beginilah kisah seorang bekas pensyarah linguistik di Jabatan Pengajian Melayu, UM.
Saya pula, daripada seorang pembaca karya beliau, hingga mencetak buku beliau, di hujung kariernya, saya akrap menjejaki kemisterian yang tertampung dalam dirinya. Sehingga kini, sukar saya hendak menghuraikan apakah misteri dan apakah mistik sebenar dari pengaruh semangat gajah, semangat ular dan semangat jin yang diperkatakan beliau. Bagi orang yang tak tahu akan mengatakan beliau orang gelandangan. Tidak. Dia seorang bekas pensyarah yang kini menghabiskan sisa usia meninggalkan rumah, dan "menggelandang" di tengah kota. Hidup ini begitu bersahaja bagi beliau.
Terkini, dalam bulan puasa ini [Julai 2012] saya lihat tokoh kita ini sedang tidur di atas tembok. Saya tak mahu kacau dia. Tembok mana? Dekat stesyen minyak, setentang Mydin Chow Kit, KL. Dia seronok dengan dunianya. Dunia kita tak tahu lagi bagaimana. []

4 comments:

  1. Judul buku beliau "Di Sudut Kalbu," Terbitan Jab.Pengajian Melayu UM.

    ReplyDelete
  2. Dan di saat ini bulan puasa (Jun 2016), dia di Hospital Kuala Lumpur, di masukkan ke wad sebab pengsan di jalanan

    ReplyDelete
  3. Pensyarah saya pada tahun 1983/1984. Tahun 1983 beliau menggunakan kereta Citroen tetapi tahun 1984 beliau menaiki basikal lumba setiap hari. Tahun 1984 beliau sentiasa memakai baju Melayu lengkap bersamping setiap hari. Orangnya mudah diajak bicara dan mudah mendapat A dalam subjek linguistik. Jika dalam tutorial ada ahli kumpulan kita tidak hadir seorang, maka semua ahli tidak dibenarkan masuk. Lalu, di manakah beliau sekarang pada Oktober 2020. Mudah-mudahan Allah memberi keberkatan atas jasanya kepada anak bangsa sebelum ini. Amin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sudah kembali mengadap ilaahi bulan lepas...al fatihah

      Delete